Friday, July 13, 2018

8 Perlawanan Paling 'Kotor' Dalam Sejarah Piala Dunia

Perlawanan ketika berlangsungnya perlawanan Piala Dunia biasanya tidak dapat lari dari dicemari dengan pelbagai insiden kekasaran yang memaksa pengadil melayangkan kad malah, ada juga insiden-insiden yang tidak disedari pengadil terutamanya apabila para pemain cuba bermain dengan siku.

Mari kita lihat beberapa perlawanan yang dianggap paling kotor dalam sejarah Piala Dunia.

1. Portugal lawan Brazil, Piala Dunia 1966

8 Perlawanan Paling 'Kotor' Dalam Sejarah Piala Dunia

Piala Dunia 1966 merupakan satu detik manis bagi England kerana dapat menjulang Piala Dunia di tanah air mereka sendiri.

Tetapi bagi Pele, ia sesuatu yang mahu dilupakan beliau kerana pada edisi ini, Brazil tersingkir ketika di peringkat kumpulan.

Pele yang diragui tahap kecergasannya semasa bermain menentang Bulgaria disahkan cergas untuk membantu Selecao menghadapi ancaman The Navigators.

Dan perlawanan itu dianggap penting terutama selepas Brazil tewas di tangan Turki pada perlawanan kedua.

Menyedari betapa pentingnya perlawanan ini, jurulatih Vicente Feola menukar barisan pertahanan dan penjaga gol serta mengambil risiko menurunkan Pele.

Perlawanan yang berlangsung di gelanggang Everton, Goodison Park ini menyaksikan Pele sentiasa dikasari Joao Pinto sehingga menyebabkan beliau terhincut-hincut dalam perlawanan.

Perlawanan berakhir dengan kemenangan 3-1 memihak kepada Portugal dan mereka berjaya mendapat tempat ketiga dalam edisi itu.

Bagi Raja Bola Brazil itu pula, Piala Dunia 1966 seharusnya menjadi medan terakhirnya tetapi keputusan persaraannya dibatalkan dengan beliau mengetuai Selecao memenagi Piala Dunia 1970.

2. England lawan Argentina, Piala Dunia 1966

8 Perlawanan Paling 'Kotor' Dalam Sejarah Piala Dunia

Jika Pele merasakan nasib malang menimpanya kerana ditimpa kecederaan, dia bernasib baik kerana pemain-pemain England seperti mendiang Sir Geoff Hurst dan Martin Peters pasti bersetuju dengannya.

Ini diakui sendiri pengurus England, Sir Alf Ramsey yang melabel pemain-pemain Argentina binatang kerana satu insiden membabitkan kapten mereka, Antonio Rattin enggan keluar padang selepas dilayangkan kad merah.

Pada perlawanan berkenaan, pemain-pemain Argentina dituduh melakukan taktik kotor seperti meludah dan memulas telinga pemain England.

Rattin kemudiannya dihalau keluar pengadil kerana selalu meleteri pengadil.

Ramsey turut mengarahkan pemain tidak bertukar jersi dengan pemain La Albiceleste selepas tamat perlawanan yang memihak 1-0.

Dan dalam terowong pemain pula, wujud kekecohan antara pemain kedua-dua negara.

Mereka bernasib baik kerana insiden berkenaan tidaklah sekecoh Pizzagate membabitkan pemain tengah Chelsea, Cesc Fabregas dan Ferguson selepas Manchester United menamatkan rekod tanpa kalah Arsenal pada musim 2004-2005.

3. Itali lawan Argentina, Piala Dunia 1982

8 Perlawanan Paling 'Kotor' Dalam Sejarah Piala Dunia

Ini antara resepi yang selalu ditiru pihak lawan sekiranya pasukan mempunyai pemain bertaraf bintang dan legenda.

Tidak kiralah sama ada anda Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, Zidane atau Maradona, manteranya tetap sama:

'Halang mereka dan anda halang mereka bermain’.

Dalam kes Maradona, Itali tahu sekiranya mereka mahu menang, maka Maradona perlu dihalang.

Dan tugas itu diserahkan kepada pemain pertahanan Juventus, Claudio Gentile.

Gentile yang berkebolehan bermain sebagai bek tengah atau pemain pertahanan kanan/kiri, merupakan individu yang paling sesuai untuk tugas itu.

Pada perlawanan berkenaan, Gentile melakukan 23 kekasaran ke atas Maradona dan bernasib baik pengadil memutuskan untuk tidak menghalaunya keluar selepas dilayangkan kad kuning pada minit ke-42.

Ironinya, orang yang bertanggungjawab menyebabkan La Albiceleste kalah ialah pemain pertahanan Americo Gallego yang dihalau keluar pengadil kerana menolak pemain dengan sengaja.

Argentina kalah 2-1 dengan Itali meneruskan kemaraan dan menjulang kejuaraan Piala Dunia.

4. Scotland lawan Uruguay, Piala Dunia 1986

8 Perlawanan Paling 'Kotor' Dalam Sejarah Piala Dunia

Piala Dunia 1986 merupakan edisi Piala Dunia yang penuh dengan kontroversi.

Jika England menyumpah seranah pengadil kerana membenarkan jaringan gol Tangan Tuhan yang dilakukan Maradona, jiran mereka Scotland pula berang dengan kerenah Uruguay.

Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Uruguay hanya memerlukan seri untuk layak ke peringkat seterusnya.

Dan mereka berjaya mencapai matlamat berkenaan walaupun dipaksa bermain hampir 90 minit selepas pemain Sky Blues, Joao Batista dihalau keluar pengadil kerana melakukan terjahan keras ke atas legenda Scotland, Gordon Strachan.

Uruguay yang terdesak mahukan keputusan seri melakukan apa saja taktik termasuk kekasaran dengan tujuan mengganggu ritma permainan.

Dan ini menimbulkan kemarahan pengurus legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson yang berkata, “Mereka tiada rasa hormat terhadap maruah orang lain.”

Pemain-pemain The Tartan Army turut menuduh pemain Uruguay memijak kaki mereka semasa menarik mereka berdiri semula.

5. Cameroon lawan Argentina, Piala Dunia 1990

8 Perlawanan Paling 'Kotor' Dalam Sejarah Piala Dunia

Perlawanan membabitkan Indomitable Lions dan La Albiceleste yang juga perlawanan pembukaan kejohanan seharusnya memihak kepada Argentina yang ketika itu diketuai legenda Napoli dan Barcelona, Diego Maradona.

Tetapi, pihak lawan dilihat menggunakan kekuatan fizikal mereka mengatasi kemahiran teknikal yang dimiliki La Albiceleste untuk mendominasi perlawanan.

Hasilnya, Cameroon mengutip faul sebanyak 30 kali berbanding Argentina sebanyak sembilan kali.

Dan jika itu saja tidak mencukupi, dua pemain iaitu Andre Biyik dan Benjamin Massing turut dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana melakukan terjahan keras dan berbahaya.

Walau apapun orang mahu kata berkenaan rekod disiplin The Indomitable Lions, Cameroon menang dengan keputusan 1-0 hasil jaringan penyerang Stade Rennes ketika itu, Francois Omam-Biyik.

Bagi peminat neutral, mereka menyukainya kerana Cameroon melakar sejarah sebagai negara Afrika pertama memenangi perlawanan ketika Piala Dunia.

Cameroon berjaya layak ke suku akhir tetapi ditewaskan England dengan keputusan 3-2.

Sementara Argentina pula berjaya layak ke peringkat akhir tetapi tewas di tangan Jerman dengan jaringan 1-0.

6. Belanda lawan Jerman Barat, Piala Dunia 1990

8 Perlawanan Paling 'Kotor' Dalam Sejarah Piala Dunia

Jika Argentina menyumpah tahap kekasaran yang dipamerkan Cameroon, ini pula membabitkan pertembungan dua pemain legenda.

Pada perlawanan berkenaan, keadaan sudah menjadi tegang antara mereka berdua bila Frank Rijkaard dilayangkan kad kuning kerana melakukan terjahan gunting ke atas Rudi Voller.

Bila Rijkaard berjalan di sebelah Voller tatkala mahu mengambil sepakan percuma, beliau meludah ke arah Voller sekali gus menimbulkan kemarahan bakal pengarah sukan Bayer Leverkusen itu.

Selepas mengadu kepada pengadil, aduannya tidak dilayan dengan beliau juga dilayangkan kad kuning.

Dari situ, semasa sepakan percuma diambil, Voller berlaga dengan penjaga gol Belanda, Hans van Breukalen di mana tangannya terkena bola dan dikatakan sengaja menjatuhkan diri untuk mendapatkan penalti.

Rijkaard yang sudah hilang sabar memusing telinga penyerang Jerman itu dan memijak kaki Voller.

Untuk mengelak ketegangan antara kedua-dua pemain ini berterusan, pengadil Juan Carlos Loustau melayangkan kad merah kepada kedua-duanya.

Dan apabila mereka berdua menuju ke bilik persalinan, sekali lagi Rijkaard meludah ke arah Voller.

Akibatnya, media Jerman melabel legenda AC Milan itu sebagai Llama kerana insiden meludah Voller.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, pemain tengah Belanda itu kemudian memohon maaf dan permohonan maafnya diterima Voller.

7. Portugal lawan Belanda, Piala Dunia 2006

8 Perlawanan Paling 'Kotor' Dalam Sejarah Piala Dunia

Piala Dunia 2006 merupakan satu edisi yang mahu dilupakan legenda Perancis dan bekas pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane kerana menanduk bek tengah Itali, Marco Materazzi semasa final kejohanan.

Tetapi, Zidane tidak keseorangan kerana perlawanan pusingan kedua membabitkan Oranje dengan The Navigators turut tidak terlepas dengan kontroversi.

Perlawanan tersebut menyaksikan layangan kad kuning dan kad merah paling banyak dalam kejohanan.

Dalam perlawanan tersebut, pengadil Rusia, Valentin Ivanov tidak teragak-agak melayangkan empat kad merah dan 16 kad kuning.

Pemain-pemain yang menerima kad merah ialah Costinha dan Deco (Portugal) dan Giovanni van Bronckhorst dan Khalid Boulahrouz.

Constinha mencetuskan kekecohan dengan melakukan terjahan berbahaya ke atas pemain veteran Belanda, Philipp Cocu sekaligus mencetuskan keributan kad merah.

Dan tidak seperti Zidane, legenda Portugal merangkap rakan sepasukannya di Real, Luis Figo bernasib baik tidak dilayangkan kad merah atas kesalahan menanduk pemain tengah Barcelona ketika itu, Mark van Bommel.

Portugal layak ke peringkat suku akhir dengan kemenangan 1-0.

8. Sepanyol lawan Belanda, Piala Dunia 2010

8 Perlawanan Paling 'Kotor' Dalam Sejarah Piala Dunia

Empat tahun selepas apa yang berlaku di Jerman, jika ada pengadil menyangka apa yang berlaku bersifat sekali saja, mereka silap.

Ianya kembali berulang membabitkan pelaku yang sama, Belanda tetapi mangsa berbeza, Sepanyol. Ini berlaku pada pentas final Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Pada perlawanan tersebut, Belanda yang mengamalkan gaya permainan menarik sepanjang kejohanan mengambil keputusan meniru taktik Cameroon untuk cuba menjejaskan keupayaan pihak lawan.

Anda perlu ingat, ketika itu kita amat obses dengan gaya permainan tiki-taka yang diperkenalkan bakal pengurus Manchester City, Josep Guardiola dan ia menjadi identiti permainan bukan saja di Barca tetapi juga untuk kegunaan pasukan kebangsaan.

Pengadil Howard Webb terpaksa bertindak tegas dengan melayangkan 14 kad termasuk satu kad merah ke atas bek tengah Oranje, Johnny Heitinga.

Dalam tempoh 13 minit, lima kad kuning dilayangkan dan orang besi Hamburg SV ketika itu, Nigel de Jong bernasib baik tidak dihalau keluar kerana membuat sepakan karate terhadap pemain tengah Sepanyol, Xabi Alonso.

Mendiang Johan Cruyff menuduh Belanda bermain permainan anti-bola sepak dan taktik mereka langsung tidak berhasil selepas La Roja menewaskan Oranje 1-0.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon