Feb 18, 2016

MH370 Kekal Menjadi Misteri Yang Gagal Diselesaikan?

Martin Dolan, Ketua Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) merupakan orang yang bertanggungjawab dalam menerajui usaha pencarian pesawat MH370 milik Malaysia Airlines Berhad (MAB).

MH370+MYSTERY

Beliau menjadi terkenal susulan kehilangan pesawat itu secara misteri pada 8 Mac 2014, namun kini mula menunjukkan rasa tekanan selepas hampir dua tahun usaha tersebut masih lagi tidak membuahkan apa-apa hasil.

Menurut Martin, beliau berasa sukar untuk tidur kerana khuatir bangkai pesawat model Boeing B777 terlepas daripada imbasan sonar pada kawasan berkeluasan kira-kira 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Kini selepas dua tahun… tinggal hanya beberapa minggu sebelum pencarian MH370 akan menjadi misteri terbesar penerbangan yang tidak dapat diselesaikan sejak kehilangan juruterbang, Amilia Earhart pada 1937.

Daripada tiga juta komponen pesawat itu, hanya satu komponen ditemui – flaperon diselaputi teritip – di Reunion sebuah pulau pentadbiran Perancis di benua Afrika, beberapa ribu kilometer daripada kawasan pencarian.

Selebihnya termasuk seramai 239 penumpang pesawat malang tersebut, bagasi mereka, jaket keselamatan MAB yang sepatutnya terapung di air langsung tidak dapat dijejaki daripada pencarian tersebut.

“Sentiasa timbul soalan: Adakah kami telah terlepas sesuatu?” soal Dolan, 58; kepada stesen Bloomberg di pejabatnya di Canberra dan menambah: “Perkara seperti ini akan menyebabkan anda tersedar daripada tidur.”

Beberapa pakar pencarian dan penyelamatan yang berpengalaman luas menerima hakikat bahawa pencarian dengan menelan belanja sebanyak A$180 juta (RM533 juta) itu mungkin menemui kegagalan pada akhirnya.

Tanpa apa-apa petunjuk baharu, pencarian sepatutnya bakal dihentikan secara rasmi pada Jun depan apabila kesemua empat buah kapal selesai mengimbas keseluruhan perairan di Australia Barat itu, kata Dolan.

Bersaiz ala segitiga Korea Utara, kapal-kapal pengesan tersebut telah melakukan pencarian dengan rapi di kebanyakan kawasan yang dipercayai lokasi pesawat tersebut mungkin terhempas namun menemui kegagalan.

Malah para penyiasat antarabangsa tidak dapat menentukan apakah yang sebenarnya berlaku dalam pesawat itu selepas ia meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju Beijing, China pada 8 Mac 2014.

“Terdapat kemungkinan kami tidak berjaya,”kata Dolan jujur. Selepas kejadian itu, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mula wajib pesawat komersial melaporkan kedudukan mereka setiap 15 minit.

Di bawah cadangan Kesatuan Eropah, pengesan isyarat dalam air pada kotak hitam perlu berfungsi dalam tempoh 90 hari berbanding hanya 30 hari ketika ini. Peraturan tersebut akan dilaksanakan sepenuhnya sebelum 2018.

Larry Stone, Ketua Saintis Metron Inc. di Reston, Virginia, Amerika Syarika (AS) antara nama besar yang telah berjaya menjejaki kehilangan banyak pesawat dan kapal laut di seluruh dunia sejak 50 tahun lalu.

Ini termasuk kejayaan Stone menemui kedudukan tepat pesawat AF447 milik syarikat penerbangan Perancis, Air France yang membawa 228 penumpang selepas dua tahun ia terhempas secara misteri di Lautan Altantik.

Bagaimanapun lokasi, saiz dan karakter pencarian di dasar laut untuk pesawat MH370 menjadikannya paling sukar beliau pernah lihat. “Saya tidak terperanjat jika mereka langsung tidak menemuinya,” kata Stone.

Kedalaman kawasan pencarian sehingga enam kilometer dengan jurang dan rabung dalam air. Malah kenderaan sonar pernah berlanggar gunung berapi setinggi 2,200 meter daripada dasar laut dan tenggelam di situ bulan lalu.

Kapal-kapal yang terlibat dengan percarian itu perlu mengimbas kawasan seluas 35,000 kilometer persegi – lebih besar daripada Belgium. Kapal sonar berdefinisi tinggi milik China merupakan aset pencarian terbaharu.

Dong Hai Jiu 101 dijangka memberi tumpuan khusus di kawasan dasar laut yang sukar untuk diimbas dengan alat sonar konvensional apabila kapal China tersebut tiba pada bulan ini, kata Dolan penuh yakin.

Kapal berkenaan bakal memeriksa semula kira-kira 100 kawasan yang sudah diperiksa sebelum ini, dengan beberapa kawasan berbentuk bujur di penghujung selatan lokasi pencarian ditetapkan, kata Dolan.

Kawasan titik panas ini kemungkinan besar mengandungi bangkai pesawat, menurut Kumpulan Sains dan Teknologi Pertahanan Australia, sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara.

Namun, pencarian paling komprehensif tidak memuaskan hati keluarga mangsa jika ia menemui kegagalan. “Kami akan mencuba sedaya upaya untuk melobi pencarian diteruskan selepas Jun,” kata Grace Subathirai Nathan.

Ibu kepada salah seorang penumpang pesawat itu sebaliknya dilaporkan berkata: “Saya perlukan jawapan”.

Insiden misteri kehilangan pesawat MAB tersebut didedahkan apabila pengawal trafik udara hilang hubungan dengan MH370, kurang sejam selepas pesawat itu berlepas ketika ia menghampiri perairan Vietnam.

Radar pihak tentera pula menunjukkan pesawat berkenaan seolah-olah cuba membelok ke kiri memasuki selatan Thailand dan kembali ke utara semenanjung Malaysia sebelum menghala ke barat laut Selat Melaka.

Hubungan radar kemudiannya terputus namun satelit di orbit menerima isyarat daripada pesawat itu. Analisis menunjukkan pesawat MH370 terbang menuju ke selatan di Lautan Hindi selama kira-kira enam jam.

“Mereka telah melakukan tugas yang baik untuk mendapatkan sesuatu yang berguna daripadanya,” kata Vaughan Clarkson, pakar radar dan penjejakan di University of Queensland, Australia kepada Bloomberg.

Beliau turut banyak membantu melakukan pengiraaan laluan sebenar penerbangan pesawat itu. “Anda sebenarnya cuba menjejaki pesawat komersial yang bergerak laju dengan tempoh masa setiap satu jam,”.

Gangguan daripada manusia dalam nahas ini bahkan tidak diketahui. Rakaman ayat terakhir daripada juruterbang pesawat MH370 pada pukul 1.19 pagi 8 Mac ialah: “Selamat malam Malaysia, Three Seven Zero”.

Dalam dunia moden di mana telefon pintar murah yang berharga hanya AS$100 pun boleh dijejaki secara percuma, pesawat saiz besar bernilai AS250 juta itu pula sebaliknya hilang begitu sahaja.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2014 pernah berkata, pesawat berkenaan dikesan tersasar daripada laluan sebenar dan kediaman juruterbang dan pembantu juruterbang digeledah.

Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI) turut melakukan analisis terhadap simulator penerbangan peribadi milik juruterbang MH370 di rumahnya, namun mereka hampa apabila tidak menemui apa-apa petunjuk baharu.

Empat bulan selepas kehilangan MH370, pesawat MH17 ditembak jatuh di Ukraine. Syarikat pelaburan milik kerajaan Malaysia membeli syarikat itu pada tahun sama ketika trafik penumpang dan keuntungannya merosot.

Kegagalan pencarian akan meninggalkan gambaran yang tidak baik kepada industri secara am, khusnya kepada imej MAB, kata Christoph Mueller, Ketua Pegawai Eksekutif MAB, kepada Bloomberg Television semalam.

Di Canberra, pihak ATSB pada masa sama sedang sibuk menyiasat 130 insiden pengangkutan awam – daripada insiden keretapi kargo tergelincir di Queensland sehinggalah kemalangan pesawat di timur laut Australia.

Dolan malah berkata, sepanjang berkhidmat dengan ATSB, masanya banyak dihabiskan untuk MH370. Beliau yang bersuara lembut sepanjang masa berhenti sejenak bagi memilih ayat-ayat yang akan dipertuturkan.

Di atas meja di pejabatnya sendiri, beliau merujuk kepada peta zon pencarian yang berada di hadapannya ketika beliau cuba menggariskan analisis saat-saat akhir pesawat tersebut terbang.

Enjin kanan kehabisan minyak dahulu dan dalam masa 15 minit enjin kiri kehabisan minyak. Baki bahan bakar mencukupi untuk menghidupkan semula unit data satelit dan isyarat mesej terakhir.

Selepas itu, pesawat mungkin belok ke kiri dan jatuh berpusing ke dalam laut. Berdasarkan turutan kejadian, mereka kena memberi tumpuan kepada kawasan antara 20 batu nautika di mana hubungan terakhir pesawat.

Kemungkinan lain adalah – seseorang yang mengawal pesawat dan meluncurkan pesawat yang tanpa kuasa itu sehingga ia mendarat di atas air – bermaksud menggandakan kawasan pencarian sebanyak tiga kali.

Bagaimanapun kebarangkalian senario aneh tersebut sebenarnya sangat kecil, kata Dolan. Kapal pengimbas dasar laut setakat ini telah pun berjaya mengumpul kapasiti sehingga 20 petabit imbasan data.

Ia mencukupi untuk menempatkan seluruh koleksi digital Perpustakaan Kongres AS di Washington DC. Selepas mengakui kesukaran pencarian pada kawasan lautan besar, terpencil dan dalam, Dolan dengan yakin berkata:

“Pesawat MH370 akan ditemui akhirnya. Setiap pagi, saya bangun dan memeriksa apa yang telah berlaku dan saya berharap hari ini adalah harinya,” kata beliau. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

BACA INI JUGA: MH653, Pesawat Malaysia Yang Pernah Dirampas!

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

2 comments

Misteri yg hanya Allah shj yg tahu... semoga terungkai satu hari nanti... aamiin.

Subahanallah..kita serahkan padaNya

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon