Tuesday, July 28, 2015

Kisah Hidup Bobbi Kristina Yang Menyedihkan


Bobbi Kristina Brown, merupakan anak tunggal kepada salah seorang penyanyi yang paling berpengaruh di dunia.

Bobbi Kristina - Whitney Houstan

Namun pengakhiran hidupnya amat menyedihkan walaupun sebelum ini dia dikelilingi individu yang amat disayangi selain kehidupan serba mewah berpaksikan kerjaya cemerlang ibunya, mendiang Whitney Houston.

Minggu ini, Bobbi Kristina Brown, 22, disahkan telah menghembuskan nafas terakhir selepas hampir tujuh bulan berada dalam keadaan koma.

Bobbi koma selepas dipercayai terjatuh dalam tab mandi kediamannya, sama seperti kematian tragik yang menimpa ibunya tiga tahun lalu.

Bobbi meninggal dunia di pusat jagaan Georgia.

Gadis manis itu ditemui lemas dengan keadaan mukanya terbenam pada permukaan air di tab mandi pada 31 Januari lalu.

Insiden itu disedari suaminya, Nick Gordon dan rakannya, Maxwell Lomas yang kemudian memberikan bantuan pernafasan (CPR) bagi memulihkannya sementara menunggu pihak perubatan sampai.

Bobbi dibawa ke Hospital North Fulton untuk mendapatkan rawatan susulan insiden itu. Kemudian dia dipindahkan ke Hospital Emory University sebelum dipindahkan ke pusat jagaan di Atlanta pada 24 Jun lalu.

Portal TMZ pada 15 Julai lalu ada menyiarkan foto sebuah khemah putih dinaikkan di hadapan pusat jagaan itu dipercayai bagi melindungi pihak media daripada membidik sebarang gambar selain melindungi privasi keluarga Bobbi ketika mayat wanita itu dibawa keluar dari tempat tersebut.

Ketika kematian Whitney pada 11 Februari 2012, Bobbi dilihat sangat sedih dengan kehilangan tragik ibunya itu dan dilaporkan mengambil masa yang lama untuk kembali memulihkan semangatnya.

Bobbi Kristina - Bobby Brown
Bobbi bersama bapanya, penyanyi R&B dan pelakon, Bobby Brown.

Mei lalu, nenek Bobbi, Cissy Houston yang merupakan penjaga sahnya memberikan kenyataan kepada pihak media bahawa keadaan cucunya langsung tidak menunjukkan sebarang perkembangan sejak koma Januari lalu.

Sebelum ini, Bobbi pernah menghadiri program bual bicara dengan Oprah Winfrey di mana dia berkongsi rasa dan perasaan mengenai kehilangan ibunya. Dia serta ahli keluarga yang lain turut muncul dalam program realiti Houstons: On Our Own yang memaparkan 14 episod keluarga mereka selepas kehilangan Whitney.

Dalam temubual dengan Oprah, Bobbi pernah berkata dia seperti terasa roh ibunya sentiasa ada berlegar-legar dalam rumah mereka.

Ketika Bobbi berusia 14 tahun, Whitney dan suami, Bobby Brown mengambil keputusan untuk berpisah dan hak penjagaan diberikan sepenuhnya kepada penyanyi yang cukup terkenal dengan suara emas itu.

Bapa Bobbi sebelum ini pernah ditahan atas dakwaan mengambil dadah dan pengambilan alkohol berlebihan.

Bobby yang pernah dimasukkan ke pusat pemulihan sebanyak dua kali disebabkan masalah ketagihan, membuat pengumuman rasmi pada 2012 bahawa dia sudah bertunang dengan teman lelakinya, Nick Gordon namun ibu bapanya sama sekali tidak menyukai pilihan hatinya itu.

Malah 24 Jun lalu, keluarga Bobbi telah menfailkan saman terhadap Nick atas dakwaan mendera isterinya selain menggelapkan wang Bobbi sebanyak RM42,000 (USD$11,000).

Pihak polis kemudiannya membuka kertas siasatan apabila terdapat kesan lebam pada muka dan mulut Bobbi sebaik dia dibawa ke hospital akibat insiden lemas dalam tab mandi.

Daripada hasil siasatan, pihak berkuasa mendapati Bobbi terlibat dalam kemalangan jalan raya sehari sebelum insiden lemas dan perkara ini masih lagi berada dalam siasatan pihak polis.

Bapa Bobbi mendakwa anaknya tidak pernah berkahwin dengan Nick walaupun pihak media antarabangsa kerap kali melaporkan Nick merupakan suami kepada anaknya itu.

Bobbi Kristina - Nick Gordon
Bobbi dan pasangannya, Nick Gordon.

Sebelum ditemui lemas Bobbi pernah menyatakan impiannya untuk terus melangkah penuh azam ke hadapan dalam mendepani hari-hari mendatangnya.

Dia juga cuba untuk membina nama dalam bidang lakonan dan nyanyian, mengikut jejak langkah mendiang ibunya.

Berikutan kematian tragiknya itu, ramai selebriti Hollywood menzahirkan perasaan takziah dan simpati mereka terhadap ahli keluarga Houston dan Brown.

Antaranya, Oprah Winfrey, Kylie Jenner, Keri Hilson, Neyo, Paula Abdul dan Missy Elliott.

BACA INI JUGA: Gambar-gambar Terakhir Selebriti Terkenal Dunia

Bobbi Kristina
Bobbi Kristina [2]
Bobbi Kristina [3]

Sumber: mynewshub

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon