Sep 9, 2016

Kisah Eduard Muravitsky, Peninju Ortodoks Belarus Yang Masuk Islam

Rekod Eduard Muravitsky ialah Peninju Pro MMA. Umurnya masih muda, dalam lingkungan 20an dan dianggap peninju kebanggaan Belarus pada masa kini.

Eduard Muravitsky (Rasul Muravitsky)

Eduard Muravitsky merupakan seorang peninju professional MMA (Mix Martial Art) terkenal di Belarus, sebuah negara yang berjiran dengan Rusia di sebelah timur.

Beliau juga merupakan juara beberapa perlawanan Juara Dunia dan Juara Antara Eropah (European Championship).

Dua tahun lepas, Muravitsky telah menggemparkan negaranya apabila mengambil keputusan untuk memeluk Islam.

Mengikut portal berita Belarus, Nasha Niva yang menyiarkan kisah pengIslaman tergempar peninju muda kesayangan rakyat Belarus tersebut, Eduard telah melafazkan dua kalimah syahadah di sebuah pusat Islam di Baranavichy.

Beliau mengambil keputusan mengambil nama baru Islamnya, Rasul sempena nama baginda Rasulullah SAW.

Berikut adalah wawancara portal tersebut dengan Rasul Muravitsky.

NashaNiva (NN): Boleh ceritakan sedikit sebanyak mengenai diri anda?

Rasul Muravitsky (RM): Umur saya baru 23 tahun. Saya warga Belarusian, dilahir dan dibesarkan di kota Baranavichy. Seawal umur 9 tahun lagi sudah didedahkan kepada latihan bertinju oleh pakcik saya.

Kemudian saya terus maju dengan mendalami teknik-teknik berlawan yang lain. Pendek kata hidup saya didedikasikan untuk bertarung sahaja.

Agama sudah tiada keperluan lagi di dalam hidup saya melainkan metafora semata-mata. Akhirnya pada umur 17 sudah pun berjaya diterima menyertai pertarungan Profesional.

Kemudian saya dikerahkan untuk memasuki angkatan tentera di mana bakat bertarung saya berjaya diserapkan ke dalam unit Latihan Khas Belarus (Special Forces).

Setelah tamat kontrak dengan pasukan tentera, saya kembali semula kepada pertarungan tinju. Saya kemudiannya berkahwin. Banyaknya tempat saya bertarung dan banyak kemenangan yang diperolehi membuatkan nama saya menjadi sangat terkenal.

Yang paling membuatkan saya gembira adalah satu acara pertarungan tinju yang diaturkan oleh pegawai kementerian Rusia, di mana Presiden Putin dan Perdana Menteri Rusia, D Medvedev menjadi penonton utama dalam perlawanan tersebut. Ianya sangat sentimental.

NN: Apakah agama kedua ibu bapa anda?

RM: Saya dilahirkan di dalam keluarga Kristian Ortodoks. Nenek saya rajin membawa saya pergi sembahyang di gereja.

Bagaimanapun jiwa saya yang masih muda dan kuat memberontak ini menimbulkan banyak persoalan dalam diri saya. Semasa di dalam gereja saya memerhatikan berdozen orang di dalam gereja itu yang dianggap suci dan mulia.

Aktiviti serupa turut dilakukan di dalam mana-mana gereja. Kita tak tahu adakah mereka itu benar-benar baik, atau tidak pernah membunuh sesiapa sebelum ini, atau mungkin seorang pencuri di luar itu?

Datang ke gereja untuk sekadar mencuci dosa sahaja. Tetapi di luar kembali kepada sifat jahat kita tak tahu?

Saya berasa sangat sedih. Seolah-olah tiada makna untuk menjadi seorang beragama. Akhirnya saya mengambil keputusan mengabaikan agama, tetapi tidak pernah berhenti untuk mempercayainya.

NN: Dan kemudian bagaimana anda kembali kepada Islam?

RM: Ada satu kisah menarik mengenai perkara ini. Pada satu hari saya pergi ke bandar Moscow atas jemputan seorang rakan untuk bertarung tinju bawah tanah.

Di sana terdapat banyak kelab sukan amatur yang menawarkan perlawanan tinju dengan ganjaran yang sangat tinggi. Semuanya diaturkan dengan bagus sekali.

Penginapan percuma, makanan disediakan yang sangat sedap, dan paling menarik hadiah juara satu pertarungan adalah USD400. Satu nilai yang sangat lumayan di Timur Eropah ini.

Semasa di sana, saya melihat ramai rakan peninju yang merupakan bekas anggota tentera Rusia dari selatan negara itu, yang rata-rata beragama Islam.

Sikap mereka sangatlah berbeza dengan peninju Rusia yang lain ataupun dari negara jiran. Peninju Muslim tersebut sangat kuat hubungan sesama mereka dan saling menjaga antara satu sama lain.

Mereka sanggup membantu rakan-rakan mereka sedaya upaya mereka. Ini adalah konsep persaudaraan yang sangat kurang diamalkan oleh atlet-atlet bangsa Slavic macam saya ni. Saya kagum dengan mereka.

Kemudian saya pun mendekati para peninju Muslim Rusia tersebut. Saya ikuti kumpulan mereka dan berlatih bersama-sama.

Saya sempat juga melihat aktiviti keagamaan mereka, di mana mereka rajin solat secara berjemaah. Cara mereka berbahasa pun sopan, tidak sesekali mencarut dan bercakap kasar, tidak minum alkohol dan yang paling penting tidak terjerumus ke dalam aktiviti penagihan dadah.

Kerana apa? Kerana itu semua diharamkan oleh agama mereka Islam! Ini membuatkan saya banyak berfikir selama berhari-hari. Pergaulan ini benar-benar memberikan kesan impak mendalam kepada saya kemudiannya.

Saya memberanikan diri bertanyakan apakah pengertian aktiviti yang mereka buat iaitu semasa bersolat itu. Mereka gembira menerangkan dengan cermat mengenai solat.

Mengajar saya mengenai Rasulullah SAW. Dan kemudian mengajar saya beberapa ayat Al-Quran. Proses ini mengambil masa berbulan-bulan dan saya semakin teruja mendapat maklumat baru setiap hari mengenai Islam.

Proses kerohanian yang sangat ditekankan oleh agama ini sangat berbeza dengan konsep ketuhanan dalam Ortodoks yang diajar kepada saya selama ini. Saya menyedari bahawa Kepercayaan itu masih wujud dan sudah saya temui sekarang ini – iaitu Islam.

Kemudian berlaku masalah di dalam kelab tinju kami. Kewangan kelab bermasalah akibat salah urus wang kelab. Akibat tidak mampu lagi membayar gaji dan latihan kami, akhirnya kelab itu pun bungkus dan terpaksa ditutup.

Maka mahu tidak mahu saya terpaksa kembali pulang ke Baranavichy. Ini memang sangat menyedihkan akan tetapi saya reda sahaja.

Di dalam perjalanan pulang saya berfikir dengan mendalam dan apabila sampai saja di kampung, saya telah pun menetapkan hati untuk memeluk agama Islam. Saya bergegas berjumpa dengan seorang Muslim Belarus di sana dan beliau membantu proses pengIslaman saya kemudiannya.

NN: Apakah yang mengubah hidup anda selepas memeluk Islam?

RM: Banyak. Antaranya mendapat ramai sahabat baru beragama Islam. Tetapi yang paling penting, saya rasa Islam memberikan saya perasaan Kepercayaan kepada Tuhan yang Esa melebihi daripada apa yang diamalkan oleh penganut Ortodoks.

Saya berikan contoh, ramai Ortodoks mempercayai Tuhan dan ajaran-Nya. Tetapi berapa ramai pula penganut Ortodoks yang menyembah-Nya setiap hari?

Mereka hanya datang ke gereja pun sekali sekala sahaja, itu pun sekadar mahu mengucapkan terima kasih kesyukuran ataupun apabila mereka ada masalah dan mahu meminta sesuatu daripada Tuhan. Ini adalah satu konsep yang sangat salah sama sekali.

Kepercayaan pada Tuhan akhirnya menjadi lubuk untuk mengaut keuntungan. Ia menjadi satu bisnes. Berapa banyak gereja seluruh dunia ni kaya raya dengan kutipan wang derma daripada ahli-ahli mereka?

Terdapat kes Paderi yang juga adalah seorang jutawan yang mengawal tabung amanah yang sangat lumayan hasil kutipan derma masyarakat ini.

Seseorang yang ingin mencuci dosa pun senang sahaja – hanya perlu menderma kepada gereja dan anda sudah bertukar menjadi manusia suci bersih!

Perkara ini benar-benar membuatkan saya sangat marah! Dalam Islam tiada hal sebegini rupa. Jika anda mahu mengetahui apa saja mengenai Tuhan, datang saja ke masjid dan boleh bertanyakan apa saja mengenai keTuhanan secara percuma.

Tiada siapa akan meminta bayaran daripada anda. Memang terdapat juga kutipan yang dilakukan di dalam masjid, akan tetapi segala hasil direkodkan oleh Imam dan dibentangkan di hadapan jemaah.

Berapa nilai dikutip dan di mana ia dibelanjakan dan berapa banyak sedekah semula pada jemaah yang daif memerlukan pun semua direkodkan dan dihebahkan umum.

Anda dapat lihat betapa cermatnya wang derma itu dibelanjakan. Ini benar-benar memberikan inspirasi kepada ummah Islam.

Dan lagi satu, saya perasan semakin ramai warga etnik Belarus sekarang ini mudah menerima hidayah dan menjadi Muslim.

Tentulah masing-masing mempunyai motif sendiri, tetapi apa yang saya dapati terdapat satu faktor utama yang menyebabkan penduduk Belarus kembali kepada syahadah – mereka semua memerlukan satu sistem sokongan, baik daripada faktor spiritual mahupun fizikal. Satu kesatuan ummah tanpa mengira bangsa, etnik dan negara.

Dan itulah apa yang Islam mampu berikan. Tiada agama lain yang mampu menyalurkan solidariti kesatuan seperti agama Islam ini.

Sebagai contoh lain di Belarus kelazimannya apabila seseorang bertembung satu sama lain di jalanan, masing-masing akan buat tak endah sahaja.

Seperti tiada apa-apa dorongan untuk bertanya khabar antara satu sama lain. Seolah-olah wujud suasana keterasingan saja.

Masing-masing akan laju melangkah pergi. Tiada komunikasi yang berlaku di situ.

Sebaliknya jika anda seorang muslim, jika anda menegur seorang muslim yang lain dan mereka menyambutnya dengan tangan terbuka. Daripada keterasingan yang saling tidak kenal boleh bertukar menjadi kawan semudah itu. Inilah indahnya Islam.

Saya percaya dengan konsep ukhuwah dalam Islam ini yang terbaik. Daripada mengasingkan diri antara satu sama lain, kita perlu bersatu, perlu merapati dan saling mengenali antara satu sama lain.

Membentuk komuniti yang kuat persaudaraannya. Ini akan memberi banyak faedah kepada negara sebenarnya.

NN: Bagaimana pula pandangan sahabat rakan saudara terhadap pilihan anda memeluk Islam itu?

RM: Yang paling penting mak saya kata, ”Buatlah apa yang terbaik untuk diri kamu”. Saya anggap itu sebagai satu keberkatan.

Nenek pula banyak merungut tetapi menerima keputusan saya dengan tangan terbuka. Isteri saya masih belum membuat keputusan lagi untuk memeluk Islam, tetapi kini tidak lagi memakan masakan kegemaran dia dahulu, iaitu sup daging babi.

Walaupun begitu, saya ambil masa yang lama, iaitu 6 bulan selepas memeluk Islam baru saya hebahkan kepada mereka.

Sebelum itu saya banyak buat perubahan diri, tidak lagi minum alkohol, tidak lagi bergaduh tepi jalan, kerap berada di rumah dan rajin membaca Al-Quran.

Mereka akhirnya menerima perubahan saya ini dengan terbuka hati, tanpa merasa terkejut apabila melihat banyak perubahan pada diri saya berbanding sebelum ini.

Kawan-kawan pula sangat terkejut dengan pilihan saya ini. Tetapi apabila melihat perubahan positif diri saya, ramai pula yang berminat untuk mendalami mengenai agama Islam ni. Ramai yang bertanya mengenai kepercayaan baru saya ini. Saya rasa sangat teruja.

Tetapi masih ramai juga yang memerli saya, dengan kata seperti begini, ”Eh, kau lepak dengan pengganas (terrorist) ke?” merujuk saya Muslim sebagai terroris.

Saya tak marah langsung malah tergelak melihat gaya mereka ini. Lawak betul. Ada pula saya dikatakan pengganas. Namun saya kemudian menerangkan pada mereka mengenai Islam sebenarnya.

Saya katakan semula pada mereka, "Umat Islam sudah hidup di Belarus semenjak beratus-ratus tahun dahulu, (maka) berapa banyak letupan bom yang berlaku sini?”.

Mereka pun tergelak sama dan menerima bahawa Islam itu bukanlah pengganas sebagaimana dipersepsikan oleh media Barat.

NN: Bagaimana pula dengan anak-anak anda?

RM: Saya sedang mendidik mereka di dalam aturan tatacara kehidupan seorang Muslim sekarang ini. Terpulang kepada mereka sama ada untuk memeluk Islam atau tidak.

Beredarnya masa kelak, mereka akan semakin memahami Islam ini dan mudah-mudahan akan gerakkan hati mereka memeluk agama fantastik ini.

Saya tidak akan sesekali memaksa anak perempuan dan lelaki saya memeluk Islam. Saya akan biarkan mereka membuat keputusan sendiri.

NN: Selepas memeluk Islam, adakah semangat kenegaraan Belarus anda semakin luntur?

RM: Saya menukar kepada agama baru, bukan menukar negara saya. Saya tiada masalah bersolat di mana-mana, asalkan tempat itu bersih daripada kotoran seperti darah dan sebagainya.

NN: Adakah kepercayaan baru anda ini memberi inspirasi kepada anda di dalam gelanggang?

RM: Sudah tentu! Selepas bersolat saja, saya berasa sangat tenang. Ia membentuk keperibadian saya. Memberikan kekuatan kerohanian dan spiritual.

Menariknya, kuasa fokus saya sekarang ini semakin meningkat selepas memeluk Islam. Saya sekarang ini menjadi peninju Muslim Eropah Timur yang terkenal sekarang ini.

Lihat, setakat ini tiada langsung peninju Muslim Rusia yang datang dari wilayah Islam, Dagestani, Ingush, Azeri, Chechen. Tiada.

Saya satu-satunya peninju Muslim paling dikenali dunia datang dari Eropah Timur. Saya rasa ini semua anugerah daripada Allah Swt.

Seperkara lagi, selepas menganut Islam, saya berjaya menubuhkan sebuah asrama sekolah latihan tinju MMA di Baranavichy. Separuh daripada pelajar saya datang dari selatan Rusia, wilayah Muslim.

Tetapi jangan risau. Saya tidak sesekali memaksa pelajar saya memeluk agama Islam. Yang saya haramkan adalah penggunaan bahasa kasar, mencarut, buli dan bergaduh sesama sendiri.

Itu haram sama sekali dalam Islam. Inilah yang saya akan tekankan dalam jati diri para pelajar saya ini.

Nota editor: Artikel ini diterjemah oleh Amzarul Yuzrin Mohd Yusof.

BACA INI JUGA:

Sumber: Ismaweb | Sentiasapanas

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon