Selasa, April 22, 2014

Cinta Sejati Hingga Ke Hujung Nyawa


Loading...

Mereka masih berpegangan tangan ketika menikmati sarapan walaupun selepas 70 tahun dikahwinkan.

Cody dan Helen
Cody dan Helen pada awal 1940-an.

Apabila Helen Felumlee menghembus nafas terakhir pada usia 92 tahun, suaminya mengikuti jejak wanita terbabit kurang dari sehari kemudian.

Anak pasangan itu, Linda Cody berkata, mereka memang dapat merasakan kematian Helen bakal dituruti bapanya tidak lama selepas itu.

“Malah, kami memang mahu mereka kekal bercinta sehingga ke nafas yang terakhir.

“Nampaknya memang itulah yang berlaku,” katanya.

Pasangan Kenneth Cody dan Helen Felumlee disatukan sebagai suami isteri ketika mereka masih berusia belasan tahun.

Sejak itu, mereka tidak berpisah langsung.

Helen meninggal dunia di hospital selepas mengalami masalah kesihatan berlarutan sebelum ‘diikuti’ Cody kira-kira 15 jam kemudian.

Media semalam melaporkan, walaupun keadaan kesihatan semakin tidak mengizinkan, pasangan itu tetap bahagia bersama.

Ketika Cody mengalami masalah jantung dan kehilangan sebelah kakinya akibat masalah kitaran darah, Helen tetap setia menemaninya di hospital.

Lama-kelamaan Helen juga jatuh sakit dan ditempatkan berhampiran katil Cody di hospital.

Linda berkata, Cody tidak sanggup melihat penderitaan dialami isterinya dan selalu memegang tangan wanita dicintainya itu.

Cody and Helen [2]
Cody dan Helen (duduk) bersama lapan anak mereka pada 2012.

Katanya, ketika dikahwinkan di Kentucky Cody berusia 18 tahun dan Helen 19 tahun.

“Namun, kenyataan itu dirahsiakan kerana mereka takut untuk memberitahu ibu bapa masing-masing,” katanya.

Hasil daripada perkongsian hidup, mereka mempunyai lapan orang anak - lima lelaki tiga perempuan - dan Cody terpaksa bekerja keras bagi menyara keluarga.

Dia melakukan tiga tugas dalam satu masa, iaitu pemeriksa kereta api, operator garaj dan posmen.

Helen pula bekerja dengan pertubuhan gereja, mengajar sekolah gereja dan menghantar kad ucapan kepada hampir semua penduduk di kawasan kediaman mereka ketika perayaan dan hari jadi. -Agensi

Suami bunuh isteri dihantui bayangan hantu

Gambar hiasan.

Sementara itu, seorang warga emas Thailand ditahan kerana disyaki membunuh isterinya dan mencampak mayat wanita terbabit ke dalam tasik.

Namun, selepas ditangkap, Sombot Samuk mendakwa dia memang mahu menyerah diri kepada polis kerana tidak tahan menanggung gangguan mendiang isterinya melalui mimpi.

Kata Sombot, 68, sejak membunuh Orn Donkanha, 67, hidupnya tidak tenteram dan sentiasa dihantui dengan pelbagai ketakutan.

Sombot berkata, Orn sering memarahinya, tetapi dia tetap bersabar sehinggalah ketika dalam perjalanan pulang dari menemani wanita terbabit menghadiri satu majlis di kampung mereka.

“Dalam perjalanan pulang Orn menghina keluarga saya dan anak kami.

Dia juga menghalau saya keluar dari rumah,” katanya.

Disebabkan hilang sabar Sombot memukul Orn dua kali menggunakan kayu.

Wanita itu rebah dan mati di tempat kejadian sebelum Sombot mencampakkan mayat wanita itu ke dalam tasik.

Mayat Orn ditemui di dalam tasik berhampiran Wat Santikaram pada 15 April dengan kesan hentakan di bahagian kiri kepalanya menggunakan objek tumpul.

Polis percaya wanita itu dibunuh tiga hari sebelum ditemui.

Pada mulanya polis tidak mempunyai sebarang petunjuk mengenai pembunuhan itu, tetapi kemudiannya menjadikan Sombot sebagai suspek.

Pasangan terbabit pernah berkahwin dengan orang lain sebelum ini.

Sombot berkata, selepas kejadian itu dia sering bermimpi didatangi Orn yang memaksanya menyerah diri.

“Dia mengugut untuk terus mengganggu saya jika saya terus bersembunyi,” katanya. -Agensi

BACA INI JUGA: Pengantin Yang Mahu Bahagia Selamanya

-Sentiasapanas.com

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon