Monday, August 01, 2016

Kebangkitan Fin, Pembunuhan Secara Terbuka Di Tempat Awam!


Fin atau pembunuh upahan yang makin mengganas sekarang bukan fenomena baharu. Cuma kebangkitan siri pembunuhan yang dilakukan Fin jadi makin menakutkan kerana corak pembunuhan secara terbuka di tempat awam.

Fin - Pembunuh Upahan
Gambar hiasan.

Teknik paling brutal ialah membunuh mangsa di jalan raya: Samada ketika kenderaan berhenti di lampu trafik atau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Fin melakukan pembunuhan kejam dengan tembakan bertubi-tubi bagi melaksanakan dua misi.

Satu: Membunuh!

Kedua: Menyampaikan isyarat kepada geng pesaing untuk tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan mangsa.

Biasanya ia berkaitan perebutan perniagaan sesama penjenayah!

Fin hanya istilah. Dipinjam dari kata Latin yang bermaksud final – yakni akhir. Fin mencetuskan slanga baharu untuk Assasin.

Fin sebenarnya boleh wujud lebih awal dalam sejarah jenayah terancang di negara ini. Namun, sedekad lampau, sukar mendapatkan senjata utama pembunuhan: Pistol!

Lambakan pistol ke negara ini menyusup masuk melalui dua cara. Pertama: Penyeludupan konvensional melalui rentas sempadan.

Senjata api barang murah dan mudah diperolehi melalui jalan darat di Selatan Thailand. Bagi pakej senjata lebih canggih, ia boleh diseludup melalui jalan laut dari Mindanao di Selatan Filipina ke Sabah.

Namun jangan lupa, pergerakan masuk ribuan kargo di pelabuhan adalah penyumbang utama bagi kes penyeludupan berskala besar.

Pistol canggih boleh dibawa masuk melalui Hong Kong dan China, berikutan industri senjata api yang berkembang pesat di sana. Kesan limpahan industri itu menyebabkan ia turut melimpah ke pasaran gelap.

Apa yang berlaku sekarang jauh lebih komplikated berbanding 10 ke 15 tahun lalu.

Penulis pernah menjalankan misi merakam urusan pembelian senjata api di Danok, Thailand pada 2003. Dengan berbekalkan spy cam yang diubah suai dengan kamera kecil yang diperolehi di Pasar Pudu, misi wartawan Edisi Siasat bermula di Bukit Kayu Hitam. Ia pintu utama Malaysia-Thailand di sempadan Kedah.

Penulis menyamar sebagai orang awam yang ingin berhibur di Danok. Penulis didekati dua lelaki tempatan yang menawarkan khidmat japper; penunggang motorsikal yang membawa masuk rakyat tempatan yang tidak memiliki paspot ke Danok. Upahnya RM50 untuk keluar dan masuk.

Lima minit urusan selesai. Dua remaja tempatan memboncengkan penulis dan rakan wartawan masuk ke Danok dan melalui pos keselamatan Malaysia-Thailand dengan hanya senyuman dan mengangkat tangan.

“Nanti ada budak Siam tunggu. Dia tau di mana nak beli pistol!” Kata japper.

Sekelip mata muncul pemuda Thai berketurunan Melayu: “Masuk bar dulu. Ambil perempuan. Nanti orang syak kalau terus jumpa samseng sini!”

Kami masuk ke bar. Diletakkan dalam bilik karaoke mewah dengan barisan pelacur yang ramai. Penulis terpaksa berhati-hati kerana rekoder ketara tersembunyi di balik jaket jeans. Dalam heboh muzik rambong – muncul lelaki Siam bertubuh kecil dengan tatu berseragah di bahu hingga ke lengan.

“Kami ada model semi auto buatan China,” katanya dalam bahasa Siam.

Penterjemah menjawab bagi pihak penulis: “Berapa?”

“Nanti saya bawa tiga jenis. Awak pilih. Jumpa sini 10.00 malam. Harga dalam RM2 ribu,” jawabnya.

Kamera berjalan. Spot rakaman sudah diperolehi. Audio dan visual diharapkan jelas dan terang kerana kedudukan kamera kecil di bahagian butang jaket jeans sukar diramal ke mana halanya.

Penulis keluar dan mencari sebilah pisau Ramboo serta alat madat syabu. Barangan yang dilarang keras dibawa masuk ke Malaysia.

“Abang tambah RM100, saya bawa keluar sekarang dan ambil di Bukit Kayu Hitam esok pagi, ” kata japper.

Penulis keluar sebelum malam; di luar sempadan japper menunggu dengan sebilah pisau Ramboo 10 inci dan alat madat.

“Ni ada pistol tiruan. Tapi sebiji macam pistol Baretta ori,” kata japper: “Tambah RM200, ambillah!

Begitulah mudahnya mendapatkan senjata berbahaya 10 tahun lalu. Penulis membatalkan niat membeli pistol semi auto buatan China. Matlamat sebenar hanya mahu merakamkan modus operandi urus niaga haram itu.

10 tahun dahulu, semuanya semudah itu!

BACA INI JUGA: Yahudi Perancang Perang Dunia Pertama!

Sumber: Mynewshub

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon