Sunday, January 08, 2017

Apa itu Disleksia? Adakah Puncanya Disebabkan Kegagalan Ibu Bapa Mengajar Anak?


Disleksia merupakan masalah pembelajaran yang paling biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak di seluruh dunia.

Disleksia

Kira-kira 80 peratus kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran menghidap disleksia.

Penghidap disleksia biasanya berdepan masalah pembelajaran yang melibatkan huruf dan bahasa.

Mereka bagaimanapun boleh memahami dan meniru pergerakan tubuh badan seseorang sebagai salah satu kaedah pembelajaran.

Penyakit disleksia merupakan sejenis gangguan pembelajaran apabila otak penghidapnya tidak dapat mengesan atau mengecam huruf dan perkataan.

Menurut Pusat Masalah Pembelajaran Kebangsaan yang terletak di Manhattan, Amerika Syarikat, disleksia biasanya berpunca daripada masalah neurologi dan bersifat genetik.

Ia berlaku apabila bahagian-bahagian tertentu dalam otak tidak matang atau belum matang dari segi pertumbuhan, seterusnya menyebabkan bahagian yang mengawal fungsi ejaan dan bacaan tidak dapat berfungsi sepenuhnya. Kesannya, terjadilah masalah disleksia.

Secara automatik, otak mereka gagal mengesan huruf dan melihatnya secara terbalik.

Kanak-kanak yang sedar mereka gagal untuk mengecam huruf dan sukar membaca akan berasa sedih, lalu berlakulah perubahan tingkah laku.

Penghidap disleksia bagaimanapun tiada masalah mengikuti kelas-kelas yang bersifat praktikal seperti kelas menari, berlakon, muzik dan seni.

Mereka hanya berdepan kesukaran dalam subjek-subjek yang memerlukan aktiviti menulis, membaca serta menghafal.

Orang ramai sering menganggap disleksia berlaku kerana kegagalan ibu bapa mendidik anak-anak atau kegagalan mereka dalam memberikan arahan yang betul kepada penghidapnya, namun perkara tersebut dinafikan oleh pakar-pakar perubatan yang menjalankan kajian terhadap pesakit disleksia.

Tiada penawar

Disleksia

Kesan penyakit disleksia adalah berbeza antara setiap penghidapnya. Satu-satunya persamaan yang ada pada penghidap penyakit disleksia ialah tahap kebolehan mereka membaca jauh lebih rendah berbanding kanak-kanak seusia.

Menurut Dr. Sally Shaywitz yang merupakan penulis buku Overcoming Dyslexia, ramai penghidap disleksia boleh menjadi individu yang berjaya dalam pelbagai bidang apabila mereka menginjak dewasa.

Penghidap disleksia bukanlah bermaksud mereka kurang pintar, tetapi proses pembelajaran bagi mereka adalah lebih sukar berbanding kanak-kanak normal yang lain.

Mereka boleh membaca dan menulis, cuma ia berlaku jauh lebih perlahan berbanding orang lain.

Disleksia tiada penawar namun penghidapnya boleh dibantu dengan beberapa kaedah pembelajaran yang bersesuaian.

Ibu bapa haruslah sentiasa menggalakkan anak-anak supaya membaca dan berilah kata-kata semangat serta dorongan atas setiap kejayaan yang berjaya dicapai biarpun kecil.

BACA INI JUGA: ‘Abah Nak Saya Dapat 6A?’ Dan Kenapa Aku Jawab 'Tidak' Terhadap Soalan Anak Ini

Sumber: kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon