Wednesday, April 11, 2018

Dr. Christiaan Barnard Pakar Bedah Pemindahan Jantung Pertama Di Dunia


Pada 3 Disember 1967, di bilik bedah Hospital Groote Schuur di Cape Town, Afrika Selatan, Christiaan Barnard menjalankan pembedahan pemindahan jantung pertama di dunia apabila memindahkan jantung Denise Darvall, 25, yang maut akibat kemalangan jalan raya kepada Louis Washkansky, 55.

Dr Barnard Pakar Bedah Pemindahan Jantung Pertama Di Dunia

“Pemindahan jantung bukan perkara besar dalam pembedahan. Hakikat yang lebih penting adalah saya bersedia mengambil risiko. Falsafah saya ialah risiko terbesar dalam hidup adalah tidak mengambil risiko.” – Christiaan Barnard

Kehidupan peribadi

Christiaan Neethling Barnard dilahirkan pada 8 November 1922 di sebuah kampung di Beaufort West di Afrika Selatan dan dibesarkan dalam keadaan miskin bersama empat lagi adik beradiknya yang lain.

Bagaimanapun, salah seorang adik beradiknya meninggal dunia akibat masalah jantung ketika berusia 5 tahun.

Selepas tamat Sekolah Tinggi Beaufort West pada tahun 1940, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di University of Cape Town Medical School, di mana beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBChB) pada 1953.

Dengan harapan untuk mengejar kepentingan penyelidikan dan mendapat kemahiran baru serta pengalaman, beliau mendaftar University of Minnesota Medical School in 1955.

Selepas dua tahun pengajian, beliau dianugerahkan ijazah kedoktoran dan kembali ke negara asalnya untuk memulakan kerjaya sebagai pakar bedah jantung.

Karier awal

Pada tahun 1956, beliau menerima biasiswa dua tahun untuk latihan pasca siswazah dalam pembedahan kardiotorasik (jantung) di Universiti Minnesota, Minneapolis, Amerika Syarikat (AS) di bawah pakar jantung, Walt Lillehei.

Pada tahun 1958, beliau menerima Ijazah Sarjana Sains Pembedahan dan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah pada tahun sama.

Christiaan Barnard menyifatkan tempoh dua tahun yang dihabiskan di AS adalah yang paling menarik dalam hidupnya.

Sekembalinya di Afrika Selatan pada tahun 1958, beliau dilantik sebagai pakar bedah kardiotorasik di Hospital Groote Schuur, dan mewujudkan unit jantung pertama di hospital itu.

Selama beberapa tahun selepas itu, beliau kerap dinaikkan pangkat dan terkenal sebagai seorang pakar bedah terbaik yang banyak menyumbang kepada rawatan penyakit jantung.

Pemindahan jantung pertama di dunia

Selepas lebih 10 tahun menjalankan pembedahan jantung, Christiaan Barnard bersedia menerima cabaran yang lebih besar iaitu pemindahan jantung manusia.

Seorang pesakit Louis Washkansky yang mengalami masalah jantung bersetuju untuk menjalani pembedahan pemindahan jantung selepas menemui penderma yang sesuai.

Pembedahan pemindahan jantung pertama di dunia dilakukan pada 3 Disember 1967 dalam satu operasi yang dibantu adiknya Marius Barnard.

Pembedahan mengambil masa selama sembilan jam bersama pasukan yang terdiri daripada 30 orang doktor pakar dan pembantu perubatan.

Kejayaan pembedahan itu diraikan di seluruh dunia dan beliau mendapat perhatian media serta menjadi terkenal pada ketika itu.

Daripada tahun 1967 hingga 1973, beliau telah melakukan 10 pemindahan orthotopic dan Barnard juga merupakan orang pertama yang melakukan pemindahan jantung heterotopic.

Sebanyak 49 pemindahan jantung heterotopic dilakukan di Cape Town antara tahun 1975 dan 1984.

Kematian

Antara buku tulisan Christiaan Barnard:

  • The Donor
  • Your Healthy Heart
  • The Best Medicine
  • 50 Ways to a Healthy Heart
  • Body Machine


Persaraan dan kematian Christiaan Barnard bersara sebagai Ketua Jabatan Pembedahan Kardiotorasik di Cape Town pada tahun 1983 selepas menghidap artritis reumatoid (gangguan keradangan kronik yang menjejaskan banyak sendi) di bahagian tangan, yang sekali gus menamatkan kariernya.

Christiaan Barnard meninggal dunia pada 2 September 2001, semasa bercuti di Paphos, Cyprus.

Laporan awal menunjukkan beliau meninggal dunia akibat serangan jantung, tetapi hasil bedah siasat menyatakan kematiannya adalah disebabkan serangan asma yang teruk.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 10 Pekerjaan Yang Memerlukan Tahap IQ Tinggi

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon