Sunday, October 08, 2017

Sejarah Kenapa Amerika Syarikat Perlukan Perang Untuk Menjana Ekonomi


Mengimbau era 1920an, ekonomi dunia ketika itu dalam keadaan yang tidak stabil selepas berakhirnya Perang Dunia Pertama pada tahun 1918.

Sejarah Black Tuesday

Ketika itu kebanyakan negara Eropah yang terlibat dalam peperangan masih bergelut untuk membayar hutang perang.

Amerika Syarikat - berada dalam keadaan sebaliknya. Ekonomi negara ini dalam fasa yang stabil kerana mereka tidak terlibat dalam Perang Dunia Pertama.

Dibawah pimpinan Presiden Warren Harding, rakyat Amerika menikmati kehidupan mereka.

Pendapatan kebanyakan warga melebihi perbelanjaan. Segala-galanya indah dengan sektor ekonomi mempunyai masa depan yang cerah.

Industri pembuatan semakin berkembang. Permintaan terhadap barang-barang keperluan meningkat.

Permintaan terhadap barangan mewah seperti telefon, kereta dan motosikal turut mendapat permintaan luar jangkaan.

Hanya dalam waktu yang singkat sektor perindustrian telah menghasilkan banyak produk, lebih pantas berkembang berbanding sebelum ini.

Produk dikeluarkan secara besar-besaran kerana orang Amerika memiliki duit dan mampu berbelanja. Industri yang pesat menyebabkan lambakan produk.

Dalam sekelip mata kebanyakan warga Amerika menjadi kaya kerana mempunyai kuasa beli yang tinggi.

Hutang Sebagai Gaya Hidup

Seiring dengan kepesatan industri pembuatan, Amerika memperkenalkan satu lagi polisi baru dalam sektor ekonominya iaitu pembelian secara kredit (hutang).

Ia merupakan satu kaedah yang dilihat mampu mengembangkan ekonomi pada tahap optimum.

Polisi ini disokong kuat oleh golongan pemodal yang turut mahukan produk pengeluaran mereka lebih laris dalam pasaran.

Orang ramai yang mahu membeli barangan tidak perlu lagi bergantung kepada simpanan mereka kerana boleh mendapatkannya melalui pinjaman.

Pada peringkat awal, konsep hutang ini sukar untuk diterima. Ramai yang cuba mengelak daripada berhutang kerana hutang dianggap sesuatu yang mengaibkan.

Bagi memecahkan persepsi berkenaan, kerajaan menggalakkan pembelian secara kredit dan mengarahkan pihak bank supaya menetapkan kadar bunga yang rendah.

Industri pengiklanan pula memainkan peranan untuk menyebarkan propoganda tentang 'kebaikan' berhutang dengan pembelian secara kredit.

Kempen tersebut berjaya apabila ramai warga mula melakukan pembelian secara kredit, terutamanya barangan mahal seperti kereta.

Persepsi dan gaya hidup mereka mula berubah. Hutang tidak lagi dianggap sesuatu yang aib, malah ia dinilai sebagai satu keperluan hidup dan diterima secara meluas.

Strategi ekonomi itu menjadi. Hasil kilang meningkat lebih daripada 60 peratus sepanjang dekad 1920an.

Kadar pengangguran dan inflasi menurun dengan cepat. Kadar jualan produk keluaran Amerika sepanjang dekad berkenaan meningkat secara mendadak, begitu juga dengan nilai hutang.

Saham Jaminan Untuk Kaya

Pada penghujung 1920an, terjadi satu 'speculative boom'. Orang ramai mula menggunakan kredit untuk membeli saham.

Kenaikan harga saham sepanjang lima tahun terakhir menyebabkan para pelabur percaya bahawa saham merupakan jaminan untuk mereka menjadi kaya.

Dengan harapan yang tinggi menggunung, orang ramai berpusu-pusu mendapatkan pinjaman di bank.

Jumlah pinjaman yang direkodkan ketika itu melebihi 8.5 juta USD, yakni lebih besar daripada duit yang beredar dalam pasaran Amerika.

Secara tidak langsung situasi ini telah mencipta bull market, pasaran menjadi gila.

Malapetaka Ekonomi

Khamis, 24 Oktober 1929, indeks Dow Jones turun sebanyak 2.09 peratus. Ketika ini spekulator saham menjangkakan ia hanya penurunan sementara.

Namun, empat hari kemudian, harga saham turun lagi sebanyak 13.47 peratus. Turunnya harga saham bermakna duit pelaburan semakin menyusut, rugi.

Selasa, 29 Oktober 1929, indeks Dow Jones sekali lagi menjunam. Ketika ini situasi panik mula melanda pelabur.

Ramai yang cuba menjual saham mereka kerana tidak mahu nilai saham turun lebih banyak.

Malangnya, permintaan yang rendah menyebabkan penurunan nilai sebanyak 80 peratus. Stok menjadi hampir tiada nilai.

Hari itu dikenang sebagai Black Tuesday, neraka buat pasaran saham.

Wallstreet yang merupakan pusat dagangan terunggul mula 'runtuh'. Para pelabur begitu kecewa dan tertekan dengan apa yang berlaku.

Ramai yang tidak mampu mengawal diri dan membunuh diri dengan terjun dari bangunan pencakar langit.

Berikutan kejatuhan teruk pasaran saham, pelabur mula membanjiri bank untuk mengeluarkan wang tunai namun, kantung bank juga menyusut teruk kerana sebelum ini bank telah meminjamkan banyak wang kepada pelabur untuk melabur di pasaran saham.

Berjuta-juta orang kehilangan wang, bahkan sesetengahnya hilang keseluruhan simpanan.

Antara tahun 1930-1933, sebanyak 9,000 bank telah ditutup.

Penutupan bank memberi kesan kepada industri Amerika. Pengeluaran berkurangan. Tenaga buruh juga tidak lagi diperlukan dalam jumlah yang banyak. Ramai warga yang dibuang kerja. Kesannya, kadar pengangguran meningkat.

Pada tahun 1933, kadar pengangguran meningkat sebanyak 25 peratus. Lebih buruk lagi, harga produk pertanian menjunam sebanyak 50 peratus.

Ketika ini, hasil pertanian menjadi lebih banyak berbanding permintaan dan walaupun dengan lambakan yang tinggi dipasaran, orang ramai sudah tidak mempunyai duit untuk membeli.

Golongan petani kehilangan rezeki dan ramai yang tidak mampu membayar balik pinjaman mereka kepada pihak bank. Rumah, tanah dan ladang mereka dilelong.

Keadaan semakin buruk apabila kemarau teruk melanda sepanjang dekad 1930an.

Dibahagian utara Amerika, faktor tidak hujan, suhu tinggi dan angin kencang telah membawa kepada serangan serangga. Kawasan ini terjejas teruk apabila turut dilanda ribut pasir.

Berjuta-juta orang di utara Amerika melarikan diri dan menuju ke tempat lain. Migrasi secara besar-besaran itu bertujuan untuk mendapatkan pekerjaan lain bagi menyara kehidupan.

Sebahagian daripada mereka telah mendapat pekerjaan di ladang buah-buahan di California tetapi gaji yang diterima sangat rendah.

Malah, buruh-buruh ladang ini juga terpaksa tinggal dalam keadaan sesak di dalam pondok dan khemah berhampiran ladang.

Selama lebih satu dekad sejak 1929, ekonomi Amerika mengalami kemurungan yang teruk. Pada tahun 1939, keadaan ekonomi beransur-ansur pulih selepas Amerika terlibat dalam Perang Dunia Kedua.

Ekonomi Amerika bergantung kuat pada sektor ketenteraan. Tenaga buruh yang sebelum ini berlebihan, kini telah mula berkhidmat dan bekerja di sektor pembuatan peluru dan senjata.

Ekonomi Amerika akhirnya kembali memuncak selepas perang meledak.

BACA INI JUGA: 10 Peperangan Yang Bermula Dengan Pembohongan Amerika Syarikat

-SENTIASAPANAS.COM

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon