Rabu, Jun 06, 2018

Bekas Pekerja Dedah Siapa Sebenarnya Tommy Thomas, Peguam Negara Baharu Malaysia!

Seorang bekas pekerja di firma guaman Tommy Thomas berkongsi cerita bagi mendedahkan siapa sebenarnya individu yang baharu dilantik sebagai Peguam Negara itu.

Rahsia Tommy Thomas

Ashikin Rahim yang berkongsi di laman Facebooknya berkata, perkongsian cerita itu dibuat kerana mahu menceritakan siapa sebenarnya TT, gelaran yang diberikan kepada Thomas, berbanding menilainya berdasarkan agama atau penulisan yang dianggap berat sebelah sebelum ini.

Memulakan cerita, Ashikin berkata, dia menyertai firma guaman pada 2009 dan ketika itu dia tidak tahu firma tersebut milik Tommy.

“Saya ingatkan dia Cina, jadi anda dapat bayangkan macam mana saya terkejut ketika melangkah masuk ke bilik mesyuarat.

“Saya memohon kerja sebab kebanyakan senior saya beritahu bahawa dia merupakan pengamal litigasi terbaik dalam negara.

"Jadi bermula daripada itu saya bersemangat untuk litigasi ini,” tulisnya.

Menurutnya, ketegasan Tommy dapat dilihat di mana beliau tidak akan membiarkan telefonnya berbunyi tiga kali dan beliau akan sentiasa memberi perkembangan kepada pelanggan sebelum kes mahkamah dijadualkan.

Katanya, Tommy juga merupakan seorang yang tegas, berprinsip, menepati masa, pemurah dan sentiasa mengambil berat terhadap pekerja bawahannya.

“Secara peribadi beliau merupakan bos terbaik sepanjang saya bekerja di lima firma guaman sebelum itu.

"Dia tidak hirau mengeluarkan duit buat pekerjanya.

"Dia selalu beli makanan buat kami di tempat mahal, membawa kami bercuti dan memberikan wang saku, duit raya dan duit dapat anak.

“Saya juga dapat duit untuk majlis perkahwinan, dapat bonus di tahun terakhir walaupun saya akan berhenti pada April untuk memberi tumpuan kepada bayi yang baru lahir,” katanya.

Ashikin berkata, Tommy bukanlah seorang peguam yang mengejar keuntungan dan kemasyhuran semata-mata malah beliau juga sanggup ‘kutip’ kes yang tidak mendatangkan keuntungan selain mengeluarkan wang sendiri untuk membiayai anak guamnya.

“Apa yang paling penting ialah, dia pasti memberi perhatian berat kepada litigasi kepentingan awam.

"Saya banyak ditugaskan untuk kes seperti itu. Kami buatnya secara percuma.

“Kami berjuang untuk hak persatuan penduduk, negeri yang dipimpin kerajaan pembangkang (sebelum ini) dan orang miskin yang tertindas oleh keputusan kerajaan, orang miskin yang tertipu dalam pelaburan.

"TT memberitahu seseorang perlu berjuang untuk semua itu,” katanya.

Jadi menurutnya, dia mengerti mengapa bekas majikannya itu dipilih menjadi Peguam Negara oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, orang ramai tidak perlu khuatir dengan pelantikan Tommy ini kerana tidak akan ada apa-apa yang terjejas terutamanya berkaitan Islam di negara ini.

“Dalam hal ini, sudah pasti Peguam Negara akan terlibat dalam merangka segala undang-undang, tetapi peranannya terhad kerana undang-undang di negara ini mempunyai unit khas untuk menggubal Undang-Undang Syariah.

"Maka itu, beliau tidak mengawal undang-undang Islam di negara ini.

“Bagi permasalahan yang tidak biasa diuruskannya, terdapat ramai pakar dalam Pejabat Peguam Negara yang boleh menasihatkannya.

"Bukan semua orang tahu semua benda. Bukan sahaja kita, Perdana Menteri juga begitu,” katanya.

Menurutnya, pada ketika ini orang ramai tidak harus mempertikaikan terhadap apa yang sudah diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, memperkenankan pelantikan Tommy sebagai Peguam Negara.

“Jadi sejak kita tidak boleh membuat apa-apa yang sudah diputuskan oleh Istana, mari kita terimanya dengan persefahaman dan minda terbuka.

"Mengapa cuba menimbulkan huru-hara terhadap sesuatu yang belum terbukti akan berlaku.

“Untuk orang Islam, ingatlah, semuanya adalah ketentuan ALLAH.

"Mari menjaga keamanan negara bersama-sama,” katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon