Friday, June 12, 2015

Najib Mahu Rakyat Terima Kehilangan Berbilion Ringgit - Tun Mahathir


Tun Mahathir menyifatkan tuduhan PM Najib yang mendakwa beliau penyebab berlakunya krisis pada hari ini sebagai satu cubaan Najib agar semua pihak menerima episod kehilangan wang berbilion ringgit serta menganggap sebarang salah laku tidak dilakukan.

1MDB

Menurutnya, kehilangan wang disebabkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu tidak boleh dibiarkan sebaliknya, pihak yang bertanggungjawab perlu diadili.

“Perdana Menteri kata Dr M (sayalah) di sebalik krisis ini. Saya akan akui bahawa saya di sebalik ‘krisis’ ini. Saya di sebaliknya kerana wujud ketakutan dalam negara ini.

“Dengan menuduh saya bertanggungjawab terhadap krisis ini, Najib cuba mahu kita menerima kehilangan wang berbilion Ringgi dan berlagak seperti tiada salah laku dilakukan.

"Dari kepentingan dan kebimbangan yang ditunjukkan orang ramai atas kerugian dialami 1MDB, perkara ini tidak boleh diabaikan.

"Orang yang bertanggungjawab mesti disiasat dan jika didapati bersalah, mereka mesti dihukum.

“Krisis mungkin akibatnya tapi adakah kita wajar membiarkan pencuri mencuri berbilion ringgit hanya kerana mahu mengelakkan krisis?,” katanya melalui catatan terbaharu di blognya.

Sebelum ini, Najib berkata Tun Mahathir telah mendakwa beliau menimbulkan ‘masalah lebih besar’ terhadap negara sedangkan sebahagian besarnya berpunca daripada perbuatan bekas perdana menteri itu sendiri termasuk serangan dan laungan pembohongan.

Sementara itu, Tun Mahathir berkata, banyak pihak mengetahui kehilangan wang berbilion ringgit yang itu disebabkan 1MDB namun mereka takut tindakan yang bakal menanti daripada pihak kerajaan.

“Mereka tahu kerana melihat bukti kehilangan itu tapi mereka takut akan tindakan yang bakal dikenakan oleh kerajaan terhadap mereka. Mereka mungkin hilang kerja, kontrak atau pangkat dan sebagainya.

“Jadi, mereka datang jumpa saya dan minta saya buat sesuatu. Untuk sekian lama saya senyap sebab saya tahu jika saya dedahkan salah laku 1MDB, ia akan menyebabkan perdana menteri disoal siasat.

"Saya cuba buat senyap-senyap tapi tak ada kesan. Saya beritahu perdana menteri, saya tidak lagi menyokong dia. Tiada kesan.

“Jadi, saya kena dedahkan secara publik. Najib telah musnahkan Umno dan BN. Saya tahu dia akan kalah dalam pilihan raya akan datang dan seluruh negara akan huru hara tiada parti yang mempunyai majoriti untuk mentadbir negara.

"Jadi, saya putuskan untuk dedahkan salah laku 1MDB di mana perdana menteri adalah ketuanya,” katanya.

Dalam pada itu, Tun Mahathir akui krisis ini boleh diselesaikan sekiranya Najib meletakkan jawatan dan membenarkan siasatan penuh dijalankan terhadap wang RM42 bilion yang dipinjam 1MDB.

“Adakah krisis itu ada? Ia ada. Ia disebabkan perdana menteri mencipta 1MDB meminjam jumlah wang yang besar dan kehilangan berbilion ringgit.

"Krisis ini boleh ditamatkan segera jika perdana menteri meletakkan jawatan dan benarkan siasatan penuh. Selagi perdana menteri di situ, tiada siasatan yang sempurna dapat dijalankan.

“Kita lihat sendiri, bukan sahaja laporan polis terhadap 1MDB dan Jho Low tidak disiasat, bahkan tukang buat laporan juga disahkan bankrap, rumahnya disita dan dijual.

"Malah dia sendiri disiasat atas penggubahan wang haram dan membiayai pengganas. Mahkamah telah putuskan dia tidak bankrap.

“Jika tiada jenayah dikesan dan semua wang dipulangkan, Najib boleh kembali sebagai perdana menteri dan memimpin BN dalam pilihan raya akan datang.”

BACA INI JUGA: Senarai Skandal Kewangan 3 Dekad Di Malaysia

Sumber: Sinarharian.com.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon