Selasa, April 03, 2018

Sambutan Hari Tanah Palestin, The Land Day


Sambutan Hari Tanah Palestin atau The Land Day disambut pada 30 Mac setiap tahun untuk memperingati pembunuhan enam penunjuk perasaan berketurunan Arab Israel oleh tentera Zionis sewaktu demonstrasi besar-besaran pada tahun 1976 bagi membantah rancangan Israel merampas tanah Arab di wilayah Galilee.

Sambutan Hari Tanah Palestin, The Land Day

Bekas ahli politik Belanda yang juga aktivis hak asasi manusia, Arjan El Fassed pernah menulis artikel khas mengenai insiden ini yang bertajuk, What is it that Palestinians commemorate on Land Day?

Artikel yang disiarkan di laman web The Electronic Intifada pada 30 Mac 2001 itu menjelaskan secara terperinci insiden yang berlaku sekali gus menunjukkan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Menurut El Fassed, tindakan Israel yang mahu merampas 60,000 dunam tanah milik Arab di wilayah Galilee mengundang tunjuk perasaan oleh beribu-ribu penduduk minoriti Palestin di negara tersebut.

Dunam ialah unit pengiraan kawasan tanah yang digunakan pada zaman Empayar Uthmaniyyah. Satu dunam merujuk kepada kawasan seluas 1,000 meter persegi.

Konfrontasi yang berlaku antara penduduk dan polis Israel itu menyebabkan enam rakyat Palestin terbunuh, ratusan tercedera dan beratus-ratus lagi dipenjarakan.

Dalam tahun-tahun berselang, peristiwa tersebut telah dikenang dalam memori rakyat Palestin sebagai Hari Tanah.

Selepas bertahun-tahun dalam pemerintahan tentera dan politik kepatuhan, Hari Tanah 1976 merupakan tindakan pertama penentangan besar-besaran oleh rakyat Palestin di Israel terhadap polisi dalaman penjajah Zionis.

Polisi itu sebenarnya satu proses rampasan sistematik yang mengurangkan pemilikan tanah Palestin daripada kira-kira 94 peratus bagi kesemua wilayah pra-Palestin 1948 kepada kurang daripada tiga peratus dalam apa yang kini dianggap sebagai Israel.

Selepas beberapa tahun dipulaukan oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan negara-negara Arab, Hari Tanah mengesahkan minoriti rakyat Palestin di Israel sebagai satu bahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada negara Palestin dan Arab.

Penghormatan

Ketika sambutan Hari Tanah, ribuan penduduk akan berarak membawa bendera gergasi dari pusat bandar Sakhnin di utara Israel sambil melaungkan slogan mengenang mereka yang terkorban serta tahanan Palestin yang dipenjarakan.

Penghormatan turut diberikan kepada mangsa yang disifatkan sebagai syahid  malah, penduduk Palestin digesa untuk terus berjuang dalam menuntut tanah dan hak mereka kembali.

Perarakan utama Hari Tanah diadakan di pekan Deir Hanna, Galilee, diikuti dengan beberapa lagi demonstrasi jalanan di padang pasir dan persimpangan Shoket di wilayah Negev, selatan Israel.

Kumpulan tunjuk perasaan tersebut juga bertindak membantah rancangan rejim Zionis untuk menempatkan puluhan ribu kaum Arab Badwi yang menghuni padang pasir ke satu kawasan perbandaran tetap dengan mengambil ribuan hektar tanah penduduk Palestin.

Demonstrasi serupa turut berlangsung di kawasan Tebing Barat, tempat pemeriksaan utama di Baitulaham dan beberapa buah kampung.

Di Gaza, penduduk turut menyertai perarakan dari pekan Jabaliya ke Beit Lahiya.

Sambutan Hari Tanah yang berlangsung sejak tahun 1976 itu sering mendapat perhatian para penyokong Palestin termasuk pelarian di Lebanon, Jordan, Syria dan Tunisia.

Mereka turut berarak menuju ke sempadan sebagai sebahagian daripada perarakan global ke Baitulmuqaddis.

Israel secara berterusan terus merampas tanah rakyat Palestin dalam usaha untuk mengembangkan penempatan haram.
Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Nakba Day 14 Mei, Hari Malapetaka Rakyat Palestin

sumber: kosmo

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon