Saturday, June 18, 2016

Cerpen: Cinta Sate


Berkali-kali Bada menilik diri di cermin. Belum puas dengan penampilan dirinya biarpun sudah hampir setengah jam dia bersiap. Ada saja yang tidak kena dimatanya.

Cinta Sate

Pakaian baru yang dikenakannya bagai tidak sempurna. Matanya melirik jam dipergelangan tangan. Dia harus bergerak sekarang supaya tidak terlewat.

Sebelum keluar, sempat lagi Bada membetulkan tali leher agar betul-betul kemas.

Kemudian, Bada tersenyum membuktikan bahawa dia telah benar-benar berpuas hati.

Buat pertama kali di dalam hidupnya, Bada mengenakan kot dan tali leher. Pakaian yang ditempah khas itu disesuaikan dengan majlis yang akan dihadirinya.

Bukan majlis biasa kerana ia diadakan disebuah hotel bertaraf lima bintang dan bakal dihadiri oleh orang kenamaan, bukan orang kebanyakan seperti dirinya.

Tiba di jalan raya, Bada hampir-hampir membuat kesilapan. Mujurlah dia sempat sedar bahawa dengan penampilan dikenakan sekarang tidak sesuai untuk menggunakan perkhidmatan bas.

Dia harus membuang sedikit duit untuk menaiki teksi, itu pun kalau diikutkan hati, masih belum setaraf.

Sepatutnya dia menempah limousin, malangnya dia tahu bahawa kalau dia berbuat demikian, bermakna dia terpaksa makan meggi untuk beberapa bulan.

Setelah menahan teksi, Bada duduk dibelakang memaklumkan destinasi yang dituju. Sesekali pemandu teksi melirik cermin belakang melihat penampilan Bada.

Bada tahu dirinya sedang diperhatikan, tetapi dia sekadar buat muka selamba. Bukan semua orang bertuah seperti dirinya.

Bada mengenang kembali rentetan peristiwa yang berlaku sehingga membawa ke hari ini. Episod cinta dan kasih sayang bermula kira-kira enam bulan yang lalu.

Pekerjaannya sebagai penjual sate membawa kepada perkenalan dengan seorang gadis cantik. Bukan saja cantik tetapi kaya raya.

Sungguh tidak diduga kerjayanya sebagai penjual sate akan menemukannya dengan seorang bidadari.

"Pandailah cik ni bakar sate. Garing dan rangup."

Pujian itulah yang menjadi titik mula sebuah perkenalan. Sejak hari itu, gadis bernama Melissa itu sering datang ke warung tempatnya bekerja.

Bada bangga dengan kepakarannya membakar sate. Tidak sia-sia dia hanya bersekolah setakat darjah enam.

Melissa sering datang dengan beberapa orang kawan. Lelaki dan perempuan. Dan pada pengamatan Bada, gadis itu tidak pernah membawa teman lelakinya.

Seringkali kawan-kawannya bertukar ganti. Tidak ada yang tetap. Setiap kali datang, sate dipesan dan semestinya dia sendiri yang membakar.

Dari perasaan bangga, tumbuh perasaan cinta dihati Bada. Betapa gadis itu telah memikat hatinya.

Melissa pula sering datang berkunjung. Acap kali juga mengajak Bada duduk bersamanya, bergurau dan ketawa. Bada benar-benar berada dipuncak kebahagiaan.

Namun demikian, dia mula menyedari bahawa perbezaan diantara mereka bagaikan langit dan bumi. Sukar untuk bergandingan.

Seringkali dia meratapi nasib, kenapalah taraf mereka jauh berbeza.

Hari berganti hari, Melissa semakin mesra dan akrab. Diantara mereka tiada lagi batas untuk bergurau dan ketawa bersama.

Perhubungan mereka bukan sekadar antara pelanggan dan penjual, tetapi sebagai kawan baik.

Kadang-kadang Melissa datang seorang diri dan memintanya menemani.

Semua itu menjadikan Bada semakin yakin bahawa kunjungan Melissa bukan lagi sekadar hendak makan sate, tetapi sebenarnya mahu mendekatinya.

Cuma, Melissa seorang gadis, mustahil hendak meluahkan isi hatinya terlebih dahulu. Bada yakin apa yang dirasainya sama seperti apa yang dirasai oleh Melissa.

Setiap saat mereka bersama, tidak pernah diselangi dengan kebosanan. Melissa seakan tidak mahu pulang, sedangkan Bada pula seperti tidak mahu lagi pelanggan lain datang.

Sebabnya, kalau pelanggan lain datang, dia terpaksa meninggalkan Melissa buat sementara waktu kerana perlu membakar sate.

"Bulan depan harijadi Lis tau. Awak mesti datang. Kedatangan awak diwajibkan.

"Lis beritahu awal-awal supaya senang awak minta cuti. Kalau last minute nanti, awak ada alasan tak nak datang.

"Jangan tak datang, nanti Lis nangis.."

Hampir-hampir Bada diserang heart attack sewaktu mendengar suara manja Melissa mengalunkan permintaan dengan suara mendayu. Selembut angin semilir.

Bada bagai terbuai-buai di awang-awangan. Kakinya bagai tidak berpijak di bumi nyata.

Kehadirannya adalah satu kewajipan. Bermakna dia adalah seseorang yang amat penting dalam hidup Melissa.

"Bila hadijadi awak?" tanya Melissa.

Bada tersipu. Seumur hidupnya tidak pernah dia meraikan harijadi. Malah, dia tidak pernah ambil tahu tentang perkara itu.

Seringkali dia terlupa tarikh lahirnya sendiri. Seperti sekarang, dia termangu bila Melissa menanyakan soalan itu.

"Saya tak pernah sambut harijadi saya."

Melissa memandang Bada dengan pandangan simpati. Bada menunduk, malu kerana direnung begitu.

"Tak apalah, tapi Lis nak tahu bila tarikhnya."

Terpaksalah Bada mengeluarkan kad pengenalan. Segera Melissa menarik dari tangannya.

"Wow! Lagi tiga hari. Nasib baik Lis cepat tanya."

Tiga hari kemudian, Bada menerima kejutan paling mengejutkan dalam sejarah kehidupannya.

Melissa muncul bersama beberapa orang kawan. Bukan itu saja, mereka membawa sebiji kek.

Berlinangan air mata Bada ketika meniup lilin, sesuatu yang tidak pernah dilakukan sejak dilahirkan.

"Apa ni?" tanya Bada sewaktu Melissa menghulurkan sebuah bungkusan.

"Selamat ulang tahun. Ini hadiah dari Lis. Semoga panjang umur dan murah rezeki."

Pulang dari bekerja, Bada terus berkurung dalam bilik. Membuka hadiah yang diberikan oleh Melissa dan menangis semahu-mahunya.

Keharuan tidak dapat membendung sebak menyebabkan matanya mengalir tanpa henti. Layanan Melissa terhadapnya melebihi dari seorang kawan biasa.

Lalu Bada membuat kesimpulan bahawa diantara mereka sudah terjalin sesuatu yang lebih hebat dari biasa, membuktikan bahawa selama ini dia tidak bertepuk sebelah tangan.

Melissa telah menunjukkan kasih sayangnya dengan pemberian dan perhatian. Tidak mungkin Melissa meluahkannya dengan kata-kata kerana Melissa adalah seorang gadis yang masih diselimuti ciri-ciri gadis timur.

Sebagai lelaki, Bada tahu bahawa tanggungjawab untuk meluahkan perasaan menjadi tanggungjawabnya.

Teruna dan dara
Gambar hiasan.

Dia yang harus memulai. Kemudian barulah Melissa akan meluahkan perkara yang sama.

Bada memegang kemas hadiah yang diberikan kepada Melissa. Sebuah hadiah istimewa yang melambangkan isi hatinya terhadap gadis itu. Malam ini dia akan membisikkan sebuah luahan cinta.

Lamunan Bada terhenti bersamaan terhentinya teksi yang membawanya di depan sebuah hotel.

Selepas membuat bayaran, Bada melangkah keluar dengan senyuman bangga. Terus saja dia menanyakan tempat berlangsungnya majlis Melissa.

Setelah dimaklumkan, segera Bada menuju ke dewan yang bakal menjadi saksi luahan perasaan cintanya terhadap Melissa.

Salah seorang petugas menyambut kehadiran Bada. Melissa tidak kelihatan dimana-mana. Demikian juga dengan tetamu lain.

Bada memang memaklumi perkara itu kerana Melissa sudah memberitahu agar datang dua jam lebih awal.

Sudah tentu Bada tidak bertanya lebih lanjut kerana pasti kehadirannya paling diutamakan.

Melissa pasti mahu bergandingan dengannya untuk menyambut kehadiran tetamu lain. Pendek kata, dia bukanlah tetamu biasa.

"Saya Bada, mana Cik Melissa?" kata Bada pada petugas yang menyambutnya.

"Ooo.. Cik Bada. Saya memang ditugaskan untuk menyambut Cik Bada. Sila ikut saya."

Bada menyangka akan dibawa ke bilik khas. Bilik VIP untuk orang yang istimewa sepertinya. Dan tentunya Melissa sedang menuju ke situ.

Namun begitu, Bada mula berasa kurang seronok apabila petugas itu membawanya ke bahagian dapur hotel tersebut.

"Cik Melissa cakap, Cik Bada memang pakar dalam soal bakar sate. Sebab itulah saya diarahkan untuk membawa Cik Bada ke sini.

"Pihak hotel hanya menyediakan sate sahaja, tetapi soal membakarnya, diamanahkan kepada Cik Bada saja.

"Cik Melissa kata, tentang bayaran akan diuruskan kemudian. Sekian, terima kasih."

Malam itu, sekali lagi air mata Bada mengalir laju. Lebih laju dari air matanya sebelum ini.

Orang yang melihatnya menyangka kerana asap masuk ke mata sewaktu membakar sate, tetapi sebenarnya Bada menangis kerana malu pada diri sendiri. Cis!

BACA INI JUGA: Cerpen: Raja Melawak

-SENTIASAPANAS.COM

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon