Friday, March 24, 2017

Apa Itu Penyakit Tibi Dan Perkara Yang Anda Patut Tahu Mengenainya


Penyakit Tibi (Tuberkulosis) atau penyakit batuk kering adalah penyakit berjangkit yang biasanya menyerang paru-paru dan boleh merebak ke bahagian badan yang lain, seperti otak, kelenjar adrenal, nodus limfa, jantung, bahagian usus dan tulang belakang.

Penyakit Tibi

Punca penyakit tibi adalah disebabkan oleh sejenis bakteria yang dipanggil Mycobacterium tuberculosis.

Anda boleh dijangkiti penyakit TB melalui titisan air di udara (‘airborne droplets’) yang dicemari kuman TB. Pesakit TB juga boleh menyebarkan kuman TB melalui titisan air di udara apabila mereka batuk atau bersin.

Kemungkinan anda dijangkiti penyakit TB bergantung kepada tahap daya ketahanan tubuh masing-masing.

Jika anda mempunyai daya ketahanan tubuh yang rendah, anda berkemungkinan lebih tinggi untuk dijangkiti penyakit TB.

Golongan yang mempunyai risiko tinggi untuk mendapat jangkitan TB termasuklah:
  • Bayi, kanak-kanak, dan golongan tua.
  • Pesakit yang menghidap penyakit yang boleh mengurangkan daya ketahanan badan seperti penghidap penyakit HIV, pesakit kencing manis, pesakit buah pinggang tahap akhir (end stage renal failure) atau pesakit penyakit kanser.
  • Pesakit yang mengambil rawatan steroid atau rawatan yang menrendahkan tahap daya ketahan badan seperti pesakit yang telah menjalankan pemindahan organ, pesakit Systematic Lupus Erythemotosus SLE/rheumatoid, Crohn’s, Ulcerative Colitis, psoriasis dan sebagainya.
  • Pesakit yang sedang mengambil rawatan kemoterapi.

Malaysia adalah antara negara yang mengambil serius tentang ancaman penyakit TB ini.

Pada zaman sebelum merdeka, penyakit TB adalah pembunuh nombor satu negara kita, namun dengan adanya program vaksinasi yang berkesan dan juga program pengesanan awal dan rawatan TB yang berkesan, kita berjaya mengurangkan kes jangkitan penyakit TB di Malaysia.

Kini, penyakit TB berada di tangga yang ke-sembilan punca kematian di Malaysia.

Malangnya, terdapat peningkatan dalam kes-kes baru TB di Malaysia pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Punca penularan penyakit Tibi

Antara faktor-faktor penyebab penyakit TB ini kian meningkat adalah disebabkan oleh kebanjiran pembawa penyakit TB di kalangan imigran atau pekerja-pekerja asing, yang kebanyakannya tidak menerima vaksinasi untuk TB di negara asal masing-masing dan datang dari negara yang mempunyai penghidap TB yang ramai.

Selain daripada itu, peningkatan penyakit TB juga datang seiring dengan peningkatan kes penghidap HIV di negara kita.

Dalam masa yang sama, akibat kekurangan pengetahuan dan sikap sambil lewa dalam penjagaan kesihatan diri sendiri, ada sesetengah penghidap pesakit TB ini yang tidak menghabiskan rawatan TB yang telah diberikan kepada mereka.

Ini menyebabkan penyakit TB mereka berulang dan bakteria TB di dalam tubuh mereka menjadi kebal terhadap rawatan TB yang sedia ada.

Penularan penyakit TB jenis MDR-TB (penyakit TB yang kebal terhadap beberapa ubat) adalah antara sebab utama sesetengah pesakit TB sukar sembuh daripada penyakit ini walaupun selepas menerima rawatan.

Oleh sebab itu, semua penghidap penyakit TB dinasihatkan untuk mendengar nasihat doktor dan mengambil rawatan TB sehingga habis tempoh rawatan yang telah ditetapkan.

Mereka juga disarankan untuk berjumpa doktor selepas habis tempoh rawatan sekurang-kurangnya sepanjang tempoh setahun selepas habis rawatan.

Ini adalah sebagai langkah pemantauan untuk mengesan pengaktifan penyakit TB di kalangan pesakit penghidap TB yang telah melengkapkan rawatan TB.

Apakah kesan penyakit Tibi pada diri penghidap?

Apabila bakteria TB menjangkiti seseorang, ia boleh merosakkan struktur tisu paru-paru sehingga ia menjadi keras (mengalami ‘fibrosis’), pembentukan nanah di dalam paru-paru (dalam bentuk abses paru-paru atau ‘empyema’) dan paru-paru berair (‘pleural effusion’).

Jika tidak dirawat, kerosakan ini akan menjadi kekal dan melarat sehingga menyebabkan paru-paru berlubang (‘cavitating lesions’) atau ‘bronchiectatic’.

Apabila sampai ke tahap kerosakan yang kekal, pesakit akan mengalami kesukaran bernafas. Kadang-kala walaupun rawatan telah dimulakan, kerosakan paru-paru itu tidak akan dapat dibaiki semula.

Oleh sebab itu, ia amatlah penting bagi kita untuk mengesan penyakit TB dari peringkat awal jangkitan.

Jika penyakit TB dikesan dari peringkat awal, kebanyakan pesakit mempunyai reaksi yang baik kepada rawatan.

Malah, selepas 2 minggu rawatan TB, kebanyakan mereka tidak lagi mampu menyebarkan kuman TB ini kepada individu lain.

Bagaimanakah untuk tahu saya menghidap Tibi ataupun tidak?

Antara tanda-tanda jangkitan TB adalah:
  • Batuk berpanjangan.
  • Batuk berdarah.
  • Sakit dada semasa bernafas.
  • Kesukaran untuk bernafas.
  • Demam berpanjangan.
  • Kurang selera makan.
  • Pengurangan berat badan yang mendadak.
  • Berpeluh malam.

Untuk penyakit TB yang tidak melibatkan paru-paru, tanda-tanda jangkitan bergantung kepada lokasi jangkitan.

Sebagai contohnya, jika ia melibatkan bahagian otak (radang otak disebabkan kuman TB atau ‘TB meningitis’), penghidap boleh menunjukkan tanda-tanda seperti demam, sakit kepala, muntah, kekeliruan mental ataupun sawan.

Sesiapa yang menghidap batuk yang berpanjangan lebih dari dua minggu, anda perlu diperiksa samada anda menghidap penyakit TB paru-paru ataupun tidak.

Bagaimanakah doktor mengesahkan penyakit Tibi paru-paru?

Bagi penyakit TB ‘pulmonari’ (yang melibatkan paru-paru), doktor dapat mengesan jangkitan TB dalam paru-paru dengan mengenalpasti bakteria TB dalam kahak pesakit.

Ini dibuat dengan mencalitkan kahak pesakit pada slaid kaca (‘smear’) dan melihat slaid kaca ini di bawah mikroskop.

Selain daripada itu, kahak pesakit juga boleh dicalit pada media kultur untuk membiakkan kuman bakteria TB.

Kaedah ini amat berkesan dan spesifik untuk mengesan kuman TB. Dengan cara ini juga, kita boleh mengenalpasti jika kuman TB yang dihidapi sensitif atau tidak pada rawatan TB yang sedia ada.

Selain daripada itu, doktor juga boleh melakukan imbasan x-ray dada yang boleh mengesan perubahan paru-paru akibat TB. Pada x-ray pesakit TB, boleh ada tompokan putih, perubahan nodular atau pengerasan (‘fibrosis’) pada paru-paru.

Ujian ‘Mantoux’ ataupun tuberkulin pula adalah ujian yang boleh juga dilakukan untuk mengesan TB. Ianya dilakukan dengan mencucuk sedikit protein tuberkulin di bawah kulit pesakit. Kemudian, selepas tiga hari, reaksi yang didapati pada kulit akan diukur.

Berdasarkan saiz reaksi ‘melepuh’ pada kulitpesakit, tindakbalas tersebut akan dikira sebagai ‘positif’ jika ada kesan melepuh lebih daripada 1cm pada kulit pesakit atau negatif jika tiada reaksi langsung pada kulit pesakit. (Reaksi yang diperoleh bergantung kepada status daya ketahanan badan pesakit).

Ujian-ujian lain yang boleh dilakukan untuk mengesan TB termasuklah ujian darah dan ujian molekular seperti ujian ‘Polymerase chain reaction (PCR).

Untuk penyakit TB selain daripada TB di paru-paru, doktor boleh mengesan kuman TB dengan mengambil sampel bahagian organ yang terlibat seperti air tulang belakang, serta biopsi atau mengambil sedikit sampel daripada nodus limfa, bahagian tulang, sumsum, usus dan lain-lain.

Bagaimanakah saya dapat mengelak daripada mendapat jangkitan Tibi?

Bagi mana-mana individu yang bertugas untuk merawat pesakit TB secara langsung, mereka dinasihatkan untuk memakai topeng N95 untuk melindungi diri mereka daripada terdedah kepada kuman TB. Malangnya, kaedah ini tidak berapa diamalkan oleh sesetengah orang setiap hari.

Vaksinasi BCG pada masa lahir adalah di antara cara untuk kita melindungi diri dan anak-anak kita daripada ancaman jangkitan TB yang memudaratkan seperti TB miliari (jangkitan TB di beberapa organ di dalam tubuh yang telah merebak melalui saluran darah dan nodus limfa badan) dan TB meningitis (jangkitan TB di dalam otak).

Vaksin BCG berfungsi dengan merangsangkan sistem daya ketahanan badan kita untuk membina antibodi terhadap bakteria TB.

80% daripada populasi yang menerima BCG pada masa lahir akan mendapat perlindungan sekurang-kurangnya selama 15 tahun.

Malangnya, ia tidak mampu melindungi diri kita seratus peratus daripada jangkitan TB kerana kesan daya ketahanan badan yang dihasilkan berkurangan apabila kita dewasa.

Oleh sebab itu, ia amatlah penting bagi kita untuk mengesan kes penyakit TB dari peringkat awal dan merawat mereka yang telah dijangkiti dengan secepat mungkin untuk mengelakkan lebih ramai orang yang akan terdedah kepada kuman ini daripada mendapat jangkitan TB.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mmgazette

2 comments

  1. Good info.
    Mengesan penyakit ini lebih awal adalah perlu.

    ReplyDelete
  2. Penyakit tibi kena sentiasa menjaga harian makanan kita dan juga senaman yg tetap.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon