Monday, January 29, 2018

Cinta Jarak Jauh Yuna Dan Adam Berakhir Di Jinjang Pelamin


JODOH itu sememangnya rahsia dan misteri Tuhan Yang Maha Bijaksana. Bermula sebagai teman biasa sejak pertama kali bertemu lima tahun lalu, penyanyi kebanggaan Malaysia, Yuna akhirnya selamat bergelar isteri kepada lelaki bernama Adam Yousof Mohamed Sinclair pada Jumaat lalu (26/1/2018) dalam sebuah majlis pernikahan tertutup di sebuah resort eksklusif di Puncak Rimba, Bentong, Pahang.

Gambar perkahwinan Yuna dan Adam

Sama cantik, sama padan. Bukan lagi satu rahsia, Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, 32, kini menjalani hari mendatang dengan ikrar dan status baharu sebagai seorang isteri serta permaisuri hati buat Adam.

Kata pelantun lagu Dan Sebenarnya itu, dia bukan berniat untuk bersikap terlalu berahsia tentang majlis pernikahannya. Sebaliknya, dia hanya menginginkan sedikit privasi pada hari istimewanya.

Atas alasan itu, media tidak diundang ke majlis berkenaan.

“Alhamdulillah, pernikahan berjalan dengan lancar dan ingin saya jelaskan di sini, saya bukan ingin merahsiakan tentang majlis nikah, namun hanya ingin ruang privasi pada hari istimewa bersama keluarga dan teman-teman rapat.

“Saya fikir, rakan-rakan media pun tahu bahawa saya tiada masalah untuk berkongsi perihal kerjaya, namun apabila melibatkan hal peribadi seperti keluarga, saya memang sentiasa inginkan sedikit ruang. Sikit-sikit boleh saya dedahkan kepada umum.

“Rasanya juga, khalayak pun tahu saya berkawan rapat dengan Adam dan ini pertama kali saya benar-benar mendedahkan Adam ke mata media.

"Apa pun, terima kasih atas doa semua,” kata Yuna dalam satu sidang akhbar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu.

Istimewa

Menjadi kemunculan pertamanya sejak bergelar pasangan sah, Yuna dan Adam kelihatan amat serasi antara satu sama lain.

Mereka seolah-olah saling melengkapi dan dengan tenang meluncurkan kata-kata menjawab segala persoalan yang bermain di minda pihak media.

Ditanya apa istimewanya si pemilik takhta di mata permaisuri, Yuna membuka cerita. Mereka mula bertentang mata ketika berada di set penggambaran sebuah iklan di Putrajaya beberapa tahun sudah.

“Bagi saya, kami mempunyai banyak persamaan. Adam seorang yang amat tenang dan sangat memahami. Ketika awal pertemuan di set penggambaran iklan, saya masih ingat, ketika itu saya tiada mood kerana penerbangan sedikit lewat.

“Dia sebagai pengarah berjaya membuatkan mood saya menjadi ceria. Dia tanya saya ‘sudah makan ke belum’ dan memastikan saya berada dalam keadaan yang baik sebelum mula bekerja.

“Sejak dari situ, saya mula merasakan bahawa dia seorang lelaki yang baik dan ingin terus mengenalinya dengan lebih mendalam,” kata Yuna tersenyum malu.

Sementara itu, menguatkan kenyataan Yuna, Adam menyifatkan Yuna sebagai seorang wanita luar biasa dan mempunyai personaliti yang lain daripada wanita lain.

“Saya tidak sangka akan berkahwin dengan Yuna. Kami bermula sebagai rakan biasa dan hari demi hari, persahabatan itu bertukar menjadi suatu perasaan yang luar biasa.

"Menyambung kisah ketika set penggambaran itu, saya dan Yuna bercerita tentang banyak perkara termasuk kisah seram (tertawa).

“Dia mempunyai personaliti yang amat menarik. Saya akui pada mulanya, hanya tahu dia seorang wanita bertudung pandai menyanyi dan bermain gitar.

"Apabila dia muncul dalam set program Conan OBrien, saya semakin mempunyai firasat bahawa dia sangat istimewa dan saya amat berbangga dengan segala kejayaan yang dikecapinya,” tutur Adam.

Jarak jauh

Berbicara soal jarak akibat kekangan kerjaya, Yuna optimis bahawa mereka akan dapat membiasakan diri dengan hal tersebut, namun untuk jangka masa panjang, biarlah keadaan yang memutuskan hal berkenaan.

“Sudah hampir lapan tahun saya tinggal di Amerika Syarikat (AS). Jadi buat masa sekarang, saya akan tinggal di sana dan berulang-alik pulang ke Malaysia. Saya juga ada keluarga dan kerjaya di sini (Malaysia).

“Sudah tentu saya ingin selalu bersama suami dan tidak merancang untuk tinggal di AS selama-lamanya.

“Bagaimanapun, buat masa sekarang saya harus faham dia juga ada kerja yang perlu diselesaikan di Malaysia.

"Saya juga akan muncul dengan sebuah album baharu selepas Aidilfitri. Selepas itu pula akan ada persembahan jelajah. Insya-Allah, semua akan dipermudahkan,” ulas Yuna.

Buat Adam pula, dia tidak mempunyai masalah dengan jarak pemisah mereka kerana percaya dengan ikatan suci sebagai suami isteri, segalanya akan berjalan baik.

Sebagai suami, dia pastinya akan berusaha mendepani hari mendatang untuk sama-sama menjaga keharmonian sebuah hubungan.

“Ini adalah cabaran buat kami, namun saya akan sentiasa menyokong Yuna dalam apa jua perkara yang dikerjakannya.

"Sebelum berkahwin pun, kami banyak berkomunikasi melalui bantuan teknologi seperti Skype dan WhatsApp,” tambah Adam.

Disapa pertanyaan berkenaan destinasi berbulan madu, Yuna dan suami bagaimanapun belum menetapkan sebarang destinasi.

Zuriat, bulan madu

“Sejujurnya, belum fikir lagi tentang soal itu (bulan madu). Kalau ditanya, saya ingin berbulan madu di beberapa destinasi percutian di Amerika Selatan.

“Namun sehingga kini, kami masih belum menetapkan destinasi tersebut. Banyak sebenarnya tempat yang ingin kami pergi bersama tapi tunggulah nanti apabila sudah ada masa dan ruang yang sesuai,” kata Yuna yang mendedahkan pernah menulis sebuah lagu buat Adam berjudul Best Love yang dimuatkan dalam album berjudul Chapters.

Menjawab soal zuriat pula, tenang Yuna membalas, “Kami tidak akan terburu-buru soal itu dan menyerahkannya kepada rezeki. Semestinya saya mahukan anak, namun tengoklah nanti. Insya-Allah.”

Sebelum menutup perbualan, sempat juga soalan cepumas dilayangkan kepada Adam tentang lagu kegemaran nyanyian Yuna.

Jawab lelaki berjambang yang juga adik kepada pelakon Ashraf Sinclair itu, “Saya paling suka lagu Lullabies dan saya amat menggemari klip video lagu tersebut. Ia ringkas, namun penuh bermakna.”-k

Bapa Yuna buat kejutan

Gambar perkahwinan Yuna dan Adam

Bapa Yuna, Datuk Indera Mat Zara’ai Alias membuat kejutan kepada tetamu apabila mendendangkan dua buah lagu iaitu Corazon Espinaado dari Santana sambil bermain gitar dan hit milik Ed Sheeran, Perfect pada majlis resepsi anaknya, Yuna dan Adam yang berlangsung di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) tadi.

Selain bapa Yuna, penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari juga membuat kemunculan bersama Aizat dengan mendendangkan lagu Aku Dan Dirimu yang merupakan lagu duet Bunga bersama Ari Lasso.

Rakan penyanyi bertaraf antarabangsa itu, Dez Duron dari Amerika Syarikat turut mempersembahkan sebuah lagu buat mempelai.

Pengantin baru itu memilih tema tradisional sentuhan Reka Teemor kelihatan mempersona dalam persalinan busana pengantin tradisional Perak berona putih rekaan Hatta Dolmat.

Penyanyi yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu sah menjadi isteri kepada Adam Yousof Mohamed Sinclair sekitar pukul 7 petang di Puncak Rimba, Bentong, Pahang.

Yuna yang berwalikan bapanya, Datuk Mat Zara'ai selamat bernikah dengan sekali lafaz.

Dalam majlis pernikahan berkonsep dalam taman itu, pihak lelaki menghantar tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang hantaran daripada pihak perempuan.

Pasangan tersebut mengadakan majlis resepsi di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam ini dengan dihadiri 1,500 tetamu diketuai tetamu diraja, rakan selebriti, sanak-saudara dan sahabat handai.-k

Semoga berbahagia sehingga ke akhir hayat.

BACA INI JUGA: Bagaimana Menghadapi Percintaan Jarak Jauh?

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon