Wednesday, February 11, 2015

Strategi Firaun, Kuasa Bukan Segalanya


Mimpi ngeri sesetengah ahli politik yang licik adalah jatuh tersungkur daripada puncak kekuasaannya. Kalau boleh mereka mahu terus berkuasa sehingga ke lubang kubur.

FIRAUN

Demi untuk kekal di puncak kuasa, pelbagai strategi dilakukan. Dosa pahala bukan lagi penghalang atau pendorong gerak mereka.

Nyawa dan nasib rakyat hanyalah buah catur yang dikorbankan semudah menjentik dengan jari. Inilah mazhab sesetengah ahli politik yang tidak beriman kepada Allah SWT dan balasan kiamat.

Antara dua strategi popular sesetengah ahli politik licik yang agak konsisten dalam lipatan sejarah adalah:

1. Memainkan isu patriotism dan kepentingan menjaga kedaulatan negara. Sering didengar dialog ini: “Jangan gadai nasib bangsa, negara dan anak cucu dengan menyokong parti itu. Pemimpinnya adalah agen asing yang mahu menggadai negara.”

Tatkala itu, pihak lawan pula menjawab serangan lawan dengan dialog yang sejenis: “Hutang negara sudah mencecah bilion dolar akibat salah urus pemimpin sedia ada. Jika kita masih menyokong mereka sebagai kerajaan, negara kita akan bankrap dan nasib bangsa akan tergadai.”

Bandingkan pula kata-kata Firaun ini sebagaimana dalam surah al-Syu’ara ayat ke-34 hingga ke-35 yang bermaksud: Firaun berkata kepada ketua-ketua kaum yang ada di kelilingnya: “Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir. Dia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihirnya, maka apa yang kamu syorkan?

2. Memutarbelitkan fakta, yang “tiada diwujudkan”, yang “wujud ditiadakan”, yang “benar disalahkan”, yang “salah dibenarkan”, yang “wira dikatakan penyangak” dan yang “jahat dinobat sebagai wira.”

Kemampuan menukar fakta dalam pusingan 360 darjah ini biasanya dimiliki oleh pemegang kuasa.

Lihat sahaja nasib Islam yang suci dipandang kotor lagi hina dengan label pengganas oleh media Barat yang dipegang oleh pembenci Islam.

Ini juga strategi Firaun di kala pakar sihirnya tersungkur kalah pada mukjizat Nabi Musa AS yang bermaksud: Firaun berkata: Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku izinkan kamu? Sesungguhnya dialah (Musa) ketua kamu yang mengajar kamu ilmu sihir; oleh itu kamu akan mengetahui kelak (akibatnya). Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semuanya. (al-Syu’ara: 49)

Tuduhan palsu ke“ketua”an Nabi Musa AS ke atas para ahli sihir turut disebut dalam surah al-A’raf ayat ke-123 bermaksud: Firaun berkata: Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu (wahai Musa dan ahli sihir) lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya daripadanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatnya).

Strategi Firaun

Tuduhan Firaun sebenarnya sangat mengarut kerana Musa AS belum pernah bertemu dengan seluruh pakar dan johan sihir dalam empayar Mesir, namun kenyataan tersebut tetap dikeluarkan Firaun sejurus kekalahannya.

Mengapa? Tidak lain, ini antara strategi Firaun bagi mengelirukan sesetengah rakyatnya yang bodoh bertuhankan Firaun. Strategi inilah yang banyak digunakan oleh sesetengah ahli politik sepanjang zaman bagi mengekalkan kuasanya.

Dunia ini berputar dengan putaran yang sama dari dahulu sehingga kiamat. Kisah lampau dinamakan sejarah, namun paparannya tetap sama. Yang berbeza hanya masa, lokasi dan watak yang memainkan peranan dalam sejarah.

Jika mahu berpolitik, jadilah ahli politik yang agung seperti Rasulullah SAW yang dipandu wahyu. Matlamat politik Islam pula bukan semata mendapat “kuasa” tetapi mahu menegakkan keadilan sebenar dalam kehendak Allah sebagai pemilik sebenar kuasa di alam ini.

Ia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (al-Hajj: 41)

BACA INI JUGA: Adolf Hitler: Rahsia Besar Yang Disembunyikan

Sumber: Utusan.com.my

5 comments

  1. bila baca artikel ni rasa mcm ada persamaan je dgn kt msia ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebenarnya itulah adat bila manusia berkuasa, cenderung berlaku zalim. Siapa pun mereka, dimana jua..

      Delete
  2. Tak sangkan kan...strategi yang digunakan oleh Firaun telah digunakan oleh pemimpin pemimpin kita untuk merebut kuasa politik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul. Strategi kuno yg tidak dilupakan. Kotor dan jijik..

      Delete
  3. Strategi yg jijik & menjijikkan... namun sayangnya masih ada yg tak mahu ambil iktibar...

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon