Friday, September 15, 2017

Apa Itu Penyakit Lupus (SLE)?


Apakah itu SLE? Sistemik lupus eritematosus (SLE) atau lupus adalah penyakit kronik “autoimmune” di mana antibodi seseorang bertindak balas dengan menyerang tisu badan pesakit itu sendiri.

SLE

Penyakit Lupus akan menjejaskan beberapa bahagian sistem tubuh seperti kulit, sendi, buah pinggang, paru-paru, sistem saraf, atau organ-organ lain di dalam badan.

Asal-usul nama Lupus berasal dari perkataan Latin yang bererti “serigala” kerana seorang doktor Perancis yang mula-mula merawat pesakit lupus mengibaratkan tompok-tompok kemerahan di muka pesakit sebagai gigitan serigala.

Gejala yang biasa dialami oleh pesakit Lupus ialah radang kulit dan sakit sendi (arthritis), selalunya di iringi oleh keletihan dan demam.

Penyakit SLE ada masanya tidak aktif, iaitu dapat dikawal (remission) dan ada masanya menjadi aktif (relapse).

SLE merupakan penyakit auto-imun yang terjadi apabila sistem daya tahanan badan menjadi bercelaru dan mula melawan tisu-tisunya sendiri.

Puncanya tidak diketahui tetapi kemungkinan besar ia disebabkan oleh gabungan faktor-faktor keturunan, alam sekitar, serta hormon.

Ia berlaku melalui pengeluaran auto-antibodi yang melawan sel-sel normal seseorang, menyebabkan keradangan pada beberapa bahagian tubuh yang boleh merosakkan organ dan tisu.

Jenis antibodi yang lazim didapati dalam pengidap SLE dipanggil antibodi antinuklear (antinuclear antibody) kerana ia bertindakbalas dengan bahagian nukleus sel.

Jenis-jenis lupus

1. Sistemik lupus eritematosus (SLE)

Sistemik lupus eritematosus (SLE) ialah yang biasanya dimaksudkan apabila kita sebutkan “lupus”. Gejalanya mungkin sederhana atau serius.

SLE biasanya menyerang mereka yang berumur di antara 15 dan 45 tahun walau bagaimanapun, sebilangan kecil pengidap SLE adalah kanak-kanak dan mereka yang berusia lebih 45 tahun.

2. Diskoid lupus eritematosus (DLE)

Diskoid lupus eritematosus (DLE) merupakan penyakit kulit yang kronik di mana terdapat tompok-tompok merah (malar rash) di muka, kulit kepala, bahagian badan, kaki dan tangan.

Kulit yang terlibat akan menjadi tebal dan bersisik serta mungkin meninggalkan parut.

Ruam berkenaan boleh berlarutan hingga beberapa hari atau tahun dan kemungkinan akan berulang setelah sembuh.

Sebilangan kecil mereka yang mengidap DLE boleh mendapat SLE di kemudian hari.

3. Lupus Neonatal

Lupus Neonatal ialah keadaan yang boleh berlaku pada bayi yang baru dilahirkan oleh pengidap SLE.

Ini mungkin disebabkan auto-antibodi di dalam darah ibu yang dipanggil anti-Ro (SSA) dan anti-La (SSB).

Akibatnya, bayi ini akan mendapat radang kulit, masalah hati, dan masalah darah (low blood counts).

Gejala ini akan hilang sedikit demi sedikit dalam masa beberapa bulan.

Walaupun kes-kes begini jarang sekali ditemui, namun bagi bayi yang lahir dengan masalah neonatal lupus mungkin juga akan mengalami masalah jantung yang mengganggu perjalanan jantung.

Pengambilan sesetengah ubat boleh menyebabkan kesan sampingan yang menyerupai ciri-ciri seakan SLE. Keadaan ini di panggil “drug-induced lupus”.

Gejala ini akan hilang jika pengambilan ubat itu diberhentikan.

Buah pinggang dan otak jarang terjejas dalam lupus jenis ini.

Siapakah Yang Mendapat SLE?

Dianggarkan lebih kurang 90 peratus mereka yang mendapat SLE adalah wanita, sementara 10 peratus yang lain merupakan lelaki dan kanak-kanak.

Bagi kaum wanita, SLE biasanya bermula semasa lingkungan umur boleh melahirkan anak, jarang sekali semasa kanak-kanak atau setelah putus haid.

Adalah dianggarkan di Amerika Syarikat seorang dalam 2,000 mengidap SLE. Di Jamaica pula di anggarkan seorang dalam 250 orang mengidap SLE.

Setakat ini, Malaysia tidak mempunyai sebarang statistik untuk pengidap SLE.

Ini adalah disebabkan SLE mempunyai pelbagai gejala dan melibatkan pelbagai disiplin, akibatnya penyakit ini amat sukar untuk dikesan.

Statistik di Amerika Syarikat pula menunjukkan wanita Amerika berkulit hitam berisiko lebih tiga kali ganda untuk mendapat SLE berbanding wanita Amerika berkulit putih.

Ia juga dikatakan lebih kerap berlaku di kalangan wanita berketurunan Hispanik (Latin Amerika), Asia dan penduduk asli Amerika.

Walaupun SLE boleh melibatkan beberapa orang dalam sebuah keluarga, risiko ahli-ahli keluarga, seperti anak dan adik beradik lelaki atau perempuan, untuk mengidap SLE adalah sangat rendah.

Apa Yang Menyebabkan SLE?

Walaupun SLE boleh menyerang beberapa orang ahli keluarga, “gene lupus” yang khusus belum lagi dikenalpasti.

Kajian menyarankan ada beberapa “gene” mungkin boleh menentukan kebarangkalian seseorang itu diserang SLE.

Gen ini juga dapat menentukan sama ada tisu atau organ yang terlibat serta tahap seriusnya penyakit SLE yang dialami.

Bagaimanapun gen sahaja tidak sepenuhnya memainkan peranan, sebaliknya para saintis sedang mengkaji faktor-faktor lain yang turut menyumbang kepada punca SLE.

Antara sebab-sebabnya ialah sinaran cahaya matahari, tekanan emosi, pengambilan ubat-ubat tertentu dan juga kuman virus.

Sehingga kini, saintis masih belum dapat memahami semua faktor yang menyebabkan keradangan dan kerosakan tisu dalam penyakit SLE.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Apa Itu Penyakit Autoimun, Sistem Pertahanan Tubuh Yang Menyerang Diri Sendiri

sumber: lupusmalaysia

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon