Aug 9, 2016

Sindiran Lin Dan Untuk Lee Chong Wei

Lee Chong Wei yang menjadi sandaran pingat emas Olimpik negara, tidak terganggu dengan perang psikologi seteru utamanya, Lin Dan atau pemain badminton lain dari China, dalam usahanya memburu emas Sukan Olimpik Rio sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada sukan badminton.

Lee Chong Wei

Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock berkata Chong Wei tidak kisah dengan permainan minda oleh Lin Dan yang berkata dia akan turut mengambil bahagian sekiranya Chong Wei beraksi dalam Olimpik Tokyo 2020.

“Permainan minda seperti ini tidak akan menjejaskan Chong Wei disebabkan beliau sudah sekian lama menceburi sukan ini dan sangat arif dengan gaya serta taktik pemain China ketika tekanan semakin meningkat sebelum acara badminton bermula,” katanya.

Beliau yakin Chong Wei kini bukan lagi pemain seperti dahulu susulan hukuman penggantungan lapan bulan terhadapnya tahun lepas berikutan isu doping dan telah mengharung begitu banyak cabaran untuk berada pada kedudukannya sekarang.

Selepas bertahun-tahun melatih pemain nombor satu dunia itu sejak 2002, beliau percaya Chong Wei boleh menangani tekanan dan tuntutan dalam penampilan keempatnya, sekalipun tidak memenangi pingat emas yang sangat didambakan itu.

“Semangat beliau tinggi dan tahap keyakinan juga baik. Rahsianya adalah bagaimana menangani tekanan pada hari perlawanan. Ia detik penentuan dalam memastikan siapa yang dapat membawa pulang emas,” katanya.

Chong Wei berkemungkinan menentang Lin Dan dalam saingan separuh akhir dan berkemungkinan berdepan Chen Long di peringkat akhir. Beliau kalah dua kali kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir Olimpik Beijing 2008 dan Olimpik London 2012.

Bagaimanapun, Seu Bock berkata tiada senjata rahsia Chong Wei kali ini oleh kerana kesemua pemain yang layak ke Olimpik sudah maklum benar dengan corak permainan masing-masing disebabkan mereka sama-sama beraksi dalam banyak kejohanan selama bertahun-tahun.

Berdasarkan pemerhatian terhadap anak didiknya itu, beliau berkata Chong Wei kini lebih bersedia berbanding cabaran Olimpiknya sebelum ini dan semakin matang untuk menghadapi cabaran itu.

Mengenai persediaannya di sini, jurulatih itu berkata kedatangan awal pemain badminton ke Rio memberi banyak kebaikan kerana mereka dapat menyesuaikan diri dengan cuaca dan venue kejohanan.

Chong Wei akan memulakan saingan dalam Kumpulan A pada Khamis dengan menentang Soren Opti dari Surinam dan Derek Wong dari Singapura pada Ahad.

BACA INI JUGA: Kontroversi Penyalahgunaan Dadah Dalam Sukan

Sumber: BERNAMA

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon