Saturday, June 16, 2018

Tragedi Letupan Lombong Arang Batu Dhanbad 1965


Pada hari itu, seperti biasa suasana di sebuah kawasan lombong arang batu yang terletak berdekatan bandar Dhanbad, kira-kira 362 kilometer ke arah barat laut Calcutta, India, sibuk dengan ratusan pelombong yang sedang bekerja.

Tragedi Letupan Lombong Arang Batu Dhanbad 1965

Kelihatan para pelombong begitu tekun menjalankan tugas masing-masing tanpa mengetahui bahawa tapak perlombongan itu bakal menjadi sebuah kawasan perkuburan besar yang meragut ratusan nyawa pada hari tersebut.

Pada tanggal 28 Mei 1965, satu letupan besar telah menggegarkan kawasan lombong arang batu itu yang berpunca daripada satu percikan api yang berlaku di lombong berkenaan kira-kira pukul 1 pagi.

Lombong arang batu itu yang terdedah dengan gas metana yang terkumpul telah menyebabkan satu letupan kuat berlaku dan mengakibatkan seluruh kawasan lombong itu runtuh sepenuhnya.

Ekoran letupan tersebut, kawasan di sekitar lombong telah diselubungi dengan debu tebal selain dihujani dengan batu-batu yang berterbangan.

Tertimbus

Akibatnya, kira-kira 375 pekerja yang berada di dalam kawasan lombong itu dilaporkan terbunuh dengan hampir kebanyakan mangsa maut akibat tertimbus.

Bahkan, letupan kuat itu turut membunuh kira-kira 100 pekerja lain yang berada di kawasan sekitar selain mengakibatkan beberapa buah rumah di kawasan berhampiran turut musnah.

Menurut laporan akhbar tempatan, Times of India, api yang terhasil akibat daripada letupan besar itu hanya dapat dikawal beberapa hari selepas kejadian.

Lombong yang menjadi sumber rezeki kepada beratus-ratus pekerja miskin itu musnah dan meragut banyak nyawa, ujar seorang pekerja yang terselamat.

Di kebanyakan kawasan perlombongan, ia memang biasa terdedah dengan kehadiran gas metana secara semula jadi.

Sifatnya yang ringan daripada udara menyebabkan gas metana mudah untuk naik dari kawasan lombong dan berada di merata-rata kawasan. Gas itu yang bercampur dengan habuk arang batu akan menjadikan ia lebih mudah terbakar.

Pengudaraan

Biasanya, setiap lombong akan menggunakan alat pengesan gas untuk mengukur tahap gas me­tana selain usaha menambah habuk batu kapur yang dicampur dengan habuk arang batu untuk mengelak berlakunya letupan.

Namun, penggunaan teknologi yang mundur ketika itu menyebabkan berlakunya banyak kemalangan terutama di kawasan lombong di India.

Berhubung kejadian itu, timbul dua teori yang dikemukakan di mahkamah oleh pihak-pihak yang terbabit.

Mengikut teori oleh Jabatan Pertahanan, terdapat pengumpulan gas mudah terbakar dalam lombong arang batu pada bacaan 15 yang dianggap tinggi untuk mencetuskan letupan kuat.

Letupan dikenal pasti selepas seseorang yang tidak dikenali te­lah memasuki lombong dengan membawa api dan menyebabkan berlaku letupan, kata penyiasat yang mendakwa terdapat unsur sabotaj dalam kejadian tersebut.

Siasatan yang dijalankan selama 45 hari itu akhirnya menemui tiga jawapan mengenai punca kejadian iaitu kurangnya sistem peng­udaraan yang sempurna, penggunaan api yang dibakar pada buluh sebagai lampu di lombong dan habuk arang batu yang berterbangan di udara.

Hasil daripada penemuan itu, Mahkamah Siasatan te­lah mewajibkan semua pekerja di lombong bawah tanah harus diberikan topi lampu elektrik.

Selain itu, para pekerja lombong juga mesti dilatih untuk mengesan kehadiran gas metana di kawasan lombong dan menguji kehadiran gas tersebut di setiap kedalaman 100 meter bagi mengelak kejadian serupa berulang.

Seramai 375 orang pekerja terbunuh selepas satu letupan berlaku akibat percikan api di kawasan diselubungi debu arang batu yang bercampur gas metana.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon