Tuesday, May 26, 2015

TPPA, Cara Merompak Kekayaan Secara Sah!


Minggu lalu, kita bercakap mengenai bab Pelaburan di bawah perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), termasuk bagaimana Malaysia boleh disaman syarikat luar di tribunal antarabangsa jika kerajaan kita bertegas mahu menyertainya.

TPPA

‘Keistimewaan’ diberikan TPP kepada pelabur untuk memfailkan saman terhadap negara di mana mereka beroperasi diletakkan di bawah peruntukan digelar 'Investor-State Dispute Settlement' atau Penyelesaian Pertelingkahan Pelabur-Negara (ISDS).

Tidak hairanlah jika syarikat multinasional kini berusaha ingin memastikan ISDS dimasukkan dalam teks akhir TPP yang akan ditandatangani negara peserta termasuk Malaysia.

ISDS membenarkan pelabur luar mencabar mana-mana tindakan kerajaan walaupun ia adalah undang-undang, peraturan atau keputusan mahkamah yang dibuat demi kepentingan awam jika apa yang diputuskan kerajaan itu telah atau akan menjejaskan pelaburan atau keuntungan syarikat.

Perbicaraan kes di bawah ISDS pula akan dibuat di tribunal antarabangsa, di mana undang-undang dan sistem kehakiman Malaysia tidak dapat diguna pakai.

Mungkin contoh paling sesuai dan mudah difahami mengenai ISDS dalam konteks Malaysia ialah kes antara kerajaan Afrika Selatan dan sekumpulan syarikat Eropah.

Sama seperti Dasar Ekonomi Baru di Malaysia, Afrika Selatan juga mempunyai dasar afirmatif digelar Pemerkasaan Ekonomi Rakyat Kulit Hitam (Black Economic Empowerment, BEE), susulan penamatan dasar aparteid di negara itu pada awal 1990-an.

Program BEE ini menjadi fokus paling penting dalam mana-mana dasar untuk menyeimbangkan ketidaksamaan antara kaum dalam ekonomi negara itu, sama seperti dasar Bumiputera di Malaysia.

Pada 2004, kerajaan negara itu menguatkuasakan Akta Pembangunan Sumber Petroleum dan Mineral yang memerlukan semua syarikat perlombongan mendapatkan semula lesen mereka. Untuk mendapatkan lesen baharu di bawah akta ini, kerajaan negara itu menetapkan supaya lebih banyak pegangan saham dalam syarikat perlombongan dipindahkan kepada pelabur kulit hitam serta perlu ada usaha daripada syarikat luar untuk meningkatkan peratusan rakyat kulit hitam Afrika Selatan dalam jawatan pengurusan.

Namun, kerajaan Afrika Selatan terheret dalam kes ISDS di mahkamah antarabangsa apabila sekumpulan syarikat Eropah yang terlibat dalam industri perlombongan di negara itu memfailkan tuntutan kepada Pusat Antarabangsa untuk Penyelesaian bagi Pertelingkahan Pelaburan pada 2007.

Kumpulan syarikat itu menuduh Afrika Selatan mencabuli hak perlindungan terhadap pelabur asing seperti terkandung dalam perjanjian antara negara itu dengan Itali, Belgium dan Luxembourg.

Menurut mereka, syarat untuk mendapatkan lesen baharu yang dikenakan Afrika Selatan melanggar kewajipan Afrika Selatan untuk memberikan layanan adil dan sama rata kepada semua pelabur luar seperti ditetapkan dalam perjanjian perdagangan itu.

Kes itu selesai pada 2010 dengan Afrika Selatan terpaksa memberi kelonggaran yang besar kepada pelabur untuk tidak mengikut sepenuhnya syarat ditetapkan di bawah program BEE.

Mengambil teladan daripada kes ini, kerajaan Afrika Selatan mula menilai kembali perjanjian-perjanjian lain yang didapati tidak menguntungkan rakyat dan negara mereka dan lebih berhati-hati di masa hadapan.

Mengikut amalan biasa, pelabur perlu membawa kes mereka ke pelbagai peringkat mahkamah domestik terlebih dahulu dan jika gagal, barulah boleh membawanya ke tribunal antarabangsa; tetapi di bawah TPP, kes boleh dibawa terus ke tribunal antarabangsa.

Bukan itu sahaja, sistem yang ingin digunakan di bawah ISDS juga berat sebelah apabila tribunal antarabangsa hanya membenarkan pelabur membawa kes itu ke mahkamah manakala kerajaan sesebuah negara tidak boleh membawa tuntutan ISDS ke tribunal itu jika ada pelabur melanggar peraturan kerajaan.

Selain itu, sistem ISDS yang membolehkan pelabur luar dianugerahkan pampasan bernilai berbilion ringgit oleh tribunal antarabangsa akan menimbulkan ‘kegerunan’ di pihak kerajaan yang memikirkan mereka mungkin terpaksa membayar wang yang banyak kepada syarikat luar.

Pengkritik sistem ini berpendapat, ISDS akan menyebabkan ada kerajaan sanggup mengetepikan dasar untuk kepentingan awam dan tidak mahu mengubah dasar sedia ada semata-mata kerana takut disaman pelabur luar.

Lebih membimbangkan, kemenangan dan ganjaran diputuskan tribunal antarabangsa ini tidak boleh disemak semula (selain jika terdapat kesilapan dalam penghakiman atau ketidakadilan yang serius dari segi prosedur) sama ada oleh tribunal itu sendiri atau mahkamah di mana-mana negara.

Dasar kerajaan Malaysia untuk meningkatkan daya ekonomi rakyatnya berdasarkan realiti kepelbagaian kaum di negara ini bertujuan untuk membina suasana harmonis agar syarikat antarabangsa dapat membuat pelaburan di negara ini dengan aman.

Malaysia tidak perlu mengikut telunjuk negara luar. Dalam proses perundingan TPP, kerajaan perlu tegas dalam mempertahankan dasar-dasar yang unik kepada Malaysia.

Kumpulan perunding bagi pihak Malaysia perlu memastikan mekanisma ISDS tidak dimasukkan di dalam Bab Pelaburan kerana ia akan menyebabkan kerajaan terdedah kepada tindakan mahkamah oleh pelabur luar dari negara TPP, terutama AS, yang akan menghalang kerajaan dari melaksanakan dasar bagi kepentingan awam yang dirasakan akan menyusahkan mereka. Kepentingan rakyat perlu diutamakan, terutamanya dalam perlaksanaan dasar afirmatif untuk mengimbangi keadaan sosio-ekonomi kaum-kaum di Malaysia.

Oleh itu, kerajaan perlu memilih mana lebih penting; kemasukan pelaburan yang banyak melalui firma asing atau kedaulatan serta hak negara untuk menentukan sendiri dasar yang terbaik bagi rakyat Malaysia.

MOHD NIZAM MAHSHAR: PENULIS ADALAH KETUA EKSEKUTIF MAJLIS TINDAKAN EKONOMI MELAYU (MTEM)

BACA INI JUGA: Penciptaan Wang Kertas Adalah Penipuan Licik Puak Yahudi

Sumber: Sinarharian.com.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon