Thursday, August 10, 2017

Sejarah Gerakan Penubuhan Koperasi Membela Masyarakat Tertindas

Gerakan Koperasi bermula dan berkembang di atas kesedaran sekumpulan masyarakat yang terdiri daripada golongan yang dieksploitasi atau ditindas bagi membela nasib serta hak mereka dalam kehidupan.

Sejarah Gerakan Koperasi

Sejarah gerakan formal ini bermula pada kurun ke-18 di saat tercetusnya Revolusi Perindustrian di England.

Lahirnya tokoh-tokoh perindustrian seperti Hargreaves (pencipta alat penyulaman), Richard Artwright (pencipta rangka air yang menggunakan kuasa air), Samuel Cromption, James Watt (pencipta jentera wap) dan Edmund Cartwright (pencipta perkakasan penenunan) telah menggalakkan pertumbuhan bandar-bandar industri.

Perkembangan ini telah menarik ramai tenaga pekerja terutama dari sektor pertanian yang sememangnya telah dieksploitasi oleh tuan-tuan tanah untuk beralih arah bekerja di sektor perindustrian.

Transformasi pekerjaan dari sektor pertanian ke sektor perkilangan telah menyebabkan pemilik-pemilik kilang pula mengambil peluang mengeksploitasi kebanjiran tenaga buruh ini menerusi bayaran upah rendah, masa bekerja yang panjang dan kemudahan atau keadaan bekerja yang amat menyedihkan.

Senario ini diburukkan lagi dengan suasana politik di waktu itu di mana kerajaan dikawal oleh tuan-tuan tanah serta pemilik-pemilik kilang yang kaya raya.

Kebanyakan dasar-dasar yang digubal, bertujuan memihak kepada golongan hartawan ini dan secara tidak langsung menindas dan menghimpit kehidupan rakyat.

Antaranya, dalam tahun 1815, Parlimen England telah meluluskan Corn Law yang mencegah pengimportan jagung.

Penggubalan undang-undang ini telah menyebabkan kenaikan harga roti yang mendadak dan secara tidak langsung meletakkan paras kemiskinan yang sangat tinggi di kalangan rakyat.

Tekanan dan situasi buruk yang dihadapi rakyat terutamanya di kalangan buruh-buruh kilang telah membuatkan mereka mencari jalan keluar bagi mengatasi masalah tersebut.

Maka muncullah tokoh iaitu Robert Owen (1771-1858) yang dikenali sebagai ‘Bapa Koperasi’ sebagai penjana idea kepada gerakan koperasi moden bagi mengurangkan kesan-kesan ketidakadilan dan penindasan ketika itu.

Sebagai seorang yang berlatarbelakangkan pekerja kilang, dan seterusnya menjadi usahawan sehingga berjaya memiliki kilang tekstil, dan kemudian menjadi pemimpin masyarakat, beliau menyedari akan perlunya suatu sistem masyarakat yang lebih dinamik diwujudkan dan layanan yang lebih adil diberikan kepada golongan pekerja.

Beliau bercita-cita mahu mewujudkan perkampungan di seluruh negaranya yang dinamakan Dunia Baru Yang Bermoral bagi menggantikan suasana kehidupan semasa yang dianggapnya penuh penyelewengan dan penindasan.

Dengan fahaman atau kepercayaan bahawa perlu diwujudkan sebuah komuniti koperasi dahulu dan selepas itu diiringi dengan aktiviti atau perniagaan, beliau telah menubuhkan satu perkampungan yang berasaskan prinsip-prinsip persaudaraan dan tolong-menolong (Villages of Co-operation pada tahun 1799) dan sebuah institute pendidikan moral (Institution for the Formation of Character pada tahun 1816) yang kedua-duanya terletak di New Lanark, Scotland, dan juga perkampungan koperasi di Hampshire, England (1893).

Walaupun usaha Robert Owen menemui kegagalan, namun idea beliau yang berunsur koperasi telah dapat mempengaruhi sebilangan rakyat dan membuka jalan ke arah pewujudan Gerakan Koperasi yang lebih sistematik.

Usaha meneruskan Gerakan Koperasi ini turut mendapat perhatian seorang ahli akademik dan penulis tempatan iaitu Dr. William King (1786-1965).

Pada tahun 1828, Dr. William King telah menerbitkan buletin bulanan “The Co-operator”, iaitu sebuah penerbitan yang dianggap berjaya menyebarkan semangat baru dan kefahaman berkoperasi di kalangan masyarakat England pada masa itu.

Buletin “The Co-operator” telah berjaya diterbitkan sebanyak 28 edisi selama tiga tahun iaitu dari tahun 1827 hingga 1830.

Buletin yang berkonsepkan koperasi secara amali dan nilai-nilai dalam agama Kristian telah tersebar seluruh England hinggakan di mana buletin itu sampai, pasti akan ditubuhkan koperasi di kawasan tersebut.

Koperasi pertama yang ditaja oleh Dr. William King adalah Brighton Co-operative Trading Association pada tahun 1827, namun koperasi ini turut menemui kegagalan.

Perkembangan gerakan kerjasama oleh kedua-dua tokoh di atas tidak berupaya menampakkan hasil sebagaimana yang dinginkan.

Ini berlaku bukan hanya disebabkan gerakan koperasi ini timbul di era Revolusi Perindustrian berlangsung, tetapi gagal apabila prinsip-prinsip persaudaraan dan tolong-menolong dalam meningkat sosioekonomi masyarakat tidak dihayati sepenuhnya oleh anggota.

Malah pergantungan anggota dalam mendapatkan bantuan dan pertolongan dengan tertumpu pada individu atau pemimpin gerakan ini sahaja menyumbang kepada kegagalan gerakan ini.

Di samping ketiadaan pengiktirafan status dari segi undang-undang, ketiadaan ilmu-ilmu perniagaan di kalangan anggota, ketiadaan sokongan dari hartawan-hartawan dan ketamakan anggota hingga membubarkan koperasi menjadi syarikat persendirian juga antara punca kegagalan gerakan koperasi pertama ini.

Idea berkoperasi ini seterusnya telah diadaptasi oleh golongan artisan di mana 28 orang penenun bersepakat menyumbangkan modal sebanyak £1.00 seorang melalui penubuhan Rochdale Pioneers Society Limited pada tahun 1844.

Mereka yang juga dikenali sebagai Pelopor Rochdale, telah menggariskan prinsip-prinsip koperasi yang kemudiannya diakui sebagai falsafah Gerakan Koperasi di seluruh dunia.

Bermodalkan £28.00 yang terkumpul, pada 21 Disember 1844, mereka telah menubuhkan kedai koperasi pengguna yang terawal di dunia melalui pendekatan jualan mengikut pasaran, jual beli secara tunai dan pembahagian untung berdasarkan kepada jumlah pembelian yang dibuat oleh anggota.

Dalam beberapa tahun sahaja, koperasi ini telah mencapai kejayaan besar dari aspek keanggotaan, modal dan perniagaannya.

Daripada kejayaan inilah, gerakan koperasi mula berkembang ke seluruh England dan kemudian ke serata dunia termasuklah Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: skm

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon