Jun 12, 2016

Cerpen: Raja Melawak

Perlahan-lahan air mata Adim jatuh ke pipi. Bukan kerana dia terharu tapi kerana malu. Kalaulah ada dikalangan orang-orang kampung melihat dia sekarang ini, pasti akan gamat seluruh kampungnya esok hari.

Raja+melawak.jpg
Gambar hiasan.

"Eh, kau ada dengar cerita pasal Adim?"

"Kenapa dengan budak tiga suku tu?"

"Dia dapat masuk Raja Lawak!"

"Biar betul?"

"Aku dengar cerita dari kawan-kawan, katanya dia terpilih untuk masuk program tu.."

"Kalau betullah, maknanya tercapai juga hasrat dia nak masuk tv ye? Bangga aku sebagai orang sekampung dengan dia!"

"Bukan kau suka maki-hamun dia ke selama ni?"

"Masa tak terkenal, memanglah aku buat macam tu. Bila nama dia dah naik lepas ni, aku bangga. Untung-untung dapat tumpang masuk tv dengan dia.."

Akop dan Jeman semakin jauh berjalan meninggalkan kedai makan Anis Lawa. Kedua-duanya masih lagi rancak berbual tentang Adim, pemuda yang sering menimbulkan banyak masalah dikampung itu.

Bukan sedikit cerita tentang Adim yang menjadi buah mulut orang kampung.

"Nampak gayanya jadi artislah dia. Menyesal pulak aku baling dia dengan stereng kereta minggu lepas!" suara Akop dari kejauhan.

Matahari kian tenggelam nun jauh di ufuk. Burung-burung berterbangan dalam kawanan untuk kembali ke sarang.

Bunyi-bunyian unggas semakin menerawang menjelajahi angkasa. Menandakan sudah sampai waktu kehidupan malam bermula.

Sayup kedengaran suara azan tatkala senja semakin merangkak ke malam.

Adim menggaya-gayakan tangannya ke udara seolah-olah pelakon pentas opera beraksi menghidupakn drama.

Dihayun-hayunkan tangannya ke kiri dan kanan sambil mulutnya terkumat-kamit berbahasa tetapi tidak sedikitpun mengeluarkan suara.

Emaknya yang sudah bertelekung hanya memerhati dengan gelengan kepala.

"Sudah tu, Adim! Berhenti jadi bangsawan sekejap. Pergi ambil air sembahyang, lepas tu solat." tegur emak Adim mengingatkan.

Adim patuh menurut arahan emaknya. Segera Adim menunju ke bilik air seraya mencapai kopiah yang terletak ditepi para dapur. Ceburan demi ceburan air kedengaran.

Emak Adim menunggu dengan sabar. Sesudah itu, Adim berjalan menuju ke ruang tamu dan mengimamkan solat emaknya.

Raja Lawak.JPG
Gambar hiasan.

"Betul kau suka apa yang kau buat ni Adim?" soal emaknya sebaik sahaja selesai mengaminkan dia yang dibacakan oleh anak lelakinya sendiri.

"Betul mak! Ini memang impian Adim selama ni. Adim nak masuk tv. Adim nak jadi terkenal. Bila dah terkenal, baru Adim boleh dapat banyak peluang. Kita boleh jadi senang nanti mak.

"Tak payahlah asyik termenung menunggu hujan berhenti supaya boleh menoreh," jelas Adim.

"Ikut suka kaulah. Mak dah tua, dah tak nak pegang duit banyak-banyak. Mak nak tengok cucu saja, ujar emaknya penuh makna.

Adim menyambutnya dengan senyum kelat. Kemudian dia bangun dari sila sebelum melipat semula sejadah yang telah digunakan.

Selepas itu Adim melabuhkan duduk pula di bendul pintu. Merenung masa depannya yang entah terang ataupun kelam dengan debar ringan di dada.

Esok adalah langkah pertama untuk mengubah kehidupannya.

"Adim!"

Adim menoleh. Akop dan Jeman dilihat sedang melambai-lambaikan angan cuba berkata sesuatu.

Suasana disekitar yang riuh dengan pelbagai gelagat serta suara-suara orang ramai membuatkan dia tidak dapat mendengar apa yang cuba disampaikan oleh kedua-dua lelaki itu.

Dengan segala kepayahan, Akop dan Jeman berjaya datang dekat.

"Tahniah Adim! Aku bangga ada kawan macam kau!" ucap Jeman sambil termengah-mengah.

"Jangan malukan orang kampung, Adim! Kami semua takkan tengok rancangan lain malam ni. Semua orang kampung nak tengok siaran Raja Lawak!" ujar Akop pula.

Adim tersenyum. Dia tidak menyangka begitu cepat perubahan yang telah terjadi walaupun dia belum lagi menjejakkan kaki ke atas pentas.

Suatu ketika dahulu, kedua-dua lelaki itu sering menjadikan dirinya sebagai beg latihan menumbuk, tapi kini semuanya sudah bertukar.

Perlahan-lahan Adim mencapai beg seraya menjeling dari dalam bas ke arah emaknya yang sedang mengalirkan air mata.

Kemudian dia berpaling pula melihat Akop dan Jeman yang dari tadi belum jemu-jemu melambaikan tangan sebagai tanda mengucapkan selamat jalan.

Adim yakin dia akan berjaya membawa namanya ke puncak kegemilangan.

.............

Malam itu seluruh dewan yang menempatkan acara Maharaja Lawak menerima sorakan yang paling gemuruh diikuti dengan hilai tawa penonton yang terbahak-bahak.

Raja+melawak [2].jpg
Gambar hiasan.

Dan jauh dari dewan itu, Adim pula sedang terkulai layu.

"Itu hari abang kata saya dapat masuk rancangan Raja Lawak! Ini apa?"

"Aku kata nak ajak kau ikut aku jual temulawak, bukan masuk raja Lawak! Kau yang salah dengar, aku pula yang kena marah!"

Terngiang-ngiang perbualan itu di kepala Adim sebelum dia tercirit di dalam seluar akibat kesedihan melampau, di kaki lima bandar besar itu.

~Tamat

LIHAT KOLEKSI CERPEN ONLINE

-SENTIASAPANAS.COM

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon