Friday, June 22, 2018

Penanaman Kelapa Matag, Apa Istimewanya Buah Ini?


Kelapa Matag adalah nama singkatan bagi kacukan antara varieti kelapa 'Malayan Tall' dangan kelapa 'Tag nanan' yang dicantumkan menjadi 'MATAG' bagaimanapun, jangan terkejut jika pokok kelapa MATAG yang ditanam tidak berbuah dan jika berbuah pun, ia tiada ciri MATAG.

Penanaman Kelapa Matag, Apa Istimewanya Buah Ini?

Ia mungkin disebabkan pokok kelapa itu ditanam menggunakan anak benih diambil daripada buah kelapa MATAG yang dicambah.

Jika benar, anda sebenarnya menanam benih tidak tulen atau dalam istilah saintifiknya dipanggil Generasi F2.

Generasi F2 tidak mempunyai ciri-ciri kualiti dan kelebihan seperti kelapa MATAG jika dijadikan anak benih.

Ini kerana kelapa MATAG sejenis kelapa hibrid yang dihasilkan melalui kacukan dua induk kelapa berbeza iaitu Tagnanan sebagai induk jantan dengan Malayan Red Dwaft (MRD) atau Malayan Yellow Dwaft (MYD) sebagai induk betina.

Nama ‘MATAG’ pula singkatan gabungan antara ‘MA’ (Malayan) dan ‘TAG’ (Tagnanan) bagi menggambarkan kelapa hibrid hasil kacukan dua varieti berbeza.

Kelapa hibrid MATAG mempunyai gabungan ciri baik dan kelebihan yang diwarisi kedua-dua induknya iaitu buah yang besar daripada Tagnanan dan pokok rendah, cepat berbuah serta lebat daripada MRD atau MYD.

Bagi mendapatkan hasil kelapa hibrid MATAG sebenar, petani perlu memastikan benihnya tulen iaitu hasil pendebungan antara Tagnanan dengan MRD atau MYD atau istilah saintifiknya dipanggil Generasi F1.

Potensi Kelapa Di Malaysia

Industri tanaman kelapa di Malaysia merupakan satu industri penting dikalangan petani yang menyumbang kepada sosio-ekonomi untuk pembasmian kemisikinan terutamanya pekebun kecil kelapa.

Kebanyakan mereka menanam kelapa varieti 'Malayan Tall' yang telah tua dan tidak produktif lagi dengan penghasilan yang sangat rendah.

Seramai lebih 80,000 petani dilaporkan terlibat dengan penanaman kelapa pada 2010 dengan keluasan mencapai 110,000 hektar terutama di beberapa kawasan seperti di Johor, Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak.

Anak benih kelapa MATAG tulen hanya dikeluarkan Jabatan Pertanian melalui ladang benih kelapa di Pusat Pertanian Pagoh, Johor dan Pusat Pertanian Lekir, Perak.

Jabatan Pertanian Sabah dan Jabatan Pertanian Sarawak juga mengeluarkan benih kelapa hibrid MATAG iaitu masing-masing di Stesen Kelapa Menumbok dan Pusat Pertanian Tarat.

Prosedur operasi standard (SOP) bagi pengeluaran anak benih kelapa hibrid MATAG disediakan bertujuan menyeragamkan proses pengeluaran anak benih kelapa di setiap ladang benih dan tapak semaian.

Ia bagi menjamin ketulenan benih kelapa hibrid MATAG yang dikeluarkan Jabatan Pertanian.

Pengeluaran anak benih kelapa hibrid MATAG antara aktiviti di bawah Projek Pengeluaran Benih Tanaman dalam rancangan lima tahun sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Kelebihan Kelapa Matag

Penanaman Kelapa Matag, Apa Istimewanya Buah Ini?

Ramai petani termasuk penduduk kampung dan pinggir bandar tertarik dengan kelapa MATAG kerana selain pokoknya rendah, buahnya besar, cepat berbuah dan lebat.

Pokok kelapa MATAG daripada anak benih yang dikeluarkan mengikut prosedur ini berpotensi menghasilkan buah melebihi 25,000 biji sehektar setahun.

Kelapa hibrid MATAG boleh memberikan hasil buah kelapa yang banyak dalam jangka panjang dengan saiz lebih besar dan popular dalam kalangan pengguna domestik selain dapat menghasilkan kelapa muda, jeli kelapa, dijual muda untuk air dan tua untuk santan.

Penanaman

Anak benih tulen merupakan asas kepada kejayaan penanaman kelapa 'Matag'.

Petani perlu mendapatkan bekalan anak benih 'Matag' daripada pembekal sah yang mampu menyediakan benih tulen iaitu Jabatan Pertanian dan Ladang Jenderata (UP) sahaja.

Walaupun ada nurseri swasta yang mendakwa mempunyai anak benih kelapa matag, ia perlu diawasi kerana peratus kejayaan proses pendebungaan kelapa matag sekitar 45-50% sahaja yang menjadi kelapa matag.

Manakala 50% lagi mungkin tidak menjadi kelapa matag tetapi jadi kelapa MRD atau Tagnanan atau lain-lain.

Penyediaan anak benih kelapa matag adalah menggunakan debunga dari pokok varieti 'Tagnanan' (tinggi) dengan pokok varieti 'Malayan Red Drawrf' (MRD) atau 'Malayan Yellow Dwarf' (MYD) yang rendah dan renek.

Debunga Tagnanan disembur kepada bunga betina MRD/MYD dan ditutup rapat.

Lazimnya selepas setahun baru akan dapat anak benih matag selepas proses menakai (culling) pokok yang bukan jenis matag.

Jarak penanaman kelapa matag adalah mengikut jenis tanah tetapi lazimnya sekitar 8.1 meter x 8.1 meter dengan kadar kepadatan sebanyak 178 pokok sehektar.

Pokok kelapa memerlukan 100% cahaya matahari untuk memberikan hasil yang optima.

Sediakan lubang penanaman dengan ukuran 0.45m x 0.45m x 0.45m sebelum menanam dan berikan baja organik dan 200 gram baja Fosfat digaul kedalam lubang penanaman.

Penanaman kelapa sering diintergrasikan dengan tanaman selingan seperti pisang, nanas, tanaman kontan seperti jagung, sayur-sayuran, keledek, keladi dan sebagainya.

Kaedah ini akan memastikan petani mendapat pendapatan lebih cepat sementara menunggu pokok kelapa matag berbuah.

Aktiviti penternakan seperti menternak ayam, kambing atau lain-lain yang sesuai juga digalakan dalam program pemulihan kawasan kelapa oleh kerajaan.

Program pembajaan kelapa matag diberikan sebanyak 1 kg sepokok dengan NPK 15:15:15 pada tahun pertama dan ditambah kepada 1.5 kg/pokok pada tahun kedua dan seterusnya.

Baja NPK 12:12:17:2 diberikan sebanyak 5 kg/pokok/ tahun setelah pokok mula berbuah pada tahun keempat atau tahun kelima.

Pengapuran sebanyak 2-3 mt/ha/ tahun disyorkan untuk diberikan terutama dikawasan tanah persisir pantai.

Penyakit dan perosak

Masalah serangan kumbang tanduk (Oryctes rhinocerous) merupakan ancaman peringkat awal penanaman yang perlu dikawal.

Kumbang tanduk yang masuk ke dalam anak pokok yang baru ditanam akan memakan umbut dan menyebabkan pokok akan mati jika tidak dikawal.

Kawalan dengan cara manual (musnahkan perumah) atau gunakan racun yang sesuai seperti carbofuran.

Perosak lain tanaman kelapa seperti kumbang jalur merah (Rynchoporus schach) yang juga serangga merosakkan batang dan pucuk kelapa matag dikawal dengan racun monocrothopos atau metamidophos (5-10 mL/pokok) iaitu cara suntingan batang pokok.

Masalah lain ialah seperti serangan ulat beluncas , ulat pengorek daun (Artona catoxantha) dan beberapa perosak lain.

Penuaian

Kelapa Matag lebih cepat mengeluarkan hasil berbanding dengan varieti kelapa 'Malayan Tall' sedia ada iaitu petani boleh mengutip hasil buah kelapa seawal 3-4 tahun selepas penanaman.

Berdasarkan laporan penilaian yang dibuat Jabatan Pertanian mendapati seluas lebih 67 hektar kelapa matag ditanam di Perak, Johor dan Selangor pada tahun 2009 dimana melibatkan sebanyak 17,000 pokok dibuat kajian.

Kebanyakan petani menanam dengan tanaman selingan seperti pisang, herba, koko, sayur-sayuran malahan ada yang menanam di celah-celah kelapa sawit.

Kajian tersebut menyatakan sebanyak 992,120 biji kelapa telah dihasilkan dengan produktiviti pengeluaran hasil kelapa matag sebanyak 9,532 biji/ha/tahun (umur pokok 7 tahun), sebanyak 12,941 biji/hektar/tahun (umur 8 tahun) dan sebanyak 23,757 biji/hektar/tahun (umur pokok 9 tahun).

Purata penghasilan bagi ketiga-tiga tahun tersebut adalah sebanyak 14,937 biji/hektar/tahun.

Hasil pengeluaran terus meningkat saban tahun dengan penjagaan yang baik.

Potensi

Malaysia masih merupakan pengguna tegar produk kelapa untuk kegunaan harian.

Banyak menu makanan harian menggunakan asas produk santan kelapa seperti nasi lemak, masakan kari, kuih muih, masak lemak cili padi, masak lemak putih dan bermacam lagi jenis masakan.

Santan segar atau santan siap proses kini terdapat dipasaran dengan harga yang berpatutan.

Keperluan produk kelapa di musim perayaan seperti Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji bertambah berlipat kali ganda untuk masak rendang serta lain-lain menu menyebabkan berlaku pengimportan buah kelapa dari negara jiran (terutamanya dari Indonesia) untuk menampung kekurangan ini.

Program menambahkan kawasan atau menanam varieti kelapa baru seperti kelapa matag dijangka dapat memenuhi keperluan kelapa untuk rakyat Malaysia pada masa akan datang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia | hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon