Monday, May 21, 2018

5 Skandal MINDEF Era BN Menteri Pertahanan Wajib Siasat


Centre for Malaysian Political And Economic Transcendence (COMPETENT) melihat pelantikan Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan yang baru adalah satu perkembangan yang baik dalam demokrasi negara ini.

5 Skandal MINDEF

Beliau yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu amat lantang mempersoalkan salah laku dan pembaziran wang yang berlaku semasa era Umno-BN sebelum ini.

Sudah pasti, amalan pembaziran wang dan salah guna kuasa dalam tadbir urus sebelum ini perlulah diberikan siasatan penuh agar dapat dibentuk polisi pengurusan baru di dalam Kementerian Pertahanan (Mindef).

Skandal RIV

COMPETENT menyeru menteri pertahanan agar dapat membuka kembali fail siasatan kes pembelian beberapa unit Rapid Intervention Vehicle (RIV) yang pernah mendapat perhatian Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang telah membuat teguran berkenaan harga yang terlalu mahal.

Dilaporkan bahawa harganya adalah RM690,000.00 seunit sedangkan baginda Sultan pernah membelinya dengan harga RM150,000.00 sahaja.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku menteri pertahanan pada waktu itu turut berjanji akan membuka kertas siasatan namun kes tersebut kelihatan seperti ditutup terus.

Skandal Armored Personnel Vehicle
Begitu juga kes berkenaan pembelian 257 unit Armored Personnel Vehicle daripada syarikat Turki yang berharga RM7.5 bilion.

Harga tersebut dikatakan naik mendadak daripada harga asal sebanyak RM1.76 bilion seperti yang dilaporkan oleh akhbar Turki sewaktu perjanjian ditandatangani pada 2011.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara pada waktu itu, Tony Pua, pernah mempersoalkan perkara ini di Parlimen namun tidak dijawab oleh menteri pertahanan pada ketika itu.

Skandal Kapal Selam Scorpene

COMPETENT juga menggesa Mindef untuk mengkaji polisi komisen yang melampau kepada syarikat orang tengah yang menjadi broker kepada pembelian aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perkara ini juga telah menjadi buah mulut rakyat apabila Perimekar Sdn Bhd, yang dimiliki oleh Razak Baginda yang juga sahabat kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, mendapat ‘habuan’ sebanyak Euro114 juta (atau RM535 juta mengikut kadar hari ini) dalam proses pembelian dua unit kapal selam Scorpene.

Skandal ini menjadi lebih hangat lagi apabila Razak Baginda dikaitkan pula dengan kematian mendiang Altantunyaa Sharibu yang masih menjadi misteri sehingga kini.

Skandal unit Patrol Vessels

COMPETENT turut mendesak supaya pembekal atau kontraktor kepada Mindef yang pernah terlibat dengan projek sakit disenarai hitamkan dan disaman untuk kerugian yang ditanggung.

Sebagai contoh, projek pembinaan 27 unit Patrol Vessels yang berharga hampir RM1 bilion setiap unit yang gagal disempurnakan mengikut jadual oleh syarikat PSC-Naval Dockyard.

Syarikat ini dimiliki oleh Tan Sri Amin Shah yang diketahui sebagai kroni besar Umno-BN.

Syarikat hak milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings, akhirnya terpaksa mengambil alih PSC-Naval Dockyard untuk memastikan kelancaran projek tersebut.

Skandal PUSPAHANAS

Negara kita juga mengalami kerugian besar apabila projek pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) yang bernilai RM100 juta diberikan kepada syarikat hak milik tokoh wanita Umno, Raja Ropiaah, yang langsung tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pembinaan.

Skandal ini hangat diperkatakan di media apabila didedahkan oleh Deepak Jaikishan (rakan karib Datin Seri Rosmah) yang marah kerana Ropiaah dikatakan gagal menunaikan perjanjian kepada Deepak sebagai timbal balik untuk Deepak membantu dalam projek pembinaan PUSPAHANAS tersebut.

Sekali lagi anak syarikat LTAT terpaksa mengambil alih projek sakit milik kroni Umno-BN untuk memastikan kelancaran projek.

Akhirnya, COMPETENT mengharapkan agar satu tadbir urus yang cekap dan berhemah berdasarkan kepada kaedah-kaedah terbaik (best practices) dapat dijadikan amalan di Mindef dan aset-aset yang terbaik turut dapat disediakan dan diselenggara untuk kegunaan perwira-perwira negara dalam angkatan tentera.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon