Oct 14, 2014

Pemburu Duit Syiling Di India

Kita selalu merungut, gaji besar pun selalu tidak cukup. Masalahnya mungkin kita tidak pernah belajar untuk berkata cukup.

Coin Divers of Yamuna River

Di India, sebilangan kecil pemuda-pemudanya tetap tersenyum puas dengan pendapatan yang tidak seberapa hasil pekerjaan menyelam untuk mencari duit syiling dalam Sungai Yamuna yang hitam dan tercemar.

Kebanyakan wang syiling yang ada di dalam Sungai Yamuna adalah daripada upacara persembahan Dewi Sungai. Sama seperti Ganges, Yamuna dianggap sebagai salah satu tempat yang paling suci dan terlalu dimuliakan oleh penduduk tempatan. Tambahan pula, Yamuna merupakan anak sungai utama Sungai Gangga.

Sungai ini disembah kerana ia dikaitkan dengan Yami, kakak kembar Tuhan Kematian yang dipercayai kekal dalam air. Sebagai menghormati Dewi Sungai, penduduk India yang melalui kawasan ini sama ada dengan menaiki kereta api atau berjalan kaki, akan melempar duit syiling ke dalam Sungai Yamuna.

Tidak ramai yang tahu, rupanya ritual tersebut dimanfaatkan oleh sebahagian pemuda sebagai sumber mencari rezeki. Anak muda yang memilih profesion ini digelar sebagai penyelam syiling. Mereka akan bekerja, menyelam dan mencari syiling sepanjang tahun tanpa mengira keadaan cuaca.

Penyelam syiling biasanya memulakan kerja seawal jam 7 hingga 8 pagi dan akan berhenti rehat untuk makan tengah hari. Setiap sesi menyelam pula berlangsung kira-kira 20 hingga 30 minit, sebelum kembali ke permukaan dan mencuba lagi di tempat yang berbeza.

Menurut Sartaj Ahmed, 22, beliau mula menyelam sejak kecil lagi. Namun, ketika berusia 18 tahun, barulah ada keberanian untuk berjinak-jinak dalam kerjaya memburu syiling.

Katanya, selama menceburi profesion itu, tentangan paling hebat ialah air sungai yang terlalu sejuk sampai ke tulang. Ini kerana aliran air Sungai Yamuna berpunca dari Pergunungan Himalaya.

Namun, sejuk macam mana sekalipun, wang tetap perlu dicari. Tiada istilah terlalu manja atau memilih kerja walaupun terpaksa berendam dalam air dingin, kotor dan tercemar. Mereka tiada pilihan lain kerana keadaan benar-benar memaksa untuk berbuat begitu.

Berdasarkan data dari Bank Dunia, sebanyak 32.7 peratus daripada rakyat India berada di bawah garis kemiskinan antarabangsa. Dengan kata lain, hampir satu pertiga daripada golongan miskin di seluruh dunia hidup di India. Inilah alasan kenapa mereka terdesak menyelam ke dasar sungai demi kelangsungan hidup.

Sartaj Ahmed

Soal lumayan atau tidak, Sajad Ahmed, 34, yang sudah 20 tahun bergelar penyelam syiling, berkata jumlah wang yang boleh dikumpulkan dalam tempoh beberapa hari hanyalah antara 100 hingga 200 rupee (RM5.29 hingga RM10.58). Jika bernasib baik, dia akan menjumpai barang perhiasan kecil seperti cincin emas.

Biasanya, mereka tidak melakukan pekerjaan itu secara rawak kerana para penyelam sudah tahu di mana untuk mencari duit syiling.

Selalunya, mereka akan menyelam betul-betul diantara tiang bernombor lapan dan sembilan. Tempat ini sangat strategik memandangkan penumpang kereta api selalu membuang syiling di sini semasa menyeberang jambatan Sungai Yamuna.

Selepas syiling dilambungkan ke dalam air, anak muda yang sejak awal lagi menunggu di tebing sungai akan bergegas menyelam untuk mendapatkannya.

Teknik selaman yang digunakan juga cukup unik. Mereka akan memejamkan mata sepanjang berada dalam sungai. Tujuannya adalah untuk menjaga penglihatan daripada air sungai yang tercemar. Tambah pula jika mereka membuka mata, tiada apa-apa yang dapat dilihat kerana sungai berkeadaan kotor.

Dalam hal ini, tangan memainkan peranan utama dan maenjadi 'mata' untuk mencari syiling. Dengan hanya menggunakan tangan, mereka akan meraba-raba dalam dasar sungai yang gelap dan berkeladak.

Sekiranya air terlalu sejuk pula, penyelam akan mencari alternatif lain dengan cara memancing duit.

Teknik memancing yang digunakan sama seperti mengail ikan, cuma bezanya joran tersebut ialah buatan sendiri, menggunakan magnet besar yang kemudiannya diikat kuat dengan tali.

Sambil duduk di atas pelampung, magnet akan dibuang ke dalam sungai dan menarik segala bahan logam dari dalam sungai, termasuklah syiling dan bahan-bahan berharga lain.

Kadang-kadang, kemahiran para pemburu syiling ini juga sering dimanfaatkan oleh polis New Delhi, terutamanya dalam kerja-kerja menarik mayat yang dibuang ke dalam sungai.

Dengan kata lain, mereka bukan sembarangan penyelam kerana ada diantara mereka memiliki kad penyelam rasmi.

Saksikan videonya di YouTube,  http://www.youtube.com/watch?v=gjV0azKvlfc

BACA INI JUGA: Sukarnya Melahirkan Anak Di India!

-Sentiasapanas.com

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

6 comments

sambil main air, sambil cari duit. menarik gak nih.

wow...fakta yang menarik...teruskan perkongsian seperti ini SP

Sama-sama. Terima kasih sudi berkunjung..:)

Assalammualaikum... sentiasa panas,

wahh... 1/3 daripada penduduk di india adalah golongan miskin, sebab itu mereka melakukan apa saja pekerjaan demi kelangsungan hidup ... menyelam nie kalau tak pro boleh lemas...

mselim3

Mcm2 cara org mencari rezeki kan...

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon