Oct 19, 2016

Kate McWilliams, Juruterbang Wanita Paling Muda Di Dunia!

Susuk tubuhnya kecil sahaja manakala rambut perangnya yang panjang itu dikemaskan dengan ikatan ekor kuda yang kemas.

Kate McWilliams

Siapa sangka, gadis manis itu sebenarnya merupakan juruterbang wanita berpangkat kapten yang termuda di dunia.

Pada usia 26 tahun, Kate McWilliams, gadis yang bekerja untuk syarikat penerbangan Easyjet di Britain itu mencipta rekod apabila menjadi kapten wanita termuda dunia, menerbangkan beratus-ratus penumpang dari London ke Malta, bermula September 2016.

Lebih menarik lagi, pembantu juruterbang Kate McWilliams merupakan seorang remaja berusia 19 tahun iaitu Luke Elsworth, yang juga merupakan salah seorang pembantu juruterbang termuda di negara itu.

McWilliams berjaya dengan cemerlang dalam satu kursus yang melayakkannya bergelar seorang kapten.

Kate McWilliams juga memberitahu akhbar tempatan Britain, The Independent, bahawa dia sering diajukan soalan tentang umurnya daripada ramai orang.

“Sesiapa sahaja yang melihat saya dan tahu bahawa saya merupakan seorang juruterbang pasti akan bertanyakan umur saya.

“Mereka amat terkejut apabila diberitahu bahawa saya hanya berusia 26 tahun,” ujar Kate.

Cita-cita

Gadis itu memberitahu, dia mula menyertai kadet udara semenjak berusia 13 tahun.

“Saya mula-mula berminat untuk menerbangkan pesawat selepas menghadiri satu pameran dan pertunjukan kapal terbang pada usia empat tahun.

Pada usia 19 tahun pula, gadis itu menyertai latihan CTC Aviation iaitu latihan penerbangan khusus dan dua tahun kemudian dia mula bekerja sebagai seorang pembantu juruterbang di Easyjet.

“Sejujurnya, saya tidak pernah menyangka sama sekali bahawa saya akan bekerja dalam bidang penerbangan komersial.

"Hal ini kerana saya langsung tidak mempunyai kenalan dalam bidang ini yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan sumber inspirasi buat saya,” ujarnya.

McWilliams telah melepasi pelbagai proses latihan yang melayakkannya untuk bergelar kapten bertauliah pada usia yang cukup muda.

"Kini dia berjaya membuktikan bahawa usia itu hanyalah angka yang tidak membawa apa-apa makna.

Berkebolehan

Kate McWilliams

“Saya amat berbangga kerana saya berjaya membuktikan kebolehan saya dalam menerbangkan pesawat komersial yang lazimnya dikaitkan sebagai industri yang dinominasi oleh kaum lelaki,” sambung Kate lagi.

Kate merupakan antara lima peratus juruterbang wanita di dunia dan buat masa ini, dia menerbangkan pesawat jenis Airbus A319 dan Airbus A320 ke 100 destinasi sekitar Eropah.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Persatuan Juruterbang Wanita Dunia, terdapat 130,000 orang juruterbang di seluruh dunia dan daripada bilangan tersebut, hanya 450 orang daripadanya adalah juruterbang wanita.

Kate McWilliams telah berjaya membuatkan lebih ramai lagi wanita di luar sana mahu menceburi dunia penerbangan sebagai seorang juruterbang.

Julie Westhorp yang merupakan jurucakap persatuan itu berkata, pencapaian Kate McWilliams adalah sesuatu yang amat membanggakan dan sewajarnya dijadikan sebagai inspirasi kepada wanita-wanita lain di luar sana.

“Ia menunjukkan bahawa wanita juga berani dan berkebolehan untuk menerbangkan pesawat dan mampu mencipta kejayaan dalam bidang penerbangan,” ujar Westhorp.

BACA INI JUGA: Kisah Sedih Angkasawan Pertama Yang Terkorban Dalam Misi Ke Bulan

Sumber: Kosmo

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

2 comments

Muda2 dah berjaya.. hebat betul awek nie

Muda lagi dah boleh keliling satu dunia kan..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon