Sunday, November 23, 2014

Misteri Sumpahan Lukisan 'Crying Boy'


Lukisan yang terkenal ini dikatakan mempunyai sumpahannya sendiri. Apa tidaknya, ramai pemiliknya sudah ditimpa kecelakaan gara-gara menyimpan salinan lukisan ini. Ada cerita mengatakan lukisan ini tidak diketahui siapa pelukisnya; dikatakan telah dijumpai disebuah rumah tidak berpenghuni dan tiada siapa tahu siapakah pemilik atau pelukis kepada karya itu.

Crying Boy Painting

Ada pula mendakwa ia dilukis seorang pelukis Sepanyol dan catan itu adalah potret kanak-kanak seorang yatim piatu yang telah menjadi mangsa perang.

Ada yang berpendapat, secara tidak langsung kesengsaraan yang mereka alami turut terluah di dalam catan itu.

Versi cerita paling terkenal mengenai lukisan 'Crying Boy' dikatakan ada kaitan dengan seorang pelukis bernama Bruno Amadio atau juga dikenali dengan nama Bragolin, pelukis siri catan terkenal 'Crying Boy'.

Amadio dikatakan telah berpindah ke Sepanyol sebaik sahaja tamat perang dunia kedua. Di Sepanyol, Amadio telah bertemu dengan seorang kanak-kanak lelaki bernama Don Bonillo, seorang anak yatim yang bisu, yang menyaksikan sendiri kedua ibu bapanya hangus dalam kebakaran ketika perang sedang rancak meletus.

Kasihan melihat kesepian Bonillo, Amadio berhasrat mengambil Bonillo sebagai anak angkat. Pada mulanya, niat murni Amadio ditentang keras oleh paderi-paderi tempatan.

Menurut mereka, kanak-kanak ini pembawa sial, membawa sumpahan dan dalang utama kepada beberapa kebakaran misteri yang berlaku di kawasan itu.

Mereka percaya, ke mana saja kanak-kanak ini pergi, akan terjadi kebakaran di kawasan yang didiaminya. Lebih serius, penduduk tempatan juga menggelarkan Don Bonillo sebagai 'anak syaitan'.

Namun Amadio berkeras dan enggan mempercayai cerita-cerita itu. Don Bonillo kemudian menjadi anak angkat Amadio. Keluarga baru ini kelihatan hidup sempurna dan lukisan-lukisan hasil karya Amadio laris terjual.

Malangnya, kebahagiaan Amadio dan Don Bonillo tidak kekal lama. Tidak lama kemudian, rumah dan studio Amadio hangus dijilat api. Mengenangkan cerita-cerita dan amaran keras paderi-paderi sebelum ini Amadio segera menyalahkan Don Bonillo dan menghalaunya keluar.

Selepas peristiwa itu, Don Bonillo menghilang tanpa sebarang berita sehinggalah pada tahun 1976, di mana namanya kembali disebut setelah berlakunya satu kemalangan ngeri.

Dipinggir bandar Barcelona, sebuah kenderaan telah melanggar sebuah dinding menyebabkan kereta itu meletup. Pemandunya tidak sempat menyelamatkan diri dan hangus dijilat api. Keadaan mayatnya yang amat teruk menyukarkan proses pengecaman.

Namun, ketika siasatan terperinci dilakukan ke atas kereta itu, papan pemuka kereta kereta berkenaan terbuka.

Didalamnya, disamping sisa-sisa debu kebakaran, polis menjumpai lesen memandu yang langsung tidak mempunyai kesan terbakar. Dan pemilik lesen itu bernama Don Bonillo.

Ramai yang percaya, catan 'crying boy' yang dilukis oleh Amadio membawa sumpahan Don Bonillo. Malangnya, fakta-fakta ini tidaklah seratus peratus disahkan kebenarannya.

Bruno Amadio mati pada tahun 1981 dan kebenaran disebalik cerita ini turut bersemadi bersamanya.

Lukisan ini mula dikenali umum setelah ia mula diulang cetak pada poskad dan poster-poster disekitar Eropah.

Sejarahnya, catan ini merupakan karya bersiri Bruno Amadio untuk mengenang kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa serta keluarga ketika perang. Catan ini mempunyai 65 siri, kesemuanya potret kanak-kanak dalam kesedihan, dengan linangan air mata.

Ia dihasilkan untuk pelancong yang datang melawat Venice selepas perang tamat.

Kesudahannya, beberapa keping catan dari siri Crying Boy dibawa ke England, kemudian ia diulang cetak dengan banyak dan dijual dengan harga yang begitu murah.

Lebih 50,000 keping karya yang dicetak ini berjaya dijual; menjadikan hampir keseluruhan rumah di England mempunyai catan Crying Boy.

Kegilaan memiliki catan Crying Boy berlanjutan sehinggalah pada September 1985, akhbar British, 'The Sun' melaporkan sebuah berita aneh mengenai catan Crying Boy.

Artikel bertajuk 'Blazing Curse of The Crying Boy' menjadi tumpuan warga England. Rumah milik seorang pemuda bernama Ron dan pasangannya May Hall di Rotherham, hangus dijilat api setelah mereka gagal mengawal api yang menyambar kuali mereka ketika sedang menggoreng. Rumah mereka gagal diselamatkan.

Namun apa yang aneh, hanya satu benda saja yang ditemui terselamat dari dijilat api. Disebalik timbunan habuk dan sisa-sisa kebakaran, sebuah lukisan ditemui tertiarap diatas papan dengan permukaannya mengadap lantai, catan 'Crying Boy'!

Tiada siapa mampu menjelaskan bagaimana lukisan potret Crying Boy tersebut boleh bertahan dalam api semarak itu. Kejadian itu segera menarik perhatian media, kerana itu bukanlah kali pertama melibatkan Crying Boy!

Abang kepada Ron Hall merupakan seorang anggota bomba dan menurutnya, sudah beberapa buah rumah turut hangus dijilat api sebelum ini dan satu-satunya benda yang terselamat dalam setiap kejadian kebakaran yang berlaku itu adalah salinan lukisan Crying Boy.

Dijumpai tersadai pada lantai setiap rumah terbabit, disebalik sisa-sisa kebakaran. Dia dan anggota bomba lain juga merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan lukisan-ukisan ini, mereka percaya ia mungkin membawa sumpahan dan tidak sepatutnya digantung pada dinding-dinding rumah.

Seorang pegawai bomba, Alan Wiikinson turut menyatakan, hampir lima puluh kejadian kebakaran telah dilaporkan berlaku dan kesemuanya ada melibatkan 'The Crying Boy'.

Laporan oleh akhbar berpengaruh itu kemudian mendapat perhatian serius dari pembacanya yang rata-rata mula takut dengan sumpahan catan ini.

Ramai diantara mereka turut tampil menceritakan pengalaman mereka sendiri. Mereka mendakwa turut menjadi mangsa Crying Boy apabila rumah mereka turut hangus dijilat api.

Ada juga yang mendakwa sudah beberapa kali cuba melupuskan lukisan itu dengan membakarnya namun usaha mereka gagal. Salinan lukisan itu tidak dijamah api!

Tidak lama kemudian, sebuah restoran Itali pula ditimpa kebakaran dan seperti dijangka, hanya 'The Crying Boy' sahaja yang terselamat dalam kebakaran itu.

Akhbar The Sun kemudian mengaturkan satu acara pelupusan dan menyeru semua pembacanya yang percaya dengan sumpahan ini supaya segera menghantar salinan Crying Boy milik mereka untuk dilupuskan.

Akhirnya, hampir 2,000 keping berjaya dikumpul dan walaupun menghadapi beberapa kesukaran ketika proses membakarnya, lukisan-lukisan ini berjaya dilupuskan.

-Sentiasapanas.com

5 comments

  1. Nie lukisan minyak petrol kot

    ReplyDelete
  2. teringin nak masuk muzium lukisan.... nak sangat tengok lukisan2 ala2 misteri camni..

    ReplyDelete
  3. Ada sumpahan syaitan tu kot... wallahualam..

    ReplyDelete
  4. Pernah juga baca kisah crying boy nhe.. masa kena bakar semua orang mengharapkan bunyi tangisan daripada lukisan itu tetapi yang kedengaran hanya ??? yang hanya kedengaran iala lukisan itu terbakar hehe..

    ReplyDelete
  5. Menakutkan....jangan lukisan.ni sampai kat Malaysia sudahlah. Nanti banyak rumah yang terbakar.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon