Wednesday, June 22, 2016

Garfield Kini Berusia 38 Tahun Pada 2016!


Karakter kucing berwarna jingga dengan nama Garfield cukup dekat di hati peminat kartun. Jun ini, genaplah 38 tahun usia Garfield selepas wajah comelnya mula muncul buat kali pertama di dada-dada akhbar Amerika Syarikat (AS) pada 19 Jun 1978.

Garfield - Jim Davis.jpg
Jim Davis.

Selepas itu, watak Garfield yang merupakan seekor kucing berbulu jingga dengan sepasang mata kuyu, berbadan gemuk serta dikenali dengan sikap pemalas tiba-tiba menjadi fenomena dunia.

Bahkan komiknya yang paling banyak dibaca di seluruh dunia telah diterbitkan oleh 2,600 buah syarikat akhbar sehingga kini.

Dicipta oleh kartunis, Jim Davis, Garfield muncul selepas komik sulungnya, Gnorm Gnat gagal menarik minat pembaca kerana watak serangga yang diketengahkan menerusi naskhah berkenaan dikatakan tidak menarik.

“Komik ini berkisar tentang kehidupan seharian Garfield. Ia dibuat ringkas kerana saya mahu setiap kelompok masyarakat memahami isi kandungan komik,” ujar Davis.

Merasakan watak anjing telah terlalu banyak dalam karya-karya kartun, kartunis yang berasal dari Indiana, AS itu kemudian mencipta watak kucing Garfield yang dibela oleh seorang lelaki lurus bendul bernama Jon.

Watak tersebut dinamakan bersempena nama datuk Davis iaitu James A. Garfield Davis.

Fenomena

Garfield His 54th Book.jpg

Pada mulanya, komik tersebut lebih menekankan tentang kehidupan Jon iaitu tuan kepada Garfield.

Davis kemudian mengambil keputusan untuk menjadikan Garfield sebagai watak utama selepas merasakan karakter itu lebih mudah menambat hati pembaca surat khabar.

“Siapa sangka dalam tempoh tiga tahun sahaja, Garfield sudah mula diterbitkan di 850 buah syarikat akhbar selain mula mendapat permintaan untuk dijadikan sebagai cenderamata,” ujar Davis tentang watak ciptaannya itu.

Pada tahun 1981, Davis menu­buh­kan syarikat Paws Inc. untuk menguruskan bahagian cendera­mata. Sekitar tahun 1990an, Davis tidak lagi melukis Garfield dan menyerahkan tugas tersebut kepada pelukis lain. Davis bagaimanapun tetap menumpukan kepada isi kandungan komik tersebut.

Selain itu, Garfield juga cukup dikenali sebagai karakter kartun televisyen.

Sekitar tahun 1982 sehingga 1991, sebanyak 12 episod kartun animasi istimewa Garfield ditayangkan pada waktu puncak di saluran televi­syen seluruh dunia antaranya Garfield in The Rough, Garfield’s Halloween Adventure dan A Garfield Christmas.

Kegemilangan karakter itu tidak terhenti di situ, ia menjadi semakin popular apabila rancangan televisyen, The Garfield Show pula ditayangkan di saluran Cartoon Network pada 2008.

Ditambah dengan efek pengimejan janaan komputer (CGI) yang cukup menarik, watak Garfield terus meniti populariti tersendiri.

Filem

Garfield - Jim Davis [2].jpg

Filem Garfield pula mula ditayangkan di panggung-panggung wayang seluruh dunia pada 2004 dan 2006 iaitu Garfield: The Movie dan Garfield: A Tale of Two Kitties yang menampilkan Bill Murray sebagai pelakon suara kucing itu.

Selepas kejayaan demi kejayaan dikecapi, buku Garfield pula diterbitkan dengan kandungannya terdiri daripada himpunan koleksi komik yang telah diterbitkan sebelum ini.

Menariknya, ia dicetak dalam keadaan melintang bagi mengekalkan format komik tersebut yang dikenali sebagai format Garfield.

Semenjak kewujudannya selama lebih 30 tahun, tiada siapa dapat menyangkal karakter kartun unik itu sememangnya menjadi sebahagian daripada memori kanak-kanak kepada berjuta-juta peminatnya di seluruh dunia.

Selamat hari lahir, Garfield..

BACA INI JUGA: Benarkah Animasi Shin Chan Adaptasi Kisah Benar Yang Menyedihkan?

Sumber: Kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon