Oct 10, 2016

'Ingat, Nama Saya Iqbal Masih!', Kisah Benar 'Hamba Abdi' Moden!

Assalaamualaikum. Nama saya Iqbal Masih. Lahir pada tahun 1983 di Muridke, sebuah kawasan di Punjab, Pakistan.

Iqbal Masih

Saya lahir dalam komuniti masyarakat miskin. Keluarga saya sangat miskin. Daif.

Semasa saya masih kecil, bapa menghilangkan diri, meninggalkan ibu untuk membesarkan kami.

Golongan miskin seperti kami selalu ditindas. Kami terpaksa berhutang dengan orang-orang kaya untuk keperluan hidup. Dan hutang-hutang itu tidak pernah habis, sebaliknya bunga kian bertambah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, apa anak-anak anda lakukan semasa mereka berusia empat tahun?

Mungkin mereka riang berlari dan bermain. Diberi makanan yang lazat dan pakaian cantik. Tapi, nasib saya berbeza.

Semasa berusia empat tahun, saya telah 'dijual' kepada saudagar permaidani. Ibu terpaksa berhutang untuk membayar kos perubatan dan melangsungkan majlis perkahwinan abang.

Ditempat saya, tauke permaidani diibaratkan orang mewah dan berkasta tinggi. Orang-orang miskin dan susah seperti kami tiada tempat hendak meminta pertolongan.

Kepada pemilik kilang permaidani inilah orang-orang tua kami akan datang merayu meminjam wang.

Ibu saya berhutang sebanyak 600 rupee yang jika ditukarkan kepada nilai ringgit Malaysia, tak sampai pun RM25. Harga sehelai baju anak tuan-tuan dan puan-puan pun tentu lebih mahal dari itu kan?

Ibu tak mampu hendak membayar hutang itu. Jadi, saya terpaksa 'dicagarkan' kepada tauke permaidani.

Ketika berusia empat tahun, saya dikerah bekerja. Pada usia ini anak-anak anda sedang leka menconteng kertas dengan pensel, saya pula dipaksa memegang alat penenun kain.

Pada usia empat tahun, saya bangun awal pagi sebelum subuh menjelma dan berjalan di dalam gelap gelita menuju ke kilang permaidani.

Disitu, saya dan ramai lagi kanak-kanak lain akan dirantai kaki untuk mengelakkan kami daripada melarikan diri.

Saya dipaksa bekerja selama 14 jam sehari dengan rehat lebih kurang setengah jam dan jika lambat membuat kerja, kami akan dimarah dan dipukul.

Kami hanya diberi makanan yang sangat sedikit serta dipaksa bekerja dalam keadaan lapar.

Disebabkan kekurangan zat dan nutrisi, tubuh saya kurus kering, terbantut, tidak membesar dengan ketinggian yang sepatutnya.

Setiap hari bekerja, saya dibayar upah sebanyak tiga sen. Wang tidak sampai ke tangan saya sebaliknya digunakan untuk memotong hutang keluarga.

Namun, walaupun penat bekerja, hutang keluarga tidak pernah berkurang, sebaliknya kian bertambah.

Setiap kesalahan yang saya lakukan atau terambil makanan lebih, semuanya akan dikira dan ditambah semula ke dalam jumlah hutang yang ada.

Walau mandi darah sekalipun, kami tidak akan pernah mampu melunaskan hutang-hutang itu angkara kelicikan golongan lintah darat saudagar permaidani.

Sewaktu berusia 10 tahun, saya dapat tahu bahawa buruh paksa adalah sesuatu yang telah diharamkan oleh mahkamah agung Pakistan.

Ketika itu saya nekad mahu melarikan diri. Saya mahu bebas dari 'neraka' ini.

Bersama beberapa orang rakan senasib, suatu hari kami berjaya meloloskan diri. Saya tidak tahu ke mana arah tuju. Sebab itu saya pergi ke balai polis.

Kepada seorang pegawai, saya ceritakan bagaimana kami dipaksa bekerja, diseksa dan dibiarkan kelaparan.

Buruh kanak-kanak
Buruh kanak-kanak.

Saya sangka dengan mengadu kepada polis, akan ada keadilan untuk kanak-kanak seperti kami. Sangkaan saya meleset.

Sebaliknya, pegawai polis itu membawa kami pulang semula ke kilang permaidani itu. Rupa-rupanya pengamal undang-undang kami juga sudah digelapkan mata kerana wang.

Mereka mendapat bayaran tinggi jika membawa kami kembali kepada majikan dan akibatnya, kami diseksa lebih teruk. Kami dipaksa bekerja tanpa rehat dan hanya diberi makan sekali sehari.

Pun begitu, saya tidak takut dan tetap menyimpan hasrat untuk melarikan diri sehingga akhirnya hajat saya termakbul. Sekali lagi saya berjaya menyelinap keluar.

Kali ini saya bernasib baik apabila mendapat bantuan dari BLLF (Bonded Labor Liberation Front of Pakistan), sebuah organisasi yang terlibat dalam usaha membebaskan buruh paksa kanak-kanak.

Organisasi ini mempunyai sekolah dan untuk pertama kali di sini, saya memegang pen dan menulis. Alangkah terujanya saya pada ketika itu.

Saya belajar bersungguh-sungguh. Pembelajaran yang sepatutnya berlangsung selama empat tahun berjaya saya tamatkan dalam tempoh hanya dua tahun.

Saya bercita-cita mahu menjadi peguam. Saya mahu membebas dan memperjuangkan nasib buruh kanak-kanak diseluruh dunia.

Saya terlibat dengan banyak kempen yang dijalankan BLLF. Saya mahu memberi kesedaran kepada dunia bahawa menjadikan kanak-kanak sebagai buruh paksa adalah perkara yang salah.

Walaupun saya berusia 12 tahun, tapi tubuh saya kecil. Tinggi hanya empat kaki dan berat sekitar 20 kilogram.

Tumbesaran saya terbantut kesan penderitaan dan seksaan yang saya alami sebagai buruh kanak-kanak sejak berusia empat tahun.

Tapi, jiwa saya besar. Saya mahu berjuang demi keadilan untuk kanak-kanak yang menerima nasib seperti saya.

Saya pergi ke merata tempat. Saya lantang mengutuk tindakan golongan kaya yang menjadikan kanak-kanak sebagai buruh paksa.

Selain saya, ada lebih tujuh juta kanak-kanak dibawah usia 10 tahun yang dijadikan hamba di Pakistan dan berjuta-juta lagi dijadikan buruh paksa di seluruh dunia.

Saya berusaha membebaskan mereka. Sekurang-kurangnya usaha saya baru menjangkau dua tahun namun sudah berjaya membebaskan tiga ribu kanak-kanak buruh paksa Pakistan, tapi bagaimana dengan yang berjuta-juta lagi?

Usaha saya tidak disenangi ramai. Yang paling marah adalah golongan kaya saudagar permaidani.

Ketika itu, industri permaidani Pakistan turun mendadak disebabkan kisah penghambaan kanak-kanak yang dipaksa menjadi buruh paksa.

Iqbal Masih
Tugu arca peringatan Iqbal Masih.

Mereka benci melihat usaha saya. Suara saya telah menjejaskan perniagaan mereka.

Semakin mereka mengancam saya, lebih berani saya ke depan untuk bersuara. Bukan hanya di Pakistan, saya lantang mengutuk penghambaan kanak-kanak sehingga ke luar negara.

Saya tidak takut!

Disember 1994, saya berkunjung ke Massachusetts, Amerika Syarikat, dan saya memberika ucapan di hadapan murid-murid gred 7 di Sekolah Menengah Broad Meadows.

Saya beritahu mereka, saya mahu menjadi seperti Abraham Lincoln, presiden Amerika Syarikat ke 16 yang berjuang menentang perhambaan.

Saya ceritakan peritnya pengalaman menjadi hamba kanak-kanak. Saya mahu berjuang untuk hak kebebasan kanak-kanak di dunia ini.

Kemudian, saya pulang semula ke Pakistan. Saya terima ugutan bunuh, namun saya tidak peduli. Itu bukan kali pertama saya diugut.

Empat bulan kemudian, pada 16 April 1995, sewaktu sedang mengayuh basikal untuk pulang ke rumah, BAMMM! Terdengar bunyi tembakan.

Saya ditembak dari arah belakang!

Disitu juga saya menghembuskan nafas terakhir, kembali ke pangkuan yang Maha Esa.

Seorang petani disabitkan bersalah kerana menembak saya walaupun tiada bukti kukuh.

Ramai mengatakan kematian saya ada kaitannya dengan golongan saudagar permaidani yang sememangnya berdendam dengan saya.

Dan nampaknya usia saya tidak panjang. Sama seperti Abraham Lincoln yang turut dibunuh kerana usahanya.

Tapi saya gembira. Walaupun usaha saya hanya setahun jagung, namun selepas pemergian saya, lebih banyak usaha lain dipergiatkan untuk membebaskan kanak-kanak yang dijadikan buruh paksa.

Kematian saya tidak sia-sia..

INFO

Kecekalan Iqbal mencetuskan inspirasi untuk penubuhan pelbagai organisasi pembelan kanak-kanak., antaranya, seperti Pertubuhan Free The Children di Kanada.

Juga Pertubuhan Iqbal Maih Shaheed Children Foundation yang telah berjaya membuka 20 buah sekolah untuk buruh kanak-kanak di Pakistan.

Pelajar sekolah Broad Meadows di mana Iqbal pernah memberi ucapan telah membuat kutipan amal selepas kematian Iqbal untuk membina sebuah sekolah di Kasur, Pakistan.

Pada tahun 1994, Iqbal mendapat anugerah Reebook Youth in Action Award atas perjuangannya.

Sebagai menghargai jasa Iqbal, pada tahun 1996, Sepanyol dan Amerika Selatan mewartakan tarikh 16 April sebagai hari menentang perhambaan kanak-kanak sedunia (International Day Against Child Slavery).

Pada tahun 1998, sebuah institusi pendidikan di Triesta, Itali dan dinamakan Instituto Comprensivo Iqbal Masih, sempena nama Iqbal.

Pada tahun 2000, walaupun telah tiada di dunia, Iqbal mendapat anugerah World Children's Prize For The Rights Of The Child, atas perjuangannya untuk golongan kanak-kanak.

Tidur lena

Kini, saya tidak dapat lagi melaungkan suara saya. Hanya gambar saya berbaju putih dengan sedikit senyuman, itu yang tinggal buat tatapan.

Tuan-tuan dan puan-puan. Kini saya tidur lena. Tidur yang panjang. Dan tidak akan bangkit semula.

Jika menatap gambar saya, ingatlah.. nama saya Iqbal Masih!

BACA INI JUGA: Misteri Surat Penyelamat Seksaan 25 Tahun

Sumber: Sentiasapanas.com

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

1 comments so far

Cerita penipu!! 4 thn kene keje.? come on la wei...!!

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon