Saturday, March 03, 2018

10 Tanda Mengenali Berita Palsu


Berita palsu ialah maklumat yang tidak benar tetapi dibuat seolah-olah benar, yang tidak dipetik dari mana-mana sumber atau fakta tetapi direka cipta.

10 Tanda Mengenali Berita Palsu

Sesetengah pengamal media menafsirkannya dengan lebih luas iaitu berita satira, sindiran atau sendaan yang kadangkala menokok tambah dan memperkenalkan fakta dengan niat untuk jenaka atau untuk menegaskan sesuatu perkara tetapi tidak untuk memperdaya.

Claire Wardle, penyelidik di First Draft News, sebuah pusat yang ditubuhkan untuk meningkatkan kesedaran, melaksanakan penyelidikan dan menangani cabaran berkait kepercayaan dan kebenaran dalam media digital, mengenalpasti tujuh jenis berita palsu.

7 JENIS BERITA PALSU
  1. Satira atau parodi.
  2. Perkaitan palsu (seperti judul berita yang tidak selari dengan kandungan).
  3. Kandungan yang mengelirukan (penggunaan maklumat yang mengelirukan untuk merangka isu).
  4. Konteks yang palsu (kandungan yang tulen dikongsi dengan maklumat konteks yang palsu).
  5. Penyamaran kandungan (sumber yang tulen disamari dengan sumber yang palsu atau dibuat-buat).
  6. Kandungan yang diputar belit (maklumat atau imej benar tetapi diputar belit untuk memperdaya).
  7. Kandungan yang direkacipta (kandungan yang 100 peratus palsu dan direka untuk perdaya dan membawa mudarat).

Bagaimanakah cara mengenal pasti berita palsu?

1. Perhatikan sumber

Organisasi berita mempunyai laman web yang boleh dirujuk dan telah lama beroperasi. Berita palsu selalunya disalurkan melalui laman yang tidak dikenali atau cuba meniru sedia ada.

Sekiranya ia datang dari laman web yang tidak pernah anda dengar atau cuba meniru nama dan URL organisasi media sedia ada, besar kemungkinan ia berita palsu.

2. Pergi kepada sumber asal

Usah terima bulat-bulat berita yang anda terima. Ada orang menggunakan masthead media ternama bagi meyakinkan pembaca bahawa berita itu asli. Pergi kepada sumber berkenaan.

Sekiranya anda lihat masthead pada berita itu, pergi ke laman web atau blog asal untuk baca berita itu. Sekiranya berita itu tidak ada di situ, maka itu berita palsu.

3. Siapakah sumber berita

Adalah menjadi amalan yang diterima untuk media melaporkan berita tanpa menyebutkan sumber. Ini bertujuan melindungi kerahsiaan sumber tersebut dalam berita yang mungkin boleh memberikan kemudaratan kepadanya.

Bagaimanapun, dalam keadaan biasa, wartawan bertanggungjawab menyebutkan sumber maklumat itu.

Dia ialah seorang yang tidak beretika jika keseluruhan berita bersandarkan laporan “sumber” tanpa menyebut sumber tersebut.

Berita sedemikian ada kemungkinan palsu, walaupun ia disiarkan oleh media ternama.

4. Gaya penulisan

Wartawan dilatih menulis berita dengan gaya piramid terbalik atau inverted pyramid. Dalam bahasa mudah, penulisan berita ada kaedah dan cara yang betul. Begitu juga, organisasi media mempunyai house rules bagaimana mereka menulis.

Cara menulis di sesuatu organisasi media tidak sama dengan organisasi lain. Amatur yang menulis berita palsu mungkin tidak menguasai kaedah ini.

Sekiranya anda lihat gaya penulisan yang “pelik,” besar kemungkinan itu berita palsu.

5. Adakah berita masuk akal?

Sekiranya berita yang anda baca itu tidak masuk akal, besar kemungkinan ia berita palsu. Apabila kita baca tajuk berita tak masuk akal, elok baca tulisan itu sampai habis.

6. Baca sampai habis

Kebanyakan orang terus menghantar sesuatu print screen tajuk berita tanpa baca habis. Kadangkala tajuk dan berita tak sama.

Sering kali, berita palsu hanya ada tajuk tanpa laporan penuh. Usah ghairah menghantar print screen tajuk sekiranya kita belum baca keseluruhan tulisan itu.

7. Semak tarikh

Sesetengah berita itu bukan palsu, tetapi berita lama yang diedarkan semula. Berita sedemikian sudah keluar konteks dan boleh menjadikan pembaca membuat rumusan yang salah mengenai sesuatu isu.

Berhati-hati dengan “surat khabar lama.”

8. Rujuk kepada pakar

Apabila kita baca sesuatu yang nampak tak masuk akal, bertanyalah kepada mereka yang pakar.

Sebagai contoh apabila ditunjukkan laporan kesihatan yang mendakwa pil tertentu boleh jadikan kita panjang umur, tanya doktor. Mereka boleh memberikan maklum balas.

Begitu juga apabila ada orang kata ekonomi kita sedang menuju kemusnahan, rujuk kepada pakar ekonomi (pakar luar yang bebas dari campur tangan politik).

9. Satira

Ada orang tak dapat membezakan antara satira dan berita benar. Satira politik ialah perbuatan mengubah berita sebenar sebagai bahan jenaka.

Dalam Islam, satira ada batasnya.

Apabila kita mengetawakan seseorang disebabkan bentuk badan, cara bercakap atau keluarganya, maka itu diharamkan.

Elakkan ketawa kerana seseorang gemuk atau kurus. Usah permainkan apa yang ALLAH SWT berikan kepadanya.

10. Berhati-hati sebarkan berita

Anda di pihak sebelah manapun, jangan menyebar berita palsu.

ALLAH SWT murka orang yang suka sebarkan berita palsu. Dalam Surah al-Hujurat, ALLAH SWT ingatkan apabila kita menerima sesuatu berita, maka semaklah berita itu terlebih dahulu.

Usahlah kerana perbuatan kita menyebarkan berita itu, maka keluarga, masyarakat atau negara berpecah-belah.

TIPS ELAK SEBAR BERITA PALSU

1. Perhatikan individu yang menyebarkan berita berkenaan. Adakah menggunakan akaun fake? Sudah berjumpakah? Pernah kenalkah? Ada wajahnya dan disahkan itu memang wajah dan identitinyakah?

2. Berapa kali dia terkantoi menyebarkan berita palsu?

3. Adakah dikalangan kawan kita yang ori seringkali mempromosi, berkongsi dan menyebarkan berita-berita palsu dari akaun fake?

4. Sekali dua mungkin kesilapan. Tiga empat kali mungkin kecuaian. Lima enam kali mungkin terlupa. Tetapi jika terlalu kerap ia bermakna akaun tersebut dengan sengaja menyebarkan berita palsu atas tujuan propaganda.

5. Ada beza sebaran berita palsu oleh cybertroopers BN dan PH. Cybertroopers BN hampir pasti tidak didakwa dan disiasat tetapi ini berbeza dengan penyokong PH yang selalunya berakhir dengan mengambil keterangan dan siasatan.

6. Jangan jadi penyumbang kepada maklumat palsu dan agen penyebar propaganda fitnah.

7. Sesiapa sahaja boleh mengakui sebagai penyokong parti tertentu dan menyebarkan apa-apa berita tetapi untuk mengesahkan ketulenan berita tersebut, anda perlu keluarkan usaha untuk menyemaknya sendiri.

8. Dan dari sekarang, mulalah mencatit dalam otak, siapakah yang anda sering perhatikan suka menyebarkan maklumat palsu.

9. Boleh jadi ia adalah akaun sandiwara yang menyokong parti anda tetapi hakikatnya mereka hanya mempropaganda untuk memperdayakan kepercayaan anda.

10. Menjelang PRU lebih banyak maklumat palsu akan disebarkan oleh pelbagai pihak dan kita jangan sesekali menjadi agen percuma mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Menjana Dosa Multi Level Marketing Melalui WhatsApp!

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon