Sunday, May 13, 2018

Punca Penyakit Ulser, Simptom Dan Rawatannya


Seorang wanita mengadu beliau mengalami beberapa simptom yang mengganggu aktiviti kehidupan seharian sejak beberapa tahun yang lalu.

Punca Penyakit Ulser Perut

Simptom-simptom yang dialami ialah rasa sakit pada bahagian atas abdomen sejam selepas mengambil makanan, hilang selera makan, selera makan meningkat (kadang-kadang terdapat makanan yang meredakannya), sakit hulu hati (sakit perut), sering sendawa, perut sebu, loya (kadang-kadang muntah).

Berdasarkan pengetahuan, penyakit yang dialami oleh wanita tersebut ialah gastritis dan pada masa sama ulser.

Gastritis dikenali oleh kebanyakan orang dengan istilah gastrik.

Ia (gastritis) merupakan kerengsaan atau keradangan yang berlaku pada selaput perut (stomach lining) yang menyebabkan ia bengkak dan menimbulkan rasa sakit.

Ulser perut (peptic ulcer) pula ialah luka terbuka yang terdapat pada selaput perut.

Ia juga boleh berlaku pada duodenum (bahagian pangkal usus kecil).

Simptom Ulser

Simptom-simptom ulser perut adalah serupa dengan simptom-simptom gastrik.

Penyebab dan faktor-faktor risiko untuk kedua-dua penyakit tersebut termasuk penggunaan jangka panjang ubat anti keradangan bukan steroid (nonsteroidal anti-inflammatory drugs, NSAIDs), jangkitan bakteria Helicobacter Pyroli, merokok dan minum alkohol.

Makanan proses, masa makan tidak menentu, buah sitrus, kafeina, makanan berempah, lahan makanan, kesensitifan makanan (food sensitivities serta juga dikatakan sebagai penyebab.

Apakah kegunaan NSAIDs?

Ia dikatakan ubatan yang paling biasa diambil oleh jutaan pesakit di seluruh dunia bagi meredakan sakit pinggang, sakit kepala, artritis dan pelbagai penyakit keradangan lain.

Ia juga diambil oleh sebahagian penghidap penyakit jantung dan paras kolesterol tinggi bagi membantu mencairkan darah.

Malangnya, NSAIDs (contohnya aspirin) tidak bebas daripada kesan sampingan buruk iaitu ia boleh meningkatkan perembesan asid perut dan seterusnya menyebabkan ulser perut.

Asid Hidroklorik

Kedua-dua perut dan duodenum memproses jus berasid pada kadar yang tinggi.

Asid hidroklorik merupakan asid yang amat berkuasa yang bukan sahaja mampu menguraikan makanan kepada partikel-partikel lebih kecil malah boleh menghakis dan merosakkan selaput perut.

Bagi melindungi daripada hakisan jus perut berasid, kedua-dua perut dan duodenum diselaputi dengan lapisan mukus.

Selain itu, ion bikarbonat juga dirembas oleh lapisan perut dan duodenum.

Pada keadaan normal kedua-dua lapisan mukus dan ion bikarbonat (bersifat mengurangkan keasidan) menghalang asid hidroklorik daripada menghakis selaput perut dan duodenum.

Namun, apabila lapisan mukus lemah atau perembesan ion bikarbonat berkurangan maka sebahagian daripada tisu perut akan terhakis.

Kawasan di mana berlaku hakisan inilah yang dipanggil ulser.

Selain mengenal pasti punca, langkah mengambil makanan yang sesuai dan mengelakkan daripada mengambil makanan yang memburukkan lagi gastritis dan ulser adalah amat penting.

Perbezaan fisiologi antara seorang dengan yang lain menyebabkan setiap orang memiliki tindakan terhadap makanan, minuman yang unik.

Fenomena ini menyebabkan tiada cadangan diet yang universal untuk mengatasi gastritis dan ulser perut.

Makanan yang memburukkan keadaan

Dengan lain perkataan, berdasarkan pengalaman setiap penghidap lebih tahu makanan mana yang sesuai dan makanan mana yang akan memburukkan lagi penyakit yang di alami.

Sebahagian daripada makanan yang dikatakan boleh memburukkan lagi gastritis dan ulser termasuk makanan berminyak, makan bergoreng secara terendam lama, makanan segera (sering dimakan), makanan kaya marjerin (atau mentega asli), coklat, biskut, daging merah, minuman berkafeina, kopi, teh (hitam putih atau oolong) dan minuman berkarbonat.

Makanan, minuman lain ialah kubis, kubis bunga, brokoli, bawang, bawang putih, leek, daun bawang, pelbagai jenis kacang, keju keras (matured cheese), rempah (cili, lada hitam, lada putih, cengkih, kayu manis), makanan menggunakan banyak perencah, alkohol, cuka buatan dan gula.

Simptom Sederhana

Makanan, minuman berikut pula boleh menimbulkan simptom sederhana serta melambatkan penyembuhan pada sesetengah penghidap.

Ia termasuk lada loceng, nanas, buah dan jus sitrus, buah dan jus strawberi, terung (kecuali direbus), timun, jagung, kentang, labu, aising coklat, oat, pudina, spearmint, salami, sosej, halia (termasuk serbuk), pisang separuh masak dan pelbagai jenis jeruk.

Makanan sesuai pesakit Gastrik, Ulser

Punca Penyakit Ulser, Simptom Dan Rawatannya

Makanan, minuman yang sesuai untuk sesetengah penghidap gastritis dan ulser perut termasuk sayur-sayuran rebus (lobak, lobak putih, lobak bit, saderi, bayam Eropah; kecuali sayur-sayuran yang memburukkan simptom), pisang masak, nasi, telur rebus (sekadar beku kuningnya), roti tidak ceruh (kuantiti kecil), sup ayam, pear (kuantiti kecil), yogurt, kefir dan sup sayur.

Makanan, minuman lain ialah teh chamomile, teh chrysanthemum, teh pegaga, minyak zaitun ekstra dara (extra virgin), ikan, ayam, kacang gajus, badam (mentah) dan pasta semolina (dengan ayam atau makanan laut dan sayur-sayuran).

Manakala buah-buahan kering seperti pic, aprikot, kismis dan tin juga sesuai pada kuantiti kecil.

Selain mengamalkan gaya hidup yang sesuai termasuk mengambil makanan yang tidak menimbulkan simptom dan memburukkan simptom, penawar berikut mungkin boleh membantu anda.

Cadangan rawatan

Satu camca teh cuka epal dan setengah camca teh serbuk penaik dibancuh dengan satu cawan air.

Minum dua kali sehari ketika perut kosong.

Untuk ulser perut termasuk ulser usus, minyak kelapa dara dikatakan dapat membantu.

Begitu juga dengan pisang muda rebus yang dimakan dengan kulitnya sekali.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon