Saturday, August 12, 2017

Tahukah Anda Diesel Di Malaysia Mengandu­ngi Biodiesel Kelapa Sawit?

Loading...

Adakah anda sedar diesel di Malaysia mengandu­ngi komponen biodiesel sawit? Ramai tidak mengetahui namun faktanya, mulai Disember 2014 lalu, semua diesel yang dibekalkan stesen-stesen minyak di seluruh negara ini mengan­dungi adunan tujuh peratus biodiesel minyak sawit dan 93 peratus diesel petroleum.

Biodiesel

Mungkin ramai yang skeptikal mengenai manfaatnya namun kajian menunjukkan penggunaan 350,000 tan minyak sawit mentah (CPO) untuk biodiesel adalah bersamaan dengan pengurangan pelepasan satu juta tan Karbon Dioksida (C02) atau asap karbon dari 250,000 kenderaan.

Program pelaksanaan biodie­sel di Malaysia sebenarnya telah bermula sejak Jun 2011 dengan kadar adunan B5 (5 peratus biodiesel sawit dan 95 peratus diesel petroleum).

Kejayaan daripada program perintis yang bermula di Putrajaya itu kemudiannya menyaksikan program berkenaan diperluaskan ke seluruh negara.

Ketika ini, polisi biodiesel dikenakan adalah mandatori terhadap bahan api diesel yang digunakan oleh kenderaan dengan kadar adunan ditetapkan B7 iaitu tujuh peratus biodiesel sawit dan 93 peratus diesel petroleum.

Penggunaan biodiesel berasaskan minyak sawit itu tidak hanya terhad kepada diesel gred Euro2M tetapi juga terdapat dalam kandungan diesel gred Euro5.

Menerusi Akta Industri Biobahan Api Malaysia 2007 (Akta 666), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) adalah kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia dan mengoptimumkan penggunaan bahan api alternatif tersebut.

Penggunaan biodiesel berasaskan minyak sawit yang dikenali sebagai palm methyl ester (PME) adalah langkah yang mesra alam sekitar. PME atau ester metil asid lemak daripada minyak sawit adalah bahan api alternatif boleh diperbaharui yang jauh lebih bersih berbanding bahan api diesel petroleum.

Sebagaimana yang dimaklumkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), penggunaan biodiesel juga tidak memberi kesan kepada enjin-enjin kenderaan malah penggunaannya tidak mendapat rungutan.

Bukan hanya di negara ini, negara-negara lain juga sudah mengo­rak langkah untuk melaksanakan penggunaan biodiesel secara mandatori. Indonesia mi­salnya telah melaksanakannya mu­lai 2013 dan pada tahun ini, kadar adunan yang ditetapkan negara berkenaan adalah lebih tinggi iaitu B20.

Di Colombia pula, sejak 2011, program biodiesel telah dilaksanakan dengan kadar adunan ditetapkan adalah B10 untuk kawasan tanah rendah dan B8 untuk kawasan tanah tinggi.

Selain itu, di Amerika Syarikat (AS), salah sebuah negerinya, Minnessota telah melaksanakan program biodiesel B10 secara mandatori bermula 2014 dan merancang untuk melaksanakan program B20 menjelang 2018.

Hakikatnya, banyak manfaat diperoleh menerusi pengguna­an biodiesel. Kajian saintifik mem­buktikan penggunaan biodiesel mampu mengurangkan pe­­lepasan gas rumah hijau bagi sektor peng­angkutan serta industri untuk alam sekitar yang lebih lestari.

Secara tidak langsung penggunaan biodiesel juga akan mem­­bantu merealisasikan hasrat ne­­gara untuk mengurangkan pe­lepasan gas rumah hijau seba­nyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030 sebagaimana dipersetujui di bawah United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC).

Kajian juga menunjukkan biodiesel mengandungi nombor se­tana yang tinggi bagi prestasi enjin lebih baik serta menyumbang kepada pelepasan gas ekzos yang lebih bersih.

Dengan Malaysia merupakan antara negara pengeluar komoditi minyak sawit, program biodiesel mampu mengurangkan stok mi­nyak sawit negara serta membantu memperkukuhkan harga minyak sawit.

Kenaikan harga minyak sawit juga akan memberi kesan positif kepada industri sawit termasuk peningkatan harga buah tandan segar (BTS) terutamanya bagi meningkatkan pendapatan pekebun-pekebun kecil.

Penggunaan biodiesel juga mampu mengurangkan kebergantungan tinggi negara terhadap bahan api petroleum disam­ping mempelbagaikan kekayaan sumber-sumber tenaga alternatif yang dimiliki.

Ketika ini, MPIC sedang giat menjalankan kajian bersama MAA, Japanese Automobile Manu­facturers Association (JAMA), Fuel Injector Manufacturers (FIE) serta pelbagai pihak lain untuk penggunaan adunan kandungan biodiesel yang lebih tinggi iaitu 10 peratus (B10) ke atas.

Usaha tersebut adalah komitmen kementerian itu untuk meningkatkan lagi penggunaan biodiesel di negara ini sekali gus memberi sumbangan untuk alam sekitar yang lebih bersih dan mampan.

Dari segi asasnya, negara ketika ini memiliki sebanyak 22 syarikat yang menjadi pengeluar biodiesel bagi membekalkan ke­perluan negara.

Langkah ke hadapan yang sedang dirangka MPIC juga adalah untuk biodiesel tidak hanya digunakan oleh sektor pengangkutan tetapi juga sebagai bahan api untuk menjana industri-industri di negara ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon