Selasa, Ogos 21, 2018

Dajjal Sudah Ada Di Bumi?


Ada segelintir pihak mendakwa dajal iaitu kuasa kejahatan yang akan memusnahkan manusia beriman pada akhir zaman sebelum tibanya kiamat, sudah pun muncul di muka bumi pada ketika ini.

Dajjal Sudah Ada Di Bumi?

Dakwaan berkenaan sememangnya mengejutkan ramai pihak, berikutan keluarnya dajal secara tidak langsung bermaksud dunia sudah terlalu hampir dengan penghujungnya dan akan musnah bersama segala isinya tidak lama saja lagi.

Keluarnya dajal adalah satu daripada 10 tanda besar mengenai tibanya kiamat seperti sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Imam Muslim daripada Hudzaifah bin Usaid Al-Ghiffari ra katanya, "Rasulullah SAW pernah muncul di hadapan kami ketika kami sedang berbincang. Lalu Baginda bertanya, "Apa yang sedang kamu bincangkan?" Sahabat menjawab: "Kami sedang membincangkan As-Sa'ah (hari kiamat).'

"Baginda SAW bersabda, "Sesungguhnya kiamat tidak akan datang sehingga kamu melihat 10 ayat (tanda) sebelumnya. Kemudian Baginda menyebut asap, dajal, binatang (yang akan keluar dari perut bumi), terbitnya matahari dari sebelah barat, turunnya Isa as, Yakjuj dan Makjuj, tiga gempa bumi iaitu di timur, barat dan di Jazirah Arab dan yang terakhir ialah keluarnya api dari Yaman yang mengiring manusia ke tempat berkumpul mereka."

Kerosakan muka bumi

Bagaimanapun, terdapat segelintir pengkaji kontemporari berpandangan bahawa dajal sebenarnya bukanlah makhluk, sebaliknya adalah `pemikiran' atau ideologi yang menyebabkan kekacauan dan ketidakstabilan dunia.

Mereka berpendapat ideologi inilah dikenali sebagai 1dajal' yang mendorong manusia kepada kebejatan akhlak dan kejahatan, menyesatkan masyarakat ke dalam keingkaran dan kederhakaan terhadap Allah SWT serta menimbulkan kerosakan di muka bumi dan umat manusia lain.

Pandangan berkenaan juga menyatakan ciri-ciri dajal seperti disampaikan hadis adalah ayat berbentuk simbolik dan ia lebih menjurus kepada ciri sebuah ideologi yang membawa kepada kehancuran alam.

Sebagai contoh, ciri-ciri dajal yang disebutkan hadis sebagai buta sebelah mata diibaratkan sebagai ideologi yang tidak menilai sesuatu dengan adil dan saksama.

Pandangan moden berkenaan secara tidak langsung menyebabkan ramai pihak terutamanya umat Islam mengerutkan dahi dan diasak kebingungan. Dalam diam, timbul pertanyaan adakah betul dajal sebenarnya satu ideologi? Benarkah `dajal' sudah muncul pada hari ini?

Dajal bersifat makhluk

Berhubung perkara berkenaan, Yusuf Abdullah Yusuf alWabil dalam kitabnya Tanda-tanda Kiamat menjelaskan berdasarkan hadis sahih, jelas menunjukkan dajal itu bersifat makhluk iaitu seorang lelaki dan bukannya sekadar ideologi atau lambang banyaknya khurafat, pembohongan dan kebatilan pada akhir zaman.

"Dia (dajal) adalah seorang muda yang berkulit merah, pendek, berambut kerinting, dahinya lebar, bahunya lebar, matanya yang sebelah kanan buta dan matanya ini tidak menonjol keluar juga tidak tenggelam seolah-olah buah anggur yang masak (tidak bercahaya) dan matanya sebelah kiri ditumbuhi daging yang tebal pada sudutnya.

"Di antara kedua matanya terdapat tulisan huruf kaf, fa', ra' secara terpisah atau tulisan `kafir' secara bersambung berangkai yang dapat dibaca oleh setiap Muslim yang pandai menulis mahupun yang tidak menulis dan antara tandanya lagi ialah mandul, tidak punya anak," jelas pengkaji itu lagi berdasarkan pelbagai hadis mengenai dajal.

Dajal dikatakan sudah hidup sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi, antaranya hadis Tamim AdDari menjelaskan pada zaman itu, dajal pernah dijumpai di sebuah pulau terpencil oleh sekumpulan orang Arab yang hanyut.

Bagaimanapun, dajal akan terus hidup dan hanya akan muncul kembali di dunia manusia pada akhir zaman untuk melakukan angkara.

Muncul dari Khurasan

Kronologi kemunculan semula dajal bermula apabila masyarakat sudah terlalu jauh meninggalkan agama dan ajaran Allah SWT serta diingkari secara terang-terangan.

Kekacauan berlaku di mana-mana di seluruh dunia; keruntuhan akhlak, peperangan dan pembunuhan berjalan seiring dengan putaran waktu.

Ketika itulah akan munculnya dajal yang datang dari arah timur iaitu Kampung Yahudiyyah, Kota Ashbahan dari Khurasan.

Selepas kemunculannya, dajal akan mengembara ke seluruh penjuru bumi sehingga tiada satu pun negeri yang tidak dimasukinya kecuali Makkah dan Madinah kerana dua kota suci itu dijaga malaikat.

Pengikut dajal terdiri daripada orang Yahudi, Ajam, Turki, Arab Dusun dan semakin lama, semakin ramai manusia daripada pelbagai bangsa dan golongan yang percaya kepadanya.

Pada saat kemunculan dajal, ia mampu menunjukkan pelbagai kekuasaan magis yang pasti menakjubkan mereka yang tidak lagi beriman serta meneruskan penindasan terhadap sesiapa yang masih mahu mengesakan Allah.

Antara kemampuan dajal seperti diizinkan Allah SWT ialah boleh menghidupkan orang yang sudah dibunuh, memiliki kemewahan dunia, memerintahkan hujan supaya turun dan bumi menumbuhkan tanaman, memperlihatkan kepada pengikutnya kononnya keadaan syurga walhal gambaran itu adalah neraka dan sebaliknya, menyembuhkan orang buta dan penyakit sopak. Pihak yang menolak dakyahnya akan menerima musibah.

Dajal tinggal di bumi selama 40 hari dengan kiraan sehari seperti setahun, sehari seperti sebulan, sehari seperti seminggu dan baki seterusnya adalah seperti hari biasa.

Zaman fitnah dajal hanya berakhir apabila turunnya Nabi Isa as yang kemudian akan membunuhnya di pintu gerbang Kota Lud iaitu sebuah kota berhampiran Baitulmaqdis.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon