Wednesday, April 26, 2017

Pelajar Tahfiz Dirotan Ustaz Meninggal Dunia


Pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gadaffi yang dirotan pembantu warden sehingga kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail.

Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gadaffi

Media tempatan melaporkan, pelajar berusia 11 tahun itu meninggal dunia kira-kira pukul 2.05 petang. Al-Fatihah.

Perkara tersebut turut disahkan oleh bapanya, Mohd. Ghaddafi Mat Karim, 43.

Terdahulu, kisah pelajar itu yang dimasukkan ke HSI Rabu lepas (19 April) menjadi viral di media sosial selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dikatakan akibat dipukul oleh pembantu warden madrasah itu.

Bimbang jangkitan kuman merebak, kedua belah kaki Mohamad Thaqif terpaksa dipotong setelah didakwa sering dirotan pembantu warden asrama pusat tahfiz swasta di Kota Tinggi, Johor.

Keadaannya semakin membimbangkan sehingga tangan kanannya dari bahagian jari hingga bawah siku terpaksa dipotong kerana dijangkiti kuman.

Namun, pembedahan yang dijadual dilakukan pagi Rabu ini tetapi telah ditangguhkan susulan keadaan jantungnya berada dalam keadaan tidak stabil.

Susulan itu, seorang pembantu warden lelaki berumur 29 tahun kini ditahan reman bagi membantu siasatan terhadap kes tersebut.

Mohamad Thaqif Meninggal Ketika Dibacakan Yasin

“Mohamad Thaqif Amin yang tenat meninggal dunia ketika kami sekeluarga sedang membacakan surah Yasin kepadanya.

“Saya berharap semua pihak mendoakan yang terbaik ke atas anak saya, mendoakannya menjadi anak yang soleh,” kata bapanya, Mohd. Gaddafi Mat Karim.

Beliau yang merupakan bekas pemain bola sepak Selangor berkata beliau sekeluarga reda dengan pemergian anak ketiganya daripada lima beradik itu.

Beliau berkata jenazah anaknya akan dibawa pulang ke Felda Bukit Aping Timur, Kota Tinggi untuk dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan selepas bedah siasat selesai.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan tidak putus-putus berdoa terhadap kejadian yang menimpa anaknya.

Keluarga Ambil Tindakan Undang-undang

Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gadaffi

Keluarga Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya kematian pelajar berkenaan mempunyai kaitan dengan kes pukul terhadapnya.

Ibu saudaranya Dzuraidah Ahmad, 38, berkata mereka sekeluarga kini sedang menyerahkan siasatan lanjut kes itu kepada polis.

“Buat masa ini kami serahkan siasatan kepada pihak berkuasa, sekiranya benar didapati ia berkaitan pukul, kami akan lawan untuk membela apa yang berlaku ke atas Allahyarham.

“Kata orang, memanglah sudah takdir tetapi kami akan membuat sesuatu supaya terbela,” katanya yang ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Dzuraidah berkata anak ketiga daripada lima beradik itu sebelum ini sihat malah aktif bermain bola sepak.

Katanya, dia sekeluarga amat rapat dengan Mohamad Thaqif Amin kerana anak itu baik malah mereka sering berkumpul bersama-sama setiap kali musim cuti persekolahan.

Menurut Dzuraidah, Mohamad Thaqif Amin memang bercita-cita menjadi seorang tahfiz dan sudah menghafaz Surah Yassin dan Al-Mulk.

Pembantu warden berumur 29 tahun itu kini disambung reman tiga hari mulai esok sehingga Sabtu ini selepas remannya sejak Ahad lepas berakhir hari ini.

BACA INI JUGA: 'Time-Out Punishment' Kaedah Yang Sangat Berkesan 'Menghukum' Anak

1 comment

  1. Hukuman pukul sampai mencederakan memang tak patut.. Tapi dalam mana yang itu juga asbab kepada ajalnya... Kejadian ini berlaku atas izin Allah jua... Mesti dia anak yang baik... Sebab tu Allah syg... Buat warden tu jadikan kesalahan dia tu satu pengajaran buat semua...

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon