Monday, March 06, 2017

Kleptomania, Keinginan Mencuri Akibat Kecelaruan Mental

Loading...

Apa Itu Kleptomania dan Pengertiannya | Mencuri untuk apa jua alasan tetap salah dan seharusnya dihukum, namun tahukah anda bahawa ada yang mencuri kerana mempunyai gangguan kawalan impuls?

Kleptomania

Mungkin ada antara kita akan berkata begini, “Ah, takkanlah tidak boleh kawal? Alasan sahaja tu, menipu!”

Penghidap penyakit Kleptomania mempunyai simptom ketagihan serta keinginan mencuri yang membuak-buak dan ketidakupayaan untuk membendung diri apabila ‘perasaan’ itu datang.

Benda-benda yang dicuri oleh penderita kleptomania umumnya adalah barang-barang yang tidak berharga, seperti gula, sikat dan sebagainya.

Keinginan untuk mencuri itu terdetik dengan tiba-tiba tatkala seseorang itu melihat sesuatu barangan, meskipun ia mampu dibeli dan bukanlah barangan yang berharga atau diperlukan.

Gejala Kleptomania berbeza dengan jenayah curi yang lain, yang mana jenayah seperti seluk saku atau ‘shoplifting’ kebiasaannya dirancang rapi dan bertujuan untuk keuntungan kewangan.

Kleptomania adalah keinginan untuk mencuri dan bukan sesuatu yang dirancang, tetapi merupakan rangsangan spontan, rasa anxiety, rasa adrenaline rush.

Keinginan itu begitu kuat dan akan menguasai diri kerana seseorang dia tidak berdaya melawan walau tahu mencuri itu salah.

Apabila dia berjaya mencuri, dia akan merasa lega dan puas tetapi kemudiannya akan rasa bersalah dan tidak selesa dengan apa yang telah dilakukannya.

Perasaan itu akan terus bermain-main di minda hinggakan ia mengganggu kehidupan sehariannya.

Kebiasaannya, Kleptomania bermula dari zaman kanak-kanak lagi dan wanita lebih cenderung menderita gangguan psikologi itu.

Kajian Universiti Stanford misalnya mendapati di Amerika Syarikat, lebih sejuta orang dipercayai penderita Kleptomania, yang mana kira-kira 60 peratus daripadanya adalah wanita.

Kesedaran yang rendah mengenai Kleptomania dan diagnos tidak dilakukan, malah kes sebegini tidak dilaporkan, menyebabkan tidak mustahil jumlah penderitanya termasuklah di Malaysia adalah tinggi.

Takut Untuk Mengakui

Penderita Kleptomania memerlukan dorongan dan sokongan yang berterusan dari orang sekeliling terutamanya keluarga terdekat dan sahabat handai.

Sekiranya ada kanak-kanak yang mencuri, ramai yang menganggap mereka nakal sedangkan ini adalah masalah kecelaruan psikologikal, bukannya masalah nakal, bukannya masalah perkembangan kanak-kanak itu sendiri.

Maka, orang yang terdekat kena peka dan faham, jangan terus menghukum apabila mereka mengakui. Cuba dapatkan bantuan seperti kaunseling atau berjumpa dengan pakar psikologi klinikal.

Tidak seperti gangguan psikologi lain seperti kemurungan dan Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD), penderita Kleptomania malu dan takut untuk meminta bantuan kerana risau akan penerimaan dan stigma negatif masyarakat, selain terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko.

Kalau dia mengaku, orang sekeliling mungkin tidak akan faham dan akan menghukum atau menghina perbuatannya, malah tingkahlaku mencuri itu sendiri mempunyai kesan perundangan, mungkin akan ada yang melaporkannya ke pengetahuan pihak berkuasa.

Bila difikirkan kesannya, dia jadi takut dan tentunya tidak akan sesekali mengaku atau cuba mendapatkan rawatan berbanding dengan orang yang ada OCD atau kemurungan.

Apabila penderita Kleptomania tertangkap, proses yang terlibat ialah proses perundangan, bukannya proses perubatan psikologikal. Maka dia akan dijatuhkan hukuman sama seperti pencuri yang lain.

Orang lain mungkin tidak sedar termasuklah mereka yang di dalam sistem perundangan mungkin tidak sensitif mengenai kecelaruan psikologikal ini.

Bagi mereka, mencuri adalah mencuri sedangkan yang ditangkap itu sepatutnya diberikan rawatan, bukannya hukuman.

Mereka yang mendakwa mengalami kecelaruan psikologi seperti Kleptomania seharusnya dirujuk terlebih dahulu kepada pakar psikologi klinikal supaya boleh didiagnos, sama ada dakwaan itu benar atau tidak seterusnya mencari cara supaya dapat diatasi dan seterusnya dirawat.

Sewajarnya ada ahli psikologi dilibatkan dalam kes begini kalau pencurian itu kerap sangat dilakukan atau pun pertama kali tetapi mereka tahu tabiat itu salah namun buat juga kerana tidak dapat mengawal diri, sepatutnya mereka dirujuk kepada pakar.

Ia juga bagi memastikan pesalah tidak menjadikan Kleptomania sebagai alasan untuk melepaskan diri dari kesalahan. Kleptomania hanya boleh disahkan oleh pakar sahaja.

Kenapa Kleptomania Berlaku?

Sehingga kini punca dan penyebab penyakit Kleptomania tidak diketahui secara jelas, namun terdapat beberapa teori termasuklah ketidakseimbangan hormon otak (neurotransmitter) dalam sistem saraf.

Satu daripada hormon yang dikenalpasti adalah Serotonin. Kekurangan Serotonin dikaitkan dengan tingkah laku yang tidak dapat dikawal termasuklah Kleptomania.

Sistem saraf individu yang ketagih juga akan mengeluarkan sejenis bahan bio chemistry yang menyebabkan seseorang itu berasa seronok dan seperti di awan-awangan apabila berjaya mencuri.

Kebiasaannya individu yang didiagnos dengan Kleptomania juga berkemungkinan mempunyai masalah psikologi yang lain seperti kemurungan dan OCD.

Tidak diketahui yang mana datang dahulu, datang serentak atau berturut tidak pasti. Teori tentang Kleptomania memang ada tetapi punca sebenarnya tidak tuntas.

Jika tidak dirawat dari awal, penderita kleptomania mungkin akan terus mencuri untuk seumur hidup, kerana Kleptomania adalah gangguan psikologi yang sukar untuk sembuh.

Kalau punca sebenar adalah masalah sistem sarafnya, maka selagi masalah itu tidak dibetulkan, maka selagi itulah dia akan mencuri, tetapi kalau Kleptomania berpunca dari kecelaruan psikologi yang lain dan kecelaruan itu dapat diubati, mungkin pada masa sama simptom Kleptomania itu pun dapat dikurangkan.

Meskipun tiada rawatan jelas bagi Kleptomania yang boleh menyembuhkan sepenuhnya penyakit ini, rawatan terapi dan ubat-ubatan bagi memperlahankan seterusnya melawan ‘panggilan’ gangguan psikologi boleh dilakukan.

Management of symptom seperti rawatan terapi yang mana antaranya penderita akan dilatih untuk mengendalikan dan mengurangkan rasa ‘anxiety’ supaya ia tidak akan mendorong kepada mencuri, bila dapat latih rasa ‘anxiety’ itu, dia akan dapat mengawal tingkah lakunya.

Ubat-ubatan bagi menambah bilangan Serotonin dalam sistem saraf juga mungkin akan diberi kepada penghidap Kleptomania, namun ini semua hanya kawalan dan tidak dapat disembuhkan sepenuhnya.

Kematangan fizikal dan emosi juga dapat mempengaruhi pesakit Kleptomania untuk berubah sekiranya dia mendapat rawatan sejak awal, selain sokongan sosial yang tidak putus dari orang sekeliling.

BACA INI JUGA: Ketakutan Yang Pelik, Jenis Dan Kategori Fobia

Sumber: mynewshub

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon