Monday, July 23, 2018

Malaysia 'Baharu' atau 'Baru' Yang Mana Sebenarnya Betul?


Ada seorang kawan bertanya kepada saya, mana satu yang betul, Malaysia Baharu atau Malaysia Baru? Sangat ramai sebenarnya yang tidak dapat membezakan 2 frasa ini.

Malaysia 'Baharu' atau 'Baru' Yang Mana Sebenarnya Betul?

Bagi kebanyakan penutur bahasa Melayu, mereka merasakan bahawa kedua-dua frasa ini adalah sama cuma mempunyai ejaan yang berbeza.

Ada seorang kawan saya menganggap bahawa ‘baharu’ itu ejaan pada zaman sekarang manakala ‘baru’ itu ejaan pada zaman dahulu. Yang mana sebenarnya betul?

Perkara ini terjadi kerana ramainya penutur bahasa Melayu tidak dapat membezakan mana satu yang betul sama ada ‘baharu’ atau ‘baru’.

Dalam artikel ringkas ini, inginlah saya memberi sedikit pencerahan sebagai seorang yang mempelajari bidang bahasa Melayu secara mendalam.

Sebenarnya perkataan ‘baru’ dengan perkataan ‘baharu’ mempunyai maksud yang berbeza.

Perkataan ‘baharu’ itu merujuk kepada kata sifat (adjektif) manakala ‘baru’ itu merujuk kepada ‘masa’.

Dalam bahasa Inggeris, ‘baharu’ itu merujuk kepada ‘new’ manakala ‘baru’ itu merujuk kepada ‘just’.

Contoh ayat ‘baharu’ : Bapa saya membeli sebuah kereta baharu.
Contoh ayat ‘baru’ : Saya baru sahaja pulang dari kedai.

Bagi frasa ‘Malaysia Baharu’ atau ‘Malaysia Baru’ pula, istilah yang paling tepat sudah tentulah frasa ‘Malaysia Baharu’.

Penggunaan frasa ‘Malaysia Baharu’ itu menggambarkan keadaan negara Malaysia yang mempunyai sebuah kerajaan, dasar, corak dan sistem pemerintahan yang berbeza daripada yang sebelum ini.

Diharapkan agar artikel yang serba ringkas ini dapat memberi pencerahan kepada pembaca yang sering terkeliru antara perkataan ‘baru’ dan perkataan ‘baharu’.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: fmt | sayapejuangbahasa

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon