Thursday, January 07, 2016

Tinggalkan Harvard Demi Facebook!


Mark Zuckerberg telah berkembang daripada seorang pelajar Harvard yang tercicir yang mengubah erti sosial kepada hartawan dermawan yang bertekad untuk membentuk masa depan yang lebih baik bagi anaknya.

Mark Zuckerberg

Zuckerberg dan isterinya Priscilla Chan yang merupakan seorang doktor, menjadi sorotan Internet bulan lalu dengan berita kelahiran anak sulung mereka, seorang bayi perempuan yang dinamakan Maxima.

Zuckerberg dan Chan turut mengikrarkan kekayaan Facebook mereka kepada kebajikan bagi menjadikan dunia ini ‘tempat yang lebih baik’ bagi Maxima dan yang lain.

Dalam sepucuk surat kepada Maxima yang turut dimuat naik dalam laman Facebooknya, pasangan terbabit berkata mereka akan mendermakan 99 peratus saham syarikat mereka, dianggarkan bernilai AS$45 bilion, sepanjang kehidupan mereka dalam usaha untuk menjadikan dunia lebih sihat dan gembira.

Zuckerberg mengukuhkan kekayaannya, dan meraih tempat dalam sejarah Silicon Valley, dengan menerajui Facebook dalam kemunculan sulung di Wall Street pada 2012.

Saham Facebook yang didagangkan baru-baru ini bernilai hampir tiga kali ganda harga penawaran awal awam AS$38.

IPO bernilai AS$16 bilion itu distruktur untuk memastikan Facebook dikawal dalam tangan Zuckerberg, yang pernah dinamakn sebagai ‘Person of the Year’ majalah Time dan tersenarai dalam pilihan 20 orang terkaya di dunia majalah Forbes.

Pemuda berusia 31 tahun itu yang gemar memakai baju ‘hoodie’, digambarkan dalam filem drama Hollywood ‘The Social Network’ sebagai gek komputer yang kekok bersosial, telah berkembang menjadi seorang ketua pegawai eksekutif berkeyakinan yang menguasai sebuah komuniti dalam talian yang berbangga dengan lebih 1.5 bilion pengguna bulanan setakat September.

Di sebalik kekayaannya, Zuckerberg tetap lebih meminati baju-T, seluar jean dan kasut sukan, dilengkapi dengan baju sejuk berpenutup kepala yang menjadi tanda gayanya dan rambut ikal coklat.

Beliau bagaimanapun pernah memakai sut kemas tatkala bertemu tokoh berprofil tinggi seperti Presiden AS Barack Obama dan Perdana Menteri India Narendra Modi.

Zuckerberg juga gemar menetapkan matlamat tahunan, yang termasuk memakai tali leher setiap hari, hanya makan daging haiwan yang dibunuhnya sendiri, serta belajar bahasa Mandarin agar dapat berbual dengan ahli keluarga isterinya yang bertutur dalam bahasa tersebut.

Beliau juga semakin lantang baik secara sosial mahupun politik, berarak bersama ratusan pekerja Facebook dalam perarakan besarbesaran homoseks Gay Pride di San Francisco dan menyokong secara terbuka reformasi imigresen AS.

Petikan kata-kata hikmah yang pernah dikeluarkannya termasuklah ‘Apa yang akan kamu lakukan jika kamu tidak takut’ dan ‘Bergerak pantas dan pecahkan tradisi’.

Zuckerberg juga diketahui menggalakkan ‘cara penggodam’ di mana perisian atau sistem diselaras dengan berani bagi hasil yang menyebelahi.

IDOLANYA JOB

Dilahirkan pada 14 Mei, 1984, Zuckerberg dibesarkan di Dobbs Ferry pinggir New York, salah seorang daripada empat anak pasangan doktor gigi dan isterinya ahli psikiatri.

Beliau mulai menulis program komputer pada usia 11 tahun, termasuk salah satu yang dikatakan menyerupai program cita rasa muzik Pandora yang dilaporkan menarik minat AOL dan Microsoft.

Beliau melanjutkan pelajaran ke sekolah tinggi di Akademi Phillips Exeter yang berprestij, di mana beliau menjadi kapten pasukan lawan pedang, sebelum memasuki institusi elit Universiti Harvard.

Zuckerberg melancarkan Thefacebook.com, seperti mana ia dikenali ketika itu, dari bilik asramanya pada 4 Februari, 2004 bersama beberapa rakan sebilik dan sekelas.

Matlamat mereka yang dinyatakan, ‘Menjadikan dunia lebih terbuka dan berhubung’.

Tahun-tahun awal Facebook ternyata tidak bebas daripada kontroversi.

Pada 2008, pampasan AS$65 juta dipersetujui bersama tiga rakan sekelasnya di Harvard — beradik kembar Tyler dan Cameron Winklevoss, serta Divya Narendra — berhubung dakwaan mereka bahawa Zuckerberg telah mencuri idea bagi Facebook daripada mereka.

Konflik tersebut diperincikan dalam ‘The Social Network’, filem pemenang anugerah Oskar yang ditulis Aaron Sorkin dan diarahkan oleh David Fincher.

Zuckerberg meninggalkan Harvard pada 2004 bagi meneruskan usahanya di Silicon Valley, di mana beliau menerima modal besar pertamanya berjumlah AS$500,000 daripada pengasas bersama PayPal Peter Thiel, disusuli dengan dana hampir AS$13 juta pada tahun berikutnya daripada Accel Partners.

Di sebalik aduan privasi tanpa henti, Facebook ternyata semakin kukuh dan penganalisis mempersetujui bahawa rangkaian sosial itu sentiasa menginovasi, atau mendapatkan teknologi baharu, untuk kekal popular dalam Era Internet yang terkenal dengan kesetiaan singkat kepada perkhidmatan dalam talian.

Laman Facebook Zuckerberg sendiri yang ‘diikuti’ lebih 43 juta orang, memaparkan gambar isterinya dan anaknya, serta anjing mereka Beast.

Mark Zuckerberg and Priscilla Chan

“Mempunyai anak membuat kami memikirkan tentang semua benda yang harus diperbaiki di dunia ini bagi seluruh generasinya,” kata Zuckerberg dalam sebuah video memaparkan beliau dan isterinya yang dimuat naik dalam laman Facebooknya baru-baru ini.

Beliau ‘meminati’ badan kebajikan seperti institusinya yang baharu ditubuhkan Zuckerberg Chan Initiative, ahli politik AS Obama dan Hillary Clinton, pelakon Seth Rogen dan James Franco, serta buku “Ender’s Game”.

Zuckerberg telah dirujuk sesetengah pihak sebagai terperangkap dalam acuan pengasas bersama Apple mendiang Steve Jobs, yang dipujinya sebagai seorang rakan dan model ikutan.

Persamaan di antara kedua-dua lelaki itu dikatakan termasuklah tidak takut berdepan risiko gagal ketika memburu impian besar dan meneruskan visi dengan penuh bersemangat di sebalik cabaran atau tentangan. -AFP

BACA INI JUGA: Kajian Menunjukkan Anda Lebih Gembira Jika Tiada Facebook!

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon