Jul 26, 2016

'Riza Aziz Tuai Apa Disemainya Kerana Jual Diri Kepada Syaitan'

Anak tiri Najib Razak, Riza Aziz menuai apa yang disemainya kerana 'menjual diri kepada syaitan', tulis adiknya di Facebook.

Azrene+Soraya

Riza yang dinamakan dalam saman Jabatan Keadilan Amerika Syarikat kerana didakwa menggunakan wang yang dicuri daripada firma pelaburan negara, 1MDB.

"Jika Riza menjual dirinya kepada syaitan untuk memiliki apa yang tidak sepatutnya miliknya, bayangkan hutangnya yang dikumpul bersama syaitan dan yang bakal mereka kumpul lagi itu,” tulis Azrene Soraya Abdul Aziz, seorang perunding imej.

Seperti Riza, Azrene adalah anak tiri Najib, yang lahir hasil perkahwinan pertama, isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dengan suami pertamanya.

Bagaimanapun beliau berkata, Riza masih dan adalah seorang yang dikasihi oleh keluarganya, walaupun kasih mereka 'tidak cukup untuk beliau' dan orang sekelilingnya.

"Dia memilih, seperti orang lain sebelumnya, untuk memiliki kemasyhuran, kekayaan dan sanjungan," katanya.

Azrene mendakwa abangnya kini membayar harga kerana dosa yang dilakukannya walaupun Malaysia tidak bersedia untuk memberi keadilan seperti didoakan rakyat tetapi Amerika Syarikat memberikannya.

"Mereka yang mengenali saya tahu bahawa saya kambing hitam keluarga - tetapi itu tidak bermakna saya tidak sayang keluarga saya.

Azrene+Ahmad

"Orang ramai boleh mengatakan saya kejam untuk apa yang saya tulis hari ini tetapi saya sentiasa menegakkan apa yang sepatutnya dan melakukan apa yang betul, demi kebenaran dan keadilan walaupun terpaksa membayar harga yang tinggi dan ini bermakna melakukan perkara yang tidak popular.

"Saya sering menegaskan bahawa jika Riza menggunakan dan mendapat keuntungan daripada dana yang dicuri dia perlu membayar apa yang dilakukannya itu.

"Jika dia berdiri sebagai proksi atau sebagai pemegang amanah untuk apa yang bukan miliknya atau mana-mana individu yang meminta beliau menjadi 'anak berbakti', dia perlu membayar untuk itu," katanya.

Tidak kira apa alasan yang diberikan untuk mewajarkan apa yang dilakukan oleh abangnya, Azrene berkata jika tindakannya itu menjejaskan negara dan rakyat maka ia adalah salah, dan perlu diperbetulkan.

"Bagi mereka yang fikir saya tidak berhati perut hari ini, sila ingat, doa saya adalah untuk kebenaran dan keadilan.

"Sama seperti rakyat Malaysia yang lain, telah dijawab hari ini dan akan terus dijawab," tulis perunding imej itu lapor Mkini.

Sengketa keluarga

Rizal+Mansor

Mengulas kritikan pedas dan tajam oleh anak perempuannya yang kini berpisah dengannya, Azrene Soraya Abdul Aziz di laman media sosial baru-baru ini, Rosmah hanya mampu bergenang air mata, kata pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor.

“Maka bertanyalah saya kepada si ibu...

“Tiada kata yang terbit daripada mulut si ibu... tidak lama kemudian saya dapat melihat air matanya bergenang..

“Apa yang dapat saya simpulkan, tiada sedetik pun dibenak fikiran si ibu mahu mengeluarkan kata-kata yang tidak elok buat si anak..

"Dapat saya gambarkan perasaan ibu terhadap anak yang dikandung selama 9 bulan,” katanya dalam satu posting Facebook penuh emosi.

Bagaimanapun dalam posting itu, Rizal tidak membuat rujukan langsung kepada Azrene Soraya mahupun Rosmah tetapi sekadar menyebutnya sebagai "si anak" dan "si ibu".

Katanya, sejak lapan tahun mengenali Rosmah, beliau tidak pernah mendengar isteri Datuk Seri Najib Razak itu mengeluarkan kata-kata tidak elok berhubung anak perempuannya.

“(Oleh) kerana kata-kata ibu adalah doa, jauh sekali mahu mengungkit kesakitan yang ditanggung waktu melahirkan juga menyusukan mereka..

“Si ibu memilih untuk memendam sahaja perasaan daripada mengeluarkan kata-kata kerana kasih ibu tiada sempadan.

“Tugas dan tanggungjawab ibu bapa membesarkan anak dan memberi pelajaran secukupnya. Sekarang si anak telah memilih jalan hidupnya. Didoakan si anak bahagia dengan dunianya,” tulisnya lagi.

DOJ memohon untuk merampas lebih AS$1 bilion aset termasuk keuntungan yang diperolehi oleh syarikat penerbitan filem milik Riza, Red Granite yang menghasilkan 'The Wolf of Wall Street' itu.

Aset-aset lain yang dinamakan dalam tindakan undang-undang itu termasuk hartanah kediaman mewah Riza di Beverly Hills, New York dan London.

Riza menafikan sebarang salah laku dan mendakwa wang yang diterimanya dan firmanya adalah "hadiah" lapor Mkini.

BACA INI JUGA: Rasuah Halal Dan Rasuah Haram Di Malaysia?

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon