Sunday, April 29, 2018

Kegagalan Memahami Kemuliaan Berpoligami

Kekeliruan untuk memahami konsep poligami yang sebenar telah menimbulkan perdebatan sengit sehingga terjadi penolakan terhadap hukum poligami dan antara kenyataan yang sering dimomokkan, poligami dianggap sebagai suatu bentuk penganiayaan dan kezaliman terhadap wanita.

Kegagalan Memahami Kemuliaan Berpoligami

Ada pula sesetengahnya yang tanpa segan mengatakan tidak kepada poligami dan sebahagian pula menentang secara halus.

Punca salah faham terhadap hukum berpoligami itu adalah disebabkan kegagalan individu yang mengamalkan poligami tersebut.

Poligami mahupun monogami, kedua-duanya adalah syariat namun, apabila ada pihak yang mencemari kemuliaan itulah menyebabkan pelbagai tanggapan buruk berlaku.

ALLAH membolehkan seorang suami itu berkahwin lebih daripada satu, tetapi haruslah adil dan tidak berbuat aniaya terhadap isteri, terutamanya isteri yang pertama.

Poligami bukan sahaja dinilai dari segi pembahagian giliran dan nafkah sahaja, tetapi juga soal kasih sayang dan keprihatinan untuk kedua-duanya.

Meskipun suami mempunyai hak untuk beristeri lebih, namun ia diharuskan sekiranya terdapat beberapa kes-kes dengan syarat-syarat tertentu.

Misalnya, niat berkahwin itu untuk mengelakkan maksiat, menjaga balu atau janda, isteri gagal untuk hamil, berjauhan dengan isteri dan banyak lagi sebab yang membolehkan suami untuk berkahwin sekiranya mampu.

Isteri yang dikahwini tidak boleh dinilai dari rupa dan usia semata.

Sebaliknya carilah isteri yang sudah bersedia dan berilmu.

Menilai seseorang dari segi rupa itu hanya akan menyebabkan keseimbangan kasih sayang antara isteri pertama dan seterusnya akan menjadi berat sebelah.

Wajah yang cantik, dan usia yang muda bukan ukuran untuk mengekalkan kesejahteraan rumah tangga, sebaliknya kematangan serta kesediaan untuk bermadu itulah utama.

Kesilapan besar pengamal poligami

Sikap tidak peka dengan perasaan isteri pertama adalah punca berlakunya kepincangan.

Lebih-lebih lagi apabila suami meninggalkan isteri dengan kadar yang lama tanpa berita, tidak mengambil berat kebajikan keluarga, dan tidak pandai menguruskan dua isteri.

Rumah tangga yang diharapkan bahagia, akhirnya porak peranda dan sukar untuk disatukan.

Perkahwinan yang hanya memenuhi tuntutan hawa nafsu dan sifat-sifat fizikal pasangan, kebiasaannya perkahwinan seperti ini tidak akan dapat kekal lama.

Sebaliknya, jika pasangannya itu dibekalkan dengan ilmu serta mampu untuk berlaku adil, rumah tangga tersebut akan kekal bahagia dan mudah untuk dikemudi.

Bagaimanapun, naluri wanita untuk tidak mahu berkongsi kasih adalah normal, begitu juga lelaki yang mempunyai naluri untuk beristeri lebih dari satu.

Namun, setiap wanita itu harus bersedia dalam apa juga kemungkinan.

Apabila ALLAH timpakan ujian poligami, seseorang itu perlu sabar dan berdoa agar ia dipermudahkan dengan baik.

Jadi bila kita faham konsep ini, kita akan lebih berlapang dada dan reda dengan ujiannya.

Poligami boleh menjadi madu dan juga racun, namun ia bergantung kepada situasi.

Untuk mengubati hati dan menerimanya dengan baik, kita perlu kembali kepada al-Quran dan Sunnah.

Islam itu adalah agama yang penuh keadilan, Islam juga adalah agama rahmat.

Jadi, bila kita faham Islam itu dengan baik, tak mungkin ALLAH mahu menyakiti hati kita, sedangkan ALLAH tahu isi hati setiap wanita.

Seseorang itu akan mula memahami kemanisan hidup berpoligami setelah berjaya melepasi fasa kecamuk, tsunami dan sebagainya.

Pasangan akan merasai kebahagiaan itu akan bertambah di kemudiannya.

Al-Quran memberikan kita kefahaman dan kesembuhan seperti mana firman ALLAH yang bermaksud, seandainya manusia menghabiskan seluruh kekayaan bumi, untuk menyatukan hati-hati manusia, manusia tidak akan mampu menyatukannya.

Sesungguhnya ALLAHlah yang menyatukannya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon