Saturday, February 04, 2017

Resepi Yee Sang, Makanan Wajib Tahun Baru Cina


Yee sang merupakan menu wajib setiap kali masyarakat Cina merai dan menyambut sambutan Tahun Baharu Cina.

Yee Sang

Masyarakat Cina percaya bahawa semakin tinggi yee sang diangkat ketika digaul, maka lebih banyak kemakmuran yang bakal dinikmati sepanjang tahun.

Menu Yee Sang biasanya disajikan sebagai hidangan pembuka dan dianggap sebagai simbol penyatuan dan lambang kemurahan rezeki yang akan diperoleh sepanjang tahun tersebut.

Dalam bahasa Cina, perkataan Yee bermaksud ikan yang turut membawa pengertian lain iaitu kekayaan berkekalan. Perkataan Sang pula merujuk kepada mentah dan turut mempunyai maksud lain iaitu hidup serta kebangkitan.

Pendek kata, hidangan yee sang ini melambangkan simbol kemewahan dan panjang umur.

Inti yee sang biasanya terdiri daripada bahan-bahan seperti ikan mentah (salmon), hirisan sayur-sayuran seperti lobak merah, lobak putih, bijan, kekacang yang ditumbuk, halia, buah abung (pomelo), jus limau, serbuk lima rempah dan keropok rangup.

Kesemua inti tersebut akan disusun secara rapi di atas sebuah pinggan bulat.

Sebelum proses menggaul yee sang dimulakan, sos plum yang mempunyai rasa masam dan manis akan dituang dan disusuli dengan tindakan memicit jus limau pada ikan mentah bertujuan untuk mengelakkan kemasukan bakteria selain menyedapkan rasa ikan itu.

Selepas sos dituang, tibalah detik-detik yang dinanti-nantikan oleh semua iaitu proses menggaul yee sang.

Proses menggaul yee sang mempunyai cara yang tersendiri kerana semua inti yee sang digaul bersama secara agresif menggunakan penyepit oleh mereka yang berkumpul di sekeliling meja bulat.

Jeritan Lo Hei

Mereka yang berkumpul di keliling meja bulat digalakkan untuk menjerit perkataan 'lo hei' dimana 'lo' bermaksud menggaul manakala 'hei' pula ialah naik.

Semakin tinggi yee sang itu diangkat dan digaul, maka lebih banyak kemakmuran yang bakal dinikmati sepanjang tahun.

Selain kemakmuran yang ingin dicapai, masyarakat Cina turut percaya bahawa perkataan 'lo hei' dijerit dengan harapan ia dapat memberi kesihatan lebih baik kepada seseorang.

Resepi Sedap Yee Sang

Bahan:
  • Sedikit timun, betik, seleri yang telah dijerukkan
  • Sedikit halia jeruk merah dan putih
  • Sedikit keladi rangup dan daun bawang
  • Rumpai laut merah dan putih
  • 50 gram obor-obor
  • Sedikit asam mandarin kering
  • Sedikit daun sup, daun limau kasturi, lobak putih, lobak merah
  • 50 gram Tobiko
  • 100 gram Uni

Perisa:
  • 150 ml sos pelam
  • 30 ml cuka lemon
  • 30 ml cuka buah
  • 30 ml minyak zaitun
  • 100 gram kacang
  • 50 gram bijan goreng
  • 100 gram kepingan badam
  • 1/2 sudu teh serbuk lada putih
  • 1/2 sudu teh serbuk rempah gabungan
  • 2 peket keropok yee sang

Cara Penyediaan:
  • Susun semua bahan dalam pinggan besar.
  • Lobak putih dan merah yang diparut diletakkan di bahagian tengah.
  • Perah jus lemon.
  • Gaulkan kesemua bahan segar dan perasa.
  • Sedia dihidangkan.

Selamat menjamu selera.

BACA INI JUGA: Yee Sang Sebagai Sajian Tahun Baru Cina, Apa Sebenarnya Sajian Imlek Ini?

Sumber: utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon