Saturday, September 16, 2017

Jangan Beri Derma Kepada Pusat Tahfiz Ittifaqiyah?


Semua pihak kini sedang meratapi tragedi kebakaran sebuah pusat pengajian tahfiz di Keramat, Kuala Lumpur yang telah meragut 23 nyawa tidak berdosa.

syahid

Setelah banyak kejadian kebakaran sebelum ini, ia berulang kembali dan sekaligus menyebabkan banyak air mata tumpah kerananya.

Tetapi, sepertinya tiada pihak yang belajar daripada kejadian terdahulu untuk memastikan ia tidak berulang kembali. Buat kesekian kalinya, sekali lagi kanak-kanak menjadi korban.

Pusat tahfiz yang terbakar itu didapati masih dibiarkan bebas menjalankan operasi di bangunan yang tiada CF, tiada kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat, pengubahsuaian bangunan yang tidak sama seperti pelan asal serta keadaan tempat tinggal yang mungkin sesak dan berasak-asak.

Dalam kejadian terbaru di Keramat, di samping tragedi memilukan itu yang membuatkan kita tidak mampu menahan airmata daripada mengalir dan berderai, yang sungguh-sungguh memualkan kita tentunya ialah apabila pengetuanya dengan santai mengatakan semua pelajarnya yang meninggal dunia itu akan menerima balasan syurga kerana syahid.

Langsung tiada ada perkataan bahawa beliau sedia bertanggungjawab atau memikul beban kejadian, sedangkan pusat tahfiznya tiada CF, tiada kelulusan bomba, pelan asal berubah dan hanya ada satu pintu untuk keluar?

Di sebalik cuba menyedapkan hari keluarga mangsa dengan janji syurga, tauke pusat tahfiz seharusnya sedar bahawa kesedihan dan sengsara kehilangan nyawa telah pun dialami oleh mereka yang terbabit itu.

Dalam soal ini, bukan syurga atau neraka atau yang sepatutnya tauke pusat tahfiz itu tonjolkan, tetapi apakah pertanggungjawabannya terhadap kejadian yang tidak terkecuali adalah kerana kesediaannya menjalankan operasi tanpa mematuhi undang-undang?

Pihak berkuasa, terutamanya polis, di samping melihat faktor-faktor lain seperti sabotaj atau unsur khianat, tidak harus berlengah untuk menahan atau mereman pengusaha pusat tahfiz tersebut atas beberapa kelalaian yang telah dilakukannya.

Beliau tidak harus dilepaskan lepas bebas begitu saja atas kehilangan semua nyawa itu.

Selain itu, melalui pelbagai medium laman sosial dan grup Whatsapp, telah tersebar dengan meluas permintaan berserta kepilan nombor akaun bank untuk mereka yang bersimpati memberi sumbangan atau derma kepada pusat tahfiz tersebut.

Tidak mustahil juga, di mana-mana masjid pada hari ini akan wujud pihak-pihak tertentu yang membuat kutipan atau memohon derma bagi pihak pusat tahfiz yang sama.

Untuk apa sebenarnya sumbangan atau derma diberikan kepada pusat tahfiz itu?

Buat ketika ini, jangan ada mana-mana pihak yang terlalu pemurah mahu memberikan sumbangan kepada pusat tahfiz itu lagi.

Jika ada sumbangan atau derma, ia seharusnya diberikan atau disalurkan terus kepada keluarga mangsa yang telah menderita kehilangan nyawa, bukan lagi kepada pusat tahfiz.

Tauke pusat tahfiz tidak harus terus "dikayakan" dengan derma atau sumbangan daripada orangramai. Dia mesti pergi ke balai polis terlebih dahulu.

Jika derma atau sumbangan diberikan kepada tauke pusat tahfiz, kita akhirnya belum tahu sama ada pusat pengajian itu dibenarkan beroperasi semula atau sebaliknya. Ia malah mungkin akan ditutup terus oleh pihak berkuasa.

Lalu, siapa yang mahu memastikan ke mana perginya wang derma yang mungkin berjuta-juta yang telah diterima oleh pusat tahfiz?

Oleh itu, kepada yang pemurah dan bersimpati, ambillah sedikit masa untuk mencari dan mengenalpasti keluarga-keluarga mangsa sebelum menghulurkan derma.

Biar derma dan sumbangan kita sampai kepada sasarannya, bukan kepada pihak yang mungkin bertambah kaya di sebalik airmata pelajar-pelajar yang tidak berdosa.

BACA INI JUGA: Golongan Yang Mulia Di Dunia Namun Hina Di Akhirat

sumber: shahbudindotcom

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon