Sunday, April 15, 2018

Apa Akan Berlaku Jika DARURAT Disytiharkan?


Darurat ditakrifkan sebagai suatu keadaan yang mencemaskan atau menyusahkan (biasanya berlaku secara tiba-tiba atau dengan tidak disangka-sangka) seperti bahaya, kekurangan makanan dan lain-lain.

Apa Akan Berlaku Jika DARURAT Disytiharkan?

Darurat juga membawa maksud keadaan yang serba sulit seperti huru-hara, tidak aman dan sebagainya yang disebabkan oleh ancaman musuh dalam peperangan dan lain-lain.

Konsep darurat adalah sah dan diiktiraf dalam semua negara dan sistem undang-undang, namun akan menjadi titik hitam dalam mana-mana kerajaan atau negara yang mengalaminya.

Undang-undang darurat adalah peraturan yang digubal dan dikuatkuasakan ketika berlaku darurat sahaja.

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang menyediakan peruntukan mengenai perisytiharan darurat di dalam perlembagaan selain India, Amerika Syarikat dan juga United Kingdom sekalipun negara-negara tersebut tidak mempunyai perlembagaan bertulis.

Ini kerana negara-negara tersebut mempunyai suatu akta iaitu Akta Parlimen yang memberi kuasa kepada pihak pemerintah untuk mengisytiharkan darurat sekiranya berlaku sesuatu situasi yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman dalam negara atau sekiranya kejadian-kejadian yang buruk dijangka atau telah berlaku.

Siapa Yang Boleh Mengisytiharkan Darurat?

Di Malaysia, perisytiharan darurat hanya dibawah kebenaran atau diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), iaitu Ketua Negara Malaysia.

Berdasarkan peruntukan ini, darurat perlu diisytiharkan kalau baginda sebagai ketua negara setuju jika terdapat situasi kecemasan yang mengganggu-gugat keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam di dalam negara macam rusuhan, perang saudara, demonstrasi besar-besaran serta bencana alam seperti fenomena jerebu atau banjir, jika keadaan sudah tidak mampu dikawal.

Tetapi, pada tahun 1993, Tun Dr. Mahathir telah berjaya meminda Artikel 150(1) dengan memasukkan frasa di mana Perdana Menteri berhak menasihati YDPA sekiranya PM berpendapat yang bahaya boleh menimpa negara dan YDPA mestilah bertindak berdasarkan nasihat daripada PM.

Kemudian, pada tahun 2015 yang lalu, kerajaan Malaysia telah melaksanakan undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN), memperkenalkan akta baru yang dikatakan boleh memberi kuasa sepenuhnya kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat.

Sejarah Darurat Di Malaysia

Dalam konteks Malaysia, beberapa perisytiharan darurat telah dibuat dalam negara setelah dikenal pasti mengancam keselamatan negara:

1. Ancaman komunis tahun (1948-1960) dan (1968-1978)

Perisytiharan darurat yang pertama ini dibuat semasa Malaysia masih lagi di bawah jajahan British.

Darurat ini juga dikatakan paling lama berlaku, ketika Chin Peng berunding dengan Tunku Abdul Rahman, menuntut supaya PKM diiktiraf sebagai parti politik yang sah. Tetapi ditolak oleh Tunku Abdul Rahman dan akhirnya, rundingan ini menemui kegagalan.

Selepas kegagalan rundingan itu, perjuangan PKM tetap diteruskan walaupun setelah Tanah Melayu merdeka pada 1957 dan Malaysia ditubuhkan pada 1963.

Walaupun darurat diisytiharkan tamat pada 31 Julai 1960, tetapi pengaruh PKM masih belum dapat dihapuskan sepenuhnya.

Akibatnya, berlaku sekali lagi pemberontakan bersenjata di Malaysia, maka berlakulah darurat kedua di Malaysia dari tahun 1968 sampai 1978. Pangkalan Rejimen ke-10 PKM sepanjang masa itu adalah di sempadan Thailand.

2. Pertikaian politik Sarawak (1966)

Perisytiharan darurat yang ketiga pula diisytiharkan pada tahun 1966 dan hanya melibatkan Negeri Sarawak.

Kesan yang berlaku adalah untuk menyelesaikan pertikaian politik yang membahayakan keselamatan di Sarawak.

Pertikaian politik ini berlaku disebabkan Datuk Stephen Kalong Ningkan yang tidak mahu meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri walaupun dia dikatakan sudah tidak dipercayai ahli-ahli Dewan Undangan Negeri tersebut.

3. Rusuhan kaum 13 Mei (1969)

Rasanya semua pun tahu pasal peristiwa rusuhan kaum yang meletus pada 13 Mei 1969, di mana Kuala Lumpur bermandi darah disebabkan salah faham yang berlaku.

4. Masalah politik di Kelantan (1977)

Pada tahun 1977 pula, krisis politik dan ketidaktentuan timbul dalam kerajaan negeri Kelantan, apabila berlaku krisis antara PAS – yang ketika itu berada dalam Barisan Nasional – tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan UMNO.

5. Darurat Bencana

Malaysia pernah mengumumkan darurat bencana jerebu sebanyak tiga kali.

Pertama kali pada 19 September 1997 di Sarawak, apabila bacaan IPU mencecah 600. Selepas itu Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang pada 11 Ogos 2005 (IPU melebihi 500) dan terakhir di Muar dan Ledang, Johor pada 23 Jun 2013 (IPU melebihi 500).

BEZA DARURAT KESELAMATAN, DARURAT BENCANA DAN KEBURUKAN DARURAT Darurat

Apabila darurat diisytiharkan, selain daripada kerajaan persekutuan boleh mengambil alih semua hal pentadbiran dari kerajaan negeri atau agensi-agensi kerajaan, KERAJAAN juga boleh menangkap orang tanpa bicara, dan juga menyasarkan sesiapa saja yang dikatakan boleh mengganggu gugat keselamatan negara.

Darurat Keselamatan

Darurat bawah Perlembagaan Persekutuan hanya boleh diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong, seperti peruntukan dalam Perkara 150.

Ia contohnya dalam Darurat Mei 1969, Darurat Komunis 1948, Darurat Sarawak 1966 (pergelutan kuasa kerajaan negeri dengan Persekutuan) dan Darurat Kelantan 1977 (pergelutan kuasa pentadbir negeri dengan Persekutuan).

Hasil daripada darurat itu, pucuk pimpinan negara diambil alih tentera, apa-apa saja undang-undang boleh diluluskan, meskipun melanggar Perlembagaan Persekutuan dan pilihan raya boleh ditangguh.

Antara contoh undang-undang yang diluluskan semasa darurat adalah Ordinan Darurat 1969, yang membolehkan kerajaan membuat penahanan tanpa bicara.

Tempoh darurat tidak terhad. Darurat Sarawak 1966, darurat Mei 1969 dan darurat Kelantan 1977 hanya dibatal pada tahun 2011.

Dalam erti kata lain, perintah-perintah tersebut bertahan selama berpuluh tahun!

Susulan pengumuman pembatalan darurat tersebut oleh perdana menteri, Ordinan Darurat secara automatik dimansuhkan.

Darurat Bencana

Darurat bencana berbeza daripada darurat yang dijelaskan di atas. Darurat bencana dibuat secara pentadbiran dan eksekutif bawah Perkara 25 Arahan No 20 Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara MKN.

Selain itu, perdana menteri sebagai ketua kerajaan, boleh membuat pengumuman darurat bencana (selepas menerima nasihat Majlis Keselamatan Negara).

Contoh darurat bencana seperti berikut:

1. Darurat jerebu Sarawak 1997

2. Jerebu Pelabuhan Klang 2005 (Indeks Pencemaran Udara atau API lebih 500)

3. Jerebu Muar dan Ledang 2013 (API lebih 750)

Kesannya pula seperti berikut:

1. Penggemblengan dan kerahan bantuan akan diambil alih oleh kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi atau Kementeriannya.

2. Pembiayaan pengurusan, pemulihan dan sebagainya akan ditanggung oleh kerajaan Persekutuan.

3. Kesemua aset dan jentera kerajaan seperti tentera, RELA, dana, bot, kenderaan dan sebagainya akan dikerahkan.

Mengapa kerajaan Persekutuan enggan mengisytiharkan darurat?

Terdapat beberapa alasan pokok melibatkan persepsi umum dan kos.

Dalam politik, persepsi umum penting untuk membolehkan rakyat terus menaruh keyakinan dan kepercayaan pada kerajaan.

Semua dalam kawalan?

Ayat-ayat seperti "semua dalam kawalan" merupakan jawapan dan respons yang lazim diberi oleh kerajaan.

Contohnya, isu seperti hutang 1MDB, hutang negara, kebocoran soalan UPSR, dan banjir pantai timur, bukankah semua ini dikatakan 'dalam kawalan'?

Tetapi adakah ia benar-benar 'dalam kawalan', terpulang kepada anda untuk menilai.

Perisytiharan darurat bukan saja menjejaskan kepercayaan orang awam, malah keyakinan pelabur asing juga akan terjejas.

Malah, terdapat beberapa negara yang mengisytiharkan darurat dan sampai sekarang tidak menarik balik status tersebut dan terus memerintah tanpa mengambil kira hak rakyat untuk demokrasi.

Mereka terus diperintah oleh junta tentera sehingga kini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Apa Yang Anda Tahu Tentang Peperangan Gerila?

sumber: soscili | malaysiakini

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon