Jun 27, 2016

Apa Dan Siapa Sebenarnya Kafir Harbi?

Isu kafir harbi kadang-kala disebut oleh sesetengah pihak tanpa memahami maksud sebenar istilah berkenaan.

Kafir Harbi.jpg

Istilah harb merujuk kepada peperangan.

Dalam pembahagian silam tentang jenis-jenis negara; disebut dar al-Islam dan dar al-harb.

Juga ditambah oleh sebahagian penulis pembahagian ketiga dar al-‘ahd.

Secara ringkasnya, dar al-Islam mempunyai tiga ciri utama; kekuasaan politik berada di tangan Muslimin, zahir padanya hukum dan syiar Islam sekalipun tidak sempurna ataupun sebahagian sahaja dan kaum muslimin aman beramal dengan agama mereka sementara ahl-zimmah aman berdasarkan perjanjian mereka.

Manakala negara-negara yang mempunyai perjanjian dengan umat Islam maka mereka adalah dar al-‘ahd.

Atas asas ini Dr Yusuf al-Qaradawi menyimpulkan bahawa keseluruhan negara umat Islam yang wujud pada hari ini adalah dar al-Islam ataupun negara Islam termasuklah Malaysia.

Sementara kesemua negara bukan dar al-Islam yang berada di bawah Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah dar al-‘ahd termasuklah Amerika.

Hanya dikategori sebagai dar al-harb pada masa ini ialah Negara Zionis Israel disebabkan kerana permusuhan yang zahir dan berterusan dengan umat Islam (Lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Jihad, Kaherah: Maktabah Wahbah, ms 888-908)

Setelah memahami hal tersebut, maka dalam istilah awal, warga bukan Islam yang hidup dalam masyarakat Muslim ataupun bawah dar al-Islam (negara Islam) dengan mengikat perjanjian kewarganegaraan disebut sebagai ahl-zimmah.

Dalam konteks moden setiap yang mendapat kerakyatan dalam dar al-islam itu seorang zimmi, bererti yang dipelihara atau dilindungi haknya.

Walaupun begitu, istilah ahl-al-zimmah itu boleh dielakkan di zaman kini dengan menyebut rakyat atau warga negara bukan Islam.

Sementara kafir harbi, berdasar yang dibincang di atas ialah bukan Islam yang menolak dan menentang seruan Islam, bersekongkol dengan musuh-musuh Islam, tiada sebarang perjanjian aman dengan dar al-Islam dan mereka tinggal di negara mereka dar al-harb (Lihat: ibid, ms 912).

Maka bukan Islam yang mendapat kerakyatan dan dipelihara oleh undang-undang negara Muslim, tidak dinamakan dengan kafir harbi.

Sehinggalah dia tiada lagi sebarang ikatan perjanjian dengan negara Islam dan tidak dilindungi lagi oleh undang-undang negara Islam.

Dengan itu rakyat Malaysia yang bukan Islam tidak boleh dikatagorikan kafir harbi yang boleh diperangi dan halal darahnya ditumpahkan selagi mereka mempunyai ikatan hubungan dengan negara!

Rencana ini ditulis oleh,
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN mufti Perlis.

BACA INI JUGA: Percanggahan Syiah Dengan Ajaran Islam

Sumber: Malaysiakini

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon