Tuesday, July 05, 2016

Sains Buktikan Manfaat Puasa Dua Kali Seminggu


Akhirnya masyarakat barat kini sudah mula berjinak-jinak berpuasa dua kali seminggu selepas banyak kajian membuktikan tentang kelebihannya.

Fasting

Pakar kesihatan dan pemakanan barat telah memperkenalkan amalan berpuasa dua kali seminggu sebagai Alternate Day Fasting (ADY).

Sebahagian saintis terkemuka dunia turut menamakan amalan tersebut sebagai Intermitten Fasting (IF).

Walaupun berbeza nama, tujuannya tetap sama iaitu untuk meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.

Secara ringkas, ADY dan IF merupakan kaedah berpuasa 5:2 atau gaya diet yang begitu popular dan menjadi trend di barat sejak kebelakangan ini.

Mereka menggunakan cara ini bukan sahaja untuk menurunkan berat badan, tetapi juga sebagai alternatif bagi menjaga kesihatan tubuh.

Dr. Michael Mosley dalam dokumentari bertajuk 'Eat, Fast and Live Long' di BBC, memberitahu bahawa beliau sendiri telah mencubanya.

Dalam percubaan itu, beliau menjadikan dirinya sendiri sebagai bahan uji kaji dengan mengamalkan formula diet 5:2, iaitu makan secara sihat selama lima hari dan berpuasa dua hari.

Selepas menjalani amalan itu secara berkala selama beberapa bulan, keputusan yang diperolehi sangat mengejutkan. Beliau yang dahulunya mengalami beberapa masalah kesihatan telah disahkan sihat.

Dr. Mosley sangat gembira kerana beliau tidak lagi mengalami masalah obesiti, kandungan paras gula di dalam tubuhnya juga turun ke paras normal dan tiada lagi masalah kolesterol.

Seorang pesakitnya yang berhadapan dengan masalah hormon IGF-1 turut menunjukkan perubahan positif selepas berpuasa secara berkala.

Manfaat amalan itu juga pernah dilaporkan dalam The American Journal of Clinical Nutrition pada tahun 2007.

Dalam laporan itu, sekumpulan manusia yang berpuasa secara berkala telah diuji untuk melihat sejauh mana kesan sampingan amalan puasa mereka.

Menakjubkan, menerusi pengawalan diet itu, sampel berjaya mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan kanser.

Kajian Dr. Yuri Nikolayov dari Institut Psikologi Moscow turut mendapati, sebanyak 65 peratus pesakit mental yang dikendalikan beliau menunjukkan perubahan positif selepas berpuasa dan menukar diet harian mereka.

Badan dan Akal Sihat Dengan Berpuasa

Berpuasa dua kali seminggu mungkin perkara baharu bagi masyarakat barat, namun selain puasa wajib 30 hari pada bulan Ramadhan, berpuasa dua kali seminggu iaitu Isnin dan Selasa merupakan amalan sunat yang biasa dilakukan oleh umat Islam.

Amalan berpuasa Isnin dan Khamis ini adalah yang sering dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak pernah meninggalkan amalah sunat ini selama hidup baginda.

Dari Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi bersabda, "Dibentangkan amalan-amalan dihadapan Allah pada hari Isnin dan Khamis. Maka aku menyukai dibentang amalanku (dihadapan Allah) pada ketika aku berpuasa." Hadis riwayat Tirmizi

Kajian telah membuktikan bahawa puasa merupakan penawar dan pencegah daripada sebarang penyakit.

Dengan berpuasa, ia dapat merangsang beberapa perubahan pada metabolisme badan dan seterusnya membantu membersih dan membaiki sistem badan.

Ketika berpuasa juga, organ di dalam badan dapat berehat dan ini membantu badan manusia membuang segala kotoran serta toksin keluar dari tubuh.

Sejarah turut menunjukkan bahawa puasa merupakan cara rawatan tertua di dunia dan telah diamalkan oleh orang-orang terdahulu untuk memelihara kesihatan tubuh.

Melihat kepada fadhilat puasa dan dibuktikan manfaatnya oleh saintis, semoga umat Islam membudayakan amalan sunat ini.

BACA INI JUGA: Kisah Penciptaan Nafsu Yang Degil Dan Suruhan Berpuasa

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon