Sep 11, 2016

‘Abah Nak Saya Dapat 6A?’ Dan Kenapa Aku Jawab 'Tidak' Terhadap Soalan Anak Ini

Semalam, Abah ambil Zulfa dari kelas tambahan terakhir sebelum peperiksaan UPSR. Zulfa bertanya, “Mama mana?” Oh, abah lupa. Biasanya mama yang akan ambil Zulfa.

Abah Nak Saya Dapat 6A

“Mama sibuk masak makan tengah hari. Abah tolong mama ambil Zulfa. Zulfa tak suka ke abah ambil?” sambil memandang wajahnya yang berjalan beriring di sisi.

Dia hanya diam.

“Zulfa tak suka ehh?” Sambil mencucuk-cucuk pinggang merangsang geli.

“Sukalahh..,” dengan lenggok suara beralun. Memukul bahu abah yang mengusik.

Masuk dalam perut kereta. Suasana sunyi semula.

Masing-masing melayan perasaan. Sengaja abah tidak hidupkan radio.

Waktu berdua-duaan begini, ini sajalah peluang untuk bercakap-cakap. Terutama dengan Zulfa.

Anak hampir remaja yang tidak banyak bercakap tentang perasaan lebih-lebih lagi di hadapan adik-adik.

“Zulfa dah bersedia untuk esok kan?” abah menoleh ke kerusi belakang.

Hanya anggukan yang dapat abah lihat.

Berat sungguh mulut.

Apa lagi yang abah mahu tanya. Sepertinya semua sudah sedia dan tiada apa lagi yang perlu dimotivasi.

Bimbang terlampau banyak bertanya mengundang tekanan pula.

Zulfa tiba-tiba bersuara ketika menanti lampu merah di simpang jalan,

“Abah nak Zulfa dapat 6A, eh?”

Tergamam sebentar.

“Zulfa sendiri nak dapat 6A, kan?” Soalan dibalas soalan.

Dia hanya mengangguk. Wajah itu abah tahu.

Wajah yang dulu abah pernah lihat semasa mengambil UPKK tahun lepas. Penuh harapan dan keyakinan.

“Apapun keputusan yang Zulfa dapat nanti, Zulfa kena redha tau. Zulfa dah usaha terbaik. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk Zulfa.”

Abah agak pesimis. Bertahan dari tidak terlampau mengharap mungkin.

“Tak apa abah. Zulfa awal-awal dah redha. Tapi Zulfa tetap akan cuba yang terbaik.”

Dia menyambung lagi,

“Abah redha kalau Zulfa tak dapat 6A?”

Allah, mata jernih yang meminta jawapan itu betul-betul menggetarkan hati. Mengambil beberapa detik sebelum meluah jawapan.

“Zulfa, atas dunia ni, ada masa, apa yang kita mahu tidak sebaik apa yang Allah telah rancang untuk kita.”

“Apapun keputusannya. Abah redha. Abah redha apa saja yang Allah takdirkan selepas Zulfa berusaha.”

Dia tersenyum kembali menyandar di kerusi belakang. Puas barangkali.

Sama ada puas dengan jawapan abah atau puas dapat meluah soalan ‘maut’ itu pada abah.

Zulfa, mana mungkin abah tak redha.

Kehadiran Zulfa dalam hidup abah lebih besar dari 6A yang dikejar itu.

Saat Zulfa abah azankan seiring laungan azan subuh dari Masjid Hasanah Bangi, begitu tumpah airmata yang entah apa perasaan sebenarnya. Bercampur baur.

Abah masih muda dan itu kali pertama menikmati perasaan itu. Yang abah tahu, tanggungjawab hidup sudah semakin besar.

Abah juga bukan sempurna.

Pernah satu masa dalam rantai kehidupan ini, abah terlupa tanggungjawab pada Zulfa.

Jika tidak kerana peristiwa kita hampir ‘diambil nyawa’ oleh parit Kampung Boundry, abah mungkin masih belum sedar.

Ketika bertarung melepaskan diri dalam kereta yang dipenuhi air. Abah sungguh-sungguh berjanji, “Ya Allah, jika kau selamatkan kami. Aku janji tidak akan abaikan keluarga lagi ya Allah. Dan jika ini kafarah dosa aku, kau ambil aku tapi jangan anak dan isteri aku.”

Takdirnya Allah selamatkan kita.

Ya, Allah izinkan kita hidup lagi. Abah, mama, Zulfa dan Iman yang sudah 9 bulan di dalam perut menunggu masa melihat dunia.

Jarum jam berputar dan masa terus laju berlalu. Abah seperti tidak percaya.

Anak kecil yang terselamat 10 tahun dulu sudah bersedia untuk mengharungi UPSR.

Setiap malam Zulfa tidak berhenti belajar. Terus terang, abah sendiri tidak larat menunggu.

Ada masa, abah sampai tertidur di sisi Zulfa. Selesai semuanya, Zulfa yang kejut abah.

Abah tidak membantu langsung, tetapi Zulfa masih tersenyum memandang muka mamai abah.

Apa sahaja keputusan yang zulfa dapat, abah akan terima dengan kegembiraan. Zulfa sudah buktikan Zulfa berusaha sebaik mungkin. Itu sudah cukup besar di hati abah.

Abah tidak perlu tunggu keputusan. Bagi abah, abah sudah dapat ‘6A’ yang abah mahu.

“Betul tak Zulfa?” menoleh ke kerusi belakang.

Oh, baru abah sedar, tadi itu cuma mainan perasaan. Zulfa sudah lama lena dibuai mimpi kepenatan.

Rehatlah anak. Anak kripton abah, abah redha dengan kamu.

BACA INI JUGA:

Sumber: Thevocket

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

1 comments so far

Terbaik..sebaik2nya begitu agar anak tak tertekan..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon