Wednesday, March 15, 2017

'Kebodohan Raja Bomoh Tiada Tebingnya, Khurafat Dan Memalukan Akal'

Loading...

Mufti Perlis kali ini mengkritik keras aksi terbaru 'Raja Bomoh' Ibrahim Mat Zin yang 'memagar' Malaysia daripada ancaman negara asing, khususnya Korea Utara.

Raja Bomoh
Malaysia jadi bahan lawak sekali lagi.

Sambil menyifatkan langkah itu sebagai khurafat dan memalukan akal, Datuk Dr Asri Zainul Abidin juga menegur langkah itu “dijadikan berita rakyat”.

“Padahal perbuatannya itu merupakan kebodohan yang tiada bertebing,” katanya.

Di tengah-tengah ketegangan hubungan Malaysia-Korea Utara, Ibrahim pada Ahad lalu mengadakan upacara untuk “melindungi” Malaysia di tepi pantai.

Beliau dan pengikutnya kali ini menggunakan buluh kecil yang dijadikan teropong, dua biji kelapa dan lima meriam buluh untuk upacara itu.

Menulis di Facebook, Asri juga berkata Ibrahim membaca ayat dan doa dengan cara yang salah.

“Jika itulah dianggap 'raja bomoh', apakah kadar kebodohan pada bomoh yang bukan raja?” katanya.

Asri juga menegaskan Islam menentang kebodohan tanpa mengira siapa yang melakukannya, sekalipun pihak yang bergelar ustaz atau kiyai. -mk

Upacara 'raja bomoh' diharamkan

Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim menegaskan upacara pembomohan Ibrahim Mat Zin atau lebih dikenali sebagai "Raja Bomoh" telah diwartakan haram bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.

Katanya, jawatankuasa fatwa negeri yang bersidang pada 17 hingga 19 September 2014 telah memutuskan bahawa amalan pembomohan yang dilakukan oleh Ibrahim berlawanan dengan hukum syarak.

Ibrahim terkenal menggunakan pelbagai peralatan dalam upacaranya seperti buluh, bubu, buah tembikai dan buah kelapa.

Zamri menegaskan mana-mana orang Islam di Perak yang mengingkari fatwa boleh diambil tindakan.

Kata Zamri, dalam konteks perubatan ritual yang dilakukan Ibrahim baru-baru ini sudah pasti beliau akan dikenakan tindakan sekiranya dilakukan dalam negeri Perak.

"Malah, mana-mana orang Islam atau kumpulan yang menjadi ahli atau pengikutnya juga boleh dikenakan tindakan di bawah enakmen tersebut.

"Jika perbuatan itu dilakukan di negeri lain maka pihak berkuasa negeri berkenaan perlu mengambil tindakan kerana urusan agama adalah di bawah urusan negeri masing-masing," Zamri dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian. -mk

BACA INI JUGA: Kenali Aliran Ahlus Sunnah wal Jamaah Di Perlis

-SENTIASAPANAS.COM

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon