Thursday, October 15, 2015

Tol Naik, Dimana Janji Kerajaan?


"Akan terbeban, dan bakal menanggung kos hidup yang lebih tinggi berikutan kenaikan harga tol mulai Khamis ini," demikian antara reaksi orang ramai yang di temui.

Tol naik

Menurut Zulhusni Abd Rashid, 21, mahasiswa dari sebuah universiti Lembah Klang berkata, kos sara hidup kebanyakan rakyat dan mahasiswa di sekitar Lembah Klang bakal meningkat selepas penguatkuasaan kadar tol yang baharu ini.

"Semestinya akan terbeban selepas ini, kalau pelajar yang berkenderaan yang tinggal di luar kampus hendak pergi kelas atau balik kampung misalnya, kos akan naik sebab duit habis dekat tol dan minyak," katanya.

Dalam pada itu, Zulhusni ‎mempersoalkan di mana janji kerajaan, yang sebelum ini berjanji untuk membantu meringankan beban rakyat.

"Di mana janji kerajaan, dahulu kata pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan 'dikembalikan' kepada rakyat, tetapi sekarang kita tidak tahu ke mana perginya hasil tersebut.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, jangan buat seperti ini, ia seperti menindas orang susah," ujarnya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, yang hanya mahu dikenali sebagai Faizura, 26, berkata, sebagai pengguna tol di lebuh raya yang akan dinaikan kadarnya pada Khamis ini sudah semestinya akan membebankan dirinya.

"Sebagai pengguna terbebanlah, setiap hari pergi balik kerja guna tol, jadi memang terkesanlah selepas ini," katanya.

Dalam pada itu Faizura turut menuntut janji sepertimana yang dijanjikan kerajaan sebelum ini bahawa mereka berjanji untuk meringankan beban rakyat.

"Rasa macam tertipu, pemimpin kita janji untuk ringankan beban kita, tetapi sebaliknya yang berlaku.

"Tunaikan janji, mudahkan rakyat, kita sebagai rakyat bawahan sangat terasa sekarang. Dalam pada itu saya tertanya-tanya juga di mana hasil kutipan GST, sebab kerajaan janji nak 'pulangkan' kepada rakyat," katanya.


Manakala menurut, ‎Jesryani Atcher, yang juga merupakan seorang penuntut di sebuah universiti Lembah Klang juga turut berpandangan yang sama.

Katanya, dia ada mendengar rungutan daripada ibu bapanya bahawa bajet mereka terpaksa dikecilkan dek kerana kenaikan tol ini.

"Ibu Bapa saya akan benar-benar terkesan selepas ini," katanya.

Manakala menurut Mike, 29, seorang penjawat awam berkata, suara dan jerit perih rakyat seolah-olah sudah tidak didengari lagi oleh kerajaan.

"Tiada guna komen kenaikan tol kerana tiada siapa pun yang peduli.

"Dulu janji hasil kutipan GST mampu tanggung tambang tol tapi akhirnya janji tinggal janji. Jika diberi pilihan mengundi pun, cara pimpinan semua sama sahaja, tidak memberi perubahan apa-apa," katanya.

Bermula minggu ini, sebanyak 12 pengendali lebuh raya akan menaikkan kadar tol mereka.

Ia melibatkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-Silk, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (Smart).

Selain itu, Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dan Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga).

Jauhi sifat orang munafik, pesan Muhyiddin

Muhyiddin Yassin

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak umat Islam menjauhi sifat-sifat orang munafik dalam perutusan Maal Hijrah 1437H.

Sebaliknya Muhyiddin menasihatkan umat Islam mengamalkan sifat-sifat terpuji Rasulullah SAW iaitu siddiq (jujur), amanah dipercayai), tabligh (menyampaikan) dan fatonah (cerdas).

“Oleh itu, jauhilah sifat-sifat tercela seperti berdusta, khianat, menyembunyikan kebenaran dan lemah fikiran yang merupakan sifat-sifat orang munafik.

“Sebagaimana yang telah diperingatkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ‘Tanda orang munafik ada tiga iaitu jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia ingkar, dan jika dipercayai (diberi amanah) dia berkhianat’ (HR Bukhari Muslim),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut berpesan supaya semua umat Islam di negara ini memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

“Mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri dan seluruh umat Islam di Malaysia supaya dapat bersama-sama memperbaiki dan menganjak kedudukan kita daripada yang baik kepada yang lebih baik.

“Dalam usaha kita ke arah menjadi insan dan ummah yang diberi berkat dan dilimpahi dengan segala rahmatNYA, marilah kita memperkukuhkan kesatuan hati sesama kita supaya terpancar sinar azimat yang menyuluh lorong-lorong perjuangan kita.

“Berazamlah untuk menjadi lebih baik dan jauhilah daripada perkara-perkara yang membawa kepada kemungkaran,” katanya.

Tambahnya, Maal Hijrah perlu dirai dengan penuh kesedaran dan kefahaman akan pentingnya penghayatan nilai-nilai murni keperibadian Rasulullah SAW dan perjuangan Baginda menegakkan syiar Islam.

“Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat ALLAH SWT semoga seluruh umat Islam di negara kita sentiasa dilimpahi rahmat ALLAH SWT dan Malaysia kekal aman, makmur dan sejahtera,” katanya.

BACA INI JUGA: 'Malaysia Menjadi Begitu Hina Oleh Perdana Menterinya Sendiri!'

Sumber: Sinarharian.com.my

5 comments

  1. Apa pilihan yg ada... nak guna pengangkutan awam? Tambangnya juga akan dinaikkan...
    Lambatnya lagi pilihanraya...huhu

    ReplyDelete
  2. Kalau tak mampu laksanakan jangan berjanji... kelentong namanya tu...

    ReplyDelete
  3. janji sebelum dan selepas mmg berbeza... belum dpt janji lain... dah dpt mungkir janji... GST 40% barangan akan turun... tp smpai hari ni tak jumpa lg brg yg turun... kot ye pon turun minyak plak naik barg terus naik... sungguhpon brg tu tak naik tp kuantiti brg plak dikurangkan... tp bila tol naik gunalah jln yg takde tol... masalahnya takde jln lain dah... mmg kena lalu tol.... terpaksa... bayar tol takde pon org yg ikhlas... semua terpaksa... org kaya senyum je... rakyat kelas sederhana dan miskin ni merana.... nak tak nak terpaksa demi nak sara anak2 dan keluarga... bangga jadi Anak Malaysia...

    ReplyDelete
  4. berjanji memang mudah...tp menepati janji itu amat sukar....len kali jgn berjanji....org xsakit hati...huhuhu

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon