Thursday, January 04, 2018

Menyusuri Jejak Mafia Paling Berkuasa Di New York


Mungkin agak pelik apabila mendengar orang melawat New York dengan tema Cosa Nostra, kerana lazimnya pelawat yang datang sama ada atas urusan rasmi atau percutian melawat pelbagai ikon kota di pulau Manhattan ini seperti Bangunan Empire States, Statue of Liberty atau tapak World Trade Centre.

Menyusuri Jejak Mafia Paling Berkuasa Di New York

Cosa Nostra adalah perkataan bahasa Itali yang bermaksud 'benda milik kami' atau secara rasmi mengikut undang-undang Amerika Syarikat merujuk kepada kumpulan jenayah terancang mafia yang menguasai New York selama berdekad-dekad sebelum dilumpuhkan pada awal 1990-an (tetapi belum mati sepenuhnya).

Istilah tersebut pertama kali disebut oleh Joseph Valachi semasa memberi keterangan kepada Jawatankuasa McClellan pada 1963.

Dia adalah soldadu kepada ketua mafia Chicago, Sam Giancana, sekaligus menjadi mafia pertama yang menjadi saksi kerajaan AS dan mati secara semula jadi dalam penjara.

Secara umumnya, mafia New York dianggap paling berkuasa dan berpengaruh di seluruh Amerika Syarikat, semata-mata kerana ia adalah kota perdagangan utama dunia, selain menjadi lokasi tumpuan migran besar dari Itali.

Migran-migran Itali dan Yahudi dari negara di timur Eropah mula berhijrah ke Amerika Syarikat pada akhir 1880-an sehingga 1920.

Mereka berkampung di kawasan yang dinamakan Lower Manhattan dengan kepadatan tinggi di Mulberry Street, melalui Canal Street, Lafayette dan Bowery di mana ia bersempadan dengan Chinatown.

Sejarah kedatangan mereka telah didokumentasikan dalam banyak kajian sarjana, dibukukan, diromantiskan, tragedi dan tentu sekali difilemkan.

Antara filem yang menggambarkan dengan baik kisah pendatang Itali dan kemunculan mafia di New York ialah tidak lain tidak bukan, filem The Godfather, terutama filem bahagian kedua.

Mulberry Street, di situ pernah wujud Ravenite Social Club iaitu sebuah kelab sosial yang sering dilawati kumpulan penjenayah terancang Gambino. Ia pernah menjadi ibu pejabat Capo di Tutti Capi (Ketua Segala Ketua Mafia), John Gotti pada akhir 1970-an dan 1980-an.

John Gotti adalah legenda dalam pengkisahan sejarah mafia di Amerika Syarikat, selepas mengambil alih tampuk kekuasaan kumpulan Gambino dengan mengetuai komplot membunuh ketuanya, Paul Castellano pada 1985.

John Gotti terkenal kerana berjaya mengelak tindakan penguatkuasaan sebanyak tiga kali dan digelar oleh media sebagai Teflon Don kerana cara berpakaiannya yang segak.

Kerajaan AS membentuk Pasukan Petugas Khas merangkumi anggota penguatkuasaan berdedikasi dari polis New York, Biro Siasatan Jenayah (FBI) dan pelbagai jabatan lain.

FBI berjaya memujuk orang nombor dua John Gotti, Salvatore 'Sammy the Bull' Gravano untuk berpaling tadah dan memberi keterangan sehingga John Gotti didapati bersalah, dihukum penjara seumur hidup atas tuduhan mengarahkan pembunuhan sebelum mati pada 2002 kerana kanser.

Kematian John Gotti juga menandakan merudumnya pengaruh mafia di seluruh negara, walaupun FBI percaya masih wujud saki-baki elemen mafia terutama dalam sindiket pengedaran dadah dan pemerdagangan manusia dalam bentuk pendatang asing dan wanita yang dipaksa melacur.

Hari ini, tapak kelab Ravenite yang pernah menjadi lokasi FBI memasang pepijat curi dengar itu telah berubah menjadi sebuah kedai kasut.

Dan untuk menyebut 'mafia' di kawasan itu, mengundang pandangan tajam, meskipun kedai-kedai cendera hati milik pendatang China menjaja kemeja bertulis 'mafia'.

Satu lagi premis di Mulberry Street yang tersenarai dalam sejarah mafia ialah Umberto's Clam House.

Pada 7 April 1972, ketua kumpulan mafia Joe Gallo ditembak dan dibunuh di restoran yang baru saja dibuka dua bulan sebelum itu, namun sukar dicari lokasinya kerana restoran itu telah berpindah sama sekali dari jalan tersebut.

Antara 1986 hingga 1994, kerajaan AS memantau operasi kewangan ekoran testimoni di mahkamah menunjukkan perolehannya disalur kepada mafia. Ia dipercayai satu-satunya restoran di New York yang dipantau kerajaan disebabkan pertaliannya dengan mafia.

Pada 1994, urusan operasinya diserahkan kembali kepada pemiliknya tetapi keadaan ekonomi yang teruk memaksa restoran itu ditutup pada 1996 dan bangunan itu dijual. Restoran itu dibuka semula pada tahun 2000 tetapi di jalan bersebelahan.

Bangunan Fulton Fish Market yang telah beroperasi sejak tahun 1822 dan terletak di Sungai East, berdekatan Jambatan Brooklyn, dalam sepanjang sejarah kewujudannya menjadi rebutan generasi mafia yang silih berganti dan terakhir ialah Gambino.

Pada 1988, Pejabat Peguam Negara melantik pemegang amanah untuk menguruskan pasar tersebut namun, keupayaan dia mengekang pengaruh mafia adalah terhad.

Pada 2001, pasar itu ditadbir oleh Suruhanjaya Integriti Perniagaan Bandaraya New York sebagai usaha menamatkan pengaruh mafia.

Pada 2005, pasar itu ditutup dan ditukar menjadi pusat tarikan pelancongan. Pasar ikan itu diubah ke Bronx.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 5 Kumpulan Mafia Terkenal Antarabangsa

sumber: utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon