Thursday, November 28, 2013

Kerajaan Malukan Rakyat Sendiri, Apakah Sudah Habis Pilihan?


Polis sekali lagi mengundang kontroversi membabitkan kesalahan saman trafik apabila mengumum akan melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk menangkap 251,273 pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap.

Kerajaan Malukan Rakyat Sendiri, Apakah Sudah Habis Pilihan?
Polis mulakan operasi menangkap.

Menurut Pemamngku Ketua Polis Trafik Bukit Aman, Senior Asistent Komisioner, Mohd Fuad Abdul Latif, polis akan membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah dan pemeriksaan di pejabat bagi menangkap pemandu yang telah mempunyai lima waran tangkap.

“Sebaik ditahan, pesalah terbabit akan dibawa ke balai polis. Bagaimanapun jika mereka membayar saman ketika itu mereka akan dibebaskan. Bagi pesalah trafik yang memiliki kurang daripada lima waran tangkap mereka akan ditahan melalui sekatan jalan raya. Mereka juga akan dibawa ke balai polis dan jika enggan melunaskan saman, mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tarikh hadir mahkamah.”

Kita tidak menafikan bahawa sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang negara termasuk kesalahan lalu lintas harus berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Cuma dalam konteks menangkap dan melakukan pemeriksaan di rumah, pejabat dan sekatan jalan raya ke atas lebih 200 ribu orang pemandu ia menimbulkan pelbagai isu, tanda tanya dan persepsi.

Jika dilihat mereka yang mempunyai lebih dari dua waran tangkap ini mempunyai kesalahan jalan raya sejak lima tahun lepas.

Apakah saman telah disampaikan secara berkesan dan sampai ke tangan pemandu atau pemilik kenderaan tersebut?

Kerajaan Malukan Rakyat Sendiri, Apakah Sudah Habis Pilihan?

Pertanyaan ini sangat relevan kerana sebelum mengambil tindakan memalukan orang ramai, Polis trafik harus telah membukti mereka telah kehabisan saluran dan kaedah lain untuk “memaksa” pesalah trafik membayar saman ke atas mereka.

Jika saman sendiri gagal diserahkan kepada pemandu secara telus, bagaimanakah pihak penguatkuasa berharap pemandu tahu mereka mempunyai saman dan secara “bersuka ria” datang membayar saman?

Adalah tanggungjawab pihak berkuasa menyampaikan sebarang saman kompaun atau mahkamah, bukannya tanggungjawab pemandu untuk pergi ke kaunter Polis atau menggunakan sistem SMS bagi menyemak status saman mereka.

Dalam hal ini, jika diambil kes atas diri sendiri, penulis berpendapat pihak penguatkuasa gagal sama sekali melaksanakan tugas mereka sebelum mengambil tindakan memalukan rakyat terbabit melalui tangkapan terbuka di rumah dan pejabat.

Antara kenyataan pihak Polis ialah terdapat pemandu yang selama ini telah mempunyai saman sehingga lima tahun tetapi tidak menjelaskan.

Ini menimbulkan persoalan yang sama, selama lima tahun tersebut berapa kali notis telah dihantar kepada pemandu mengenai saman mereka?

Sekali lagi pengalaman saya menunjukkan tiada sebarang notis peringatan mengenai saman tertunggak dihantar kepada pemandu biar pun alamat di dalam lesen memandu dan pendaftaran kenderaan adalah alamat semasa.

Jika gagal mengesan pemandu kerana alamat lama sekali pun, pihak polis dan Jabatan Pengangkutan jalan (JPJ) boleh memberi notis makluman secara langsung ketika pemandu atau pemilik memperbaharui cukai jalan dan insurans. Ini juga tidak dilakukan terlebih dahulu.

Mengapa Polis Trafik memilih pilihan yang sukar dengan mengaibkan pesalah trafik sehingga boleh menimbulkan kemarahan dan kebencian ramai orang kepada kerajaan?

Tangkapan di rumah dan pejabat harus dibuat setelah semua pilihan lain telah digunakan tetapi masih gagal. Malangnya, Polis tidak menggunakan semua pilihan yang ada sebelum melakukan tangkapan terbuka ini.

Ini bukan kali pertama kaedah ini dilakukan. Beberapa tahun lalu, kaedah yang sama digunakan dan kemudiannya mendapat kritikan yang keras dari orang ramai melihat pesalah trafik yang tidak seberapa ditangakap di rumah dan pejabat, siang dan malam dengan tangan bergari di bawa naik ke dalam lori polis dan di bawah ke balai Polis.

Mereka dilayan seolah-olah pencuri, perompak dan penyamun!

Mengapa perlu mengulangi kesilapan yang sama lima atau enam tahun lalu dan berhadapan dengan polemik yang sama?

Tampaknya pembuat dan pelaksana polisi kita tidak pernah belajar daripada peristiwa lalu dalam banyak hal dan kerajaan akan terus mengulangi kemusnahan perhubungan awam yang sama.

Kita bukan mahu menghalang kerajaan menguatkuasakan undang-undang, yang kita persoalkan ialah tindakan ini kelihatan semberono dan tidak berlandaskan kebijaksanaan politik dan pentadbiran.

Jika polis boleh melaksanakan pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk menangkap pesalah trafik, mengapa polis tidak boleh melakukan perkara yang sama untuk menyampaikan saman atau arahan mahkamah ke atas pesalah trafik?

Tindakan untuk memalukan hampir 300 ribu orang rakyat merupakan satu kerja tidak masuk akal berbanding jumlah saman yang boleh dikutip.

Malah kos membaiki imej kerajaan mungkin lebih besar daripada jumlah saman yang dikutip nanti.

Sumber: Mykmu.net

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon