Friday, April 20, 2018

Imam Syafie Dan Kata-kata Mutiara

Imam Syafie adalah ahli fiqah terkemuka dalam sejarah Islam adalah pengasas kepada mazhab Syafii, salah satu daripada 4 mazhab Islam yang banyak diikuti oleh penganut Islam.

Imam Syafie Dan Kata-kata Mutiara

Malaysia merupakan antara negara yang mengikuti aliran Mazhab Syafie dalam pegangan fikah, namun malangnya ramai dalam kalangan umat Islam masih tidak mengenali siapakah ulama terkemuka dunia itu.

Imam Syafie atau nama asalnya Muhammad bin Idris merupakan keturunan Nabi Muhammad menerusi salasilah datuk baginda yang ketiga, iaitu Abdul Manaf.

Walaupun ibu dan bapanya merupakan warganegara Mekah, Arab Saudi, namun Imam Syafie dilahirkan di Ghizah, Palestin, pada tahun 767 ketika kedua-dua ibu bapanya berhijrah ke Palestin.

Namun, bapanya telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan semasa beliau masih dalam kandungan.

Imam Syafie mendapat didikan agama sejak dari kecil dan kecergasannya dalam memahami ilmu diakui masyarakat termasuk guru yang mengajar beliau. Antara negara tempat beliau belajar adalah Madinah, Iraq, Parsi dan Yemen.

Ketaatan beliau dalam beribadah antaranya diceritakan bahawa setiap waktu malam beliau membahagi kepada tiga iaitu sepertiga malam menunaikan kewajipan sebagai individu berkeluarga biasa, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.

MENJADI MANGSA FITNAH

Ketika Imam Syafie di Yemen, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa gabenor di negara itu, sekali gus menjadi guru besar di sana.

Oleh kerana bukan anak kelahiran negara itu dan mampu memangku jawatan tinggi secara tiba-tiba, maka ramai orang memfitnah beliau.

Sehinggakan beliau pernah ditangkap dan dirantai kerana dikatakan sebagai antara pemimpin Syiah yang cuba untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah serta berhasrat mendirikan kerajaan Alawiyah iaitu keturunan Sayidina Ali bin Abi Talib k.w. sewaktu pemerintahan sultan Harun Ar-Rasyid.

Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadan, Imam Syafie dibawa ke Baghdad dengan dirantai pada kedua-dua belah tangan.

Dalam keadaan itu tahanan diarah berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yemen) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan.

Ketika hari pengadilan, seorang demi seorang tahanan dipanggil masuk ke bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa kalimat, mereka dibunuh dengan dipenggal leher.

TENANG HADAPI MUSIBAH

Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, dengan memohon keadilan kepada Allah SWT beliau menghadap sultan dalam keadaan melutut.

“Assalamualaika, ya Amirul Mukminin wabarakatuh.” Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu ‘Warahmatullah’.

“Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh,” jawab sultan.

Kemudian sultan bertanya, “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin daripada saya?”

Imam Syafie menjawab, “Tidak saya ucapkan kata ‘Warahmatullah’ kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati tuan sendiri.”

Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafie membaca surah an-Nur ayat 55 yang bermaksud:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya. Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.”

Setelah membaca ayat itu Imam Syafie berkata, “Demikianlah Allah telah menepati janji-Nya, kerana sekarang tuan telah menjadi khalifah, jawapan salam tuan tadi membuat hati saya menjadi aman.”

Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun Ar-Rashid bertanya kembali, “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.”

Lalu Imam Syafie berkata, “Saya tidak dapat menjawab pertanyaan baik dengan baik apabila saya masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna.”

Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat Imam Syafie itu.

KEPENTINGAN TABAYYUN

Maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah al-Hujarat ayat 6 bermaksud, “Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada tuan itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan tuanlah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana tuan adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW, iaitu Abbas.

“Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah serta keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah,” demikian jawab Imam Syafie.

Baginda Harun Ar-Rasyid pun menunduk, kemudian ia berkata kepada Imam Syafie, “Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati ilmu pengetahuanmu.”

Ketekunan Imam Syafie dalam menuntut ilmu membuatkan beliau kurang rehat dan terkena penyakit yang amat berat.

Akhirnya, Imam Syafie wafat di Mesir pada malam Jumaat pada tahun 820 selepas melaksanakan solat maghrib.

Kata-Kata Hikmah Imam As-Syafie r.a.
"Barangsiapa mengaku dapat menggabungkan dua cinta dalam hatinya, cinta dunia sekali gus cinta Allah, maka dia telah berdusta."

"Jika ada seorang yang ingin menjual dunia ini kepadaku dengan nilai harga sekeping roti, nescaya aku tidak akan membelinya."

"Bila kamu tak tahan penatnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan.”

"Berapa ramai manusia yang masih hidup dalam kelalaian, sedangkan kain kapannya sedang ditenun."

"Orang yang berilmu dan beradab, tidak akan diam di kampung halaman. Tinggalkan negerimu, merantaulah ke negeri orang."

"Aku tidak pernah berdialog dengan seseorang dengan tujuan aku lebih suka jika dia berpendapat salah."

"Jangan cintakan orang yang tidak cintakan Allah. Kalau dia boleh meninggalkan Allah, apalagi meninggalkan kamu."

"Barangsiapa yang menginginkan Husnul Khotimah, hendaklah ia selalu bersangka baik sesama manusia."

"Pentingnya menyebarkan ilmu agama."

"Ilmu itu seperti air. Jika ia tidak bergerak, menjadi mati lalu membusuk.”

"Doa di saat tahajud adalah umpama panah yang tepat mengenai sasaran.”

"Kamu seorang manusia yang dijadikan daripada tanah dan kamu juga akan disakiti (dihimpit) dengan tanah.”

"Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut dunia."

"Ilmu itu bukan yang dihafal tetapi yang memberi manfaat.”

"Seorang sufi tidak menjadi sufi jika ada pada dirinya 4 perkara: malas, suka makan, suka tidur dan berlebih-lebihan."

"Sesiapa yang menasihatimu secara sembunyi-sembunyi maka ia benar-benar menasihatimu. Sesiapa yang menasihatimu di khalayak ramai, dia sebenarnya menghinamu."

"Dosa-dosaku kelihatan terlalu besar buatku, tapi setelah kubandingkan dengan keampunanMu Ya Allah, ternyata keampunanMu jauh lebih besar.”

"Bumi Allah amatlah luas namun suatu saat apabila takdir sudah datang, angkasa pun menjadi sempit.”

"Letakkan akhirat di hatimu, dunia di genggaman tanganmu, dan kematian di pelupuk matamu."

"Sebesar-besar aib (keburukan) pada diri seseorang adalah orang yang asyik mencari dan mengata keburukan orang lain sedangkan keburukan itu terdapat dalam dirinya sendiri."

"Aku mampu berhujah dengan 10 orang berilmu, tapi aku akan kalah pada seorang yang jahil kerana dia tidak tahu akan landasan ilmu."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Kenapa Dalam Islam Ada 4 Mazhab?

sumber: utusan | kertaspaper

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon